BANGKOK: Presiden Amerika Encik Donald Trump berkata pada 12 Disember Thailand dan Kemboja telah bersetuju menghentikan pertempuran di sempadan yang dipertikaikan, yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa minggu ini.
Namun, beberapa jam selepas Encik Trump berkata demikian, Perdana Menteri Thai, Encik Anutin Charnvirakul berkata angkatan bersenjata negaranya akan meneruskan tindakan ketenteraan ke atas Kemboja.
Pertempuran terkini antara dua jiran Asia Tenggara itu berpunca daripada pertikaian lama mengenai garis sempadan era penjajahan sepanjang 800 kilometer, dan telah menyebabkan sekitar setengah juta orang dipindahkan di kedua-dua belah.
Kedua-duanya saling menuding jari atas tercetusnya semula konflik itu, lapor The Straits Times (ST).
“Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini dengan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, mengenai tercetusnya semula peperangan lama mereka,” kata Encik Trump di platform Truth Social.
“Mereka bersetuju memberhentikan semua tembakan malam ini dan kembali kepada perjanjian damai asal yang dibuat bersama saya, dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia, Encik Anwar Ibrahim,” katanya, merujuk kepada perjanjian Julai lalu.
Encik Trump berkata kededua negara bersedia untuk berdamai dan meneruskan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), sambil mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas bantuannya.
Selepas panggilannya dengan Encik Trump, Encik Anutin berkata: “Perlu diumumkan kepada dunia Kemboja akan mematuhi gencatan senjata.”
Beliau menambah pihak yang melanggar perjanjian harus memperbaiki keadaan.
Pertempuran tetap berlanjutan pada 12 Disember, lapor Reuters, dengan Kemboja menuduh Thailand menembak meriam dan mesingan ke beberapa kawasan, termasuk berhampiran kuil purba, serta menghantar kenderaan berperisai masuk ke kawasan yang didakwanya sebagai wilayahnya.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata tenteranya akan terus “teguh dan berani menentang penceroboh”.
Tentera Thailand pula menuduh Kemboja menceroboh wilayahnya, dan berkata ia terpaksa menggunakan hak mempertahankan diri bagi melindungi nyawa serta kedaulatan.
Amerika Syarikat, China dan Malaysia memeterai gencatan senjata pada Julai selepas lima hari keganasan, dan pada Oktober Trump menyokong kenyataan rasmi bersama antara Thailand dan Kemboja.
Namun Thailand menggantung perjanjian itu pada November selepas askarnya cedera akibat periuk api di sempadan.
Di wilayah Buriram di timur laut Thailand, pelarian Thai Encik Jirasan Kongchan berkata keamanan harus dicapai melalui perbincangan dua hala bukan melalui orang tengah luar.
“Saya mahu Thailand dan Kemboja berbincang sesama sendiri dengan jelas. Jika Kemboja melanggar perjanjian lagi, negara ASEAN patut campur tangan,” kata petani berusia 50 tahun itu.
Pelarian Kemboja Encik Choeun Samnang, 54, berkata dia “sangat gembira” Encik Trump menghubungi Perdana Menteri Thailand.
“Saya tidak mahu melihat negara berperang. Saya mahu keamanan,” katanya di sebuah pusat perlindungan di wilayah Banteay Meanchey.
Di Rumah Putih, Encik Trump berkata beliau akan membuat beberapa panggilan bagi memulihkan keadaan.
Namun tidak pasti sama ada beliau boleh mengulangi kejayaan Julai, ketika beliau memberitahu para pemimpin Kemboja dan Thailand rundingan tarif AS hanya boleh disambung semula apabila pertempuran dihentikan.
Menteri Luar Thailand baru-baru ini menegaskan tarif tidak wajar digunakan sebagai tekanan.
Pada 12 Disember, Encik Anutin berkata Encik Trump bertanyakan perkembangan rundingan perdagangan antara Bangkok dan Washington berjalan, dan tidak memberi sebarang petanda rundingan itu akan terjejas oleh pertempuran.
Sebaliknya, beliau telah menjamin Thailand akan mendapat “manfaat yang lebih baik daripada negara lain”.
Setelah gencatan senjata awal, AS menurunkan tarif ke atas barangan Thai dan Kemboja kepada 19 peratus, lapor Bloomberg.
Perdana Menteri Thailand masih belum berpegang teguh kepada penyelesaian diplomatik dan menyokong operasi ketenteraan yang dirancang.
Tentera Thailand pula menyatakan ia mahu melemahkan keupayaan ketenteraan Kemboja “untuk bertahun-tahun”.
Penasihat kanan kepada Encik Hun Manet berkata Phnom Penh “sedia bila-bila masa” untuk berdialog, manakala Thailand menolak usaha orang tengah dan menuntut bukti keikhlasan sebelum rundingan dua hala boleh berlaku. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg