CHIANG MAI: Seorang lelaki warga Switzerland, terpaksa memotong lengannya dengan pisau poket selepas seekor beruang menggigitnya di sebuah yayasan jagaan haiwan liar di Chiang Mai, Thailand.
Encik Stefan Specogna, seorang relawan bagi penjagaan haiwan liar, telah menghulurkan lengan kanannya ke dalam sangkar haiwan itu untuk memberi makan kepadanya apabila ia tiba-tiba menggigit lengan beliau dan enggan melepaskannya, lapor media tempatan.
Encik Specogna, 32 tahun, telah cuba melepaskan tangannya itu tetapi akhirnya memutuskan untuk memotongnya.
Beberapa saksi kejadian telah bergegas kepadanya untuk memberi pertolongan cemas sebelum mengejarkannya dari yayasan jagaan haiwan liar itu di daerah Chiang Dao, kawasan utara wilayah berkenaan ke sebuah hospital berdekatan.
Lengan Encik Specogna didapati cedera dari siku ke hujung tangan, lapor Bangkok Post.
Encik Specogna kemudian dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Chiang Mai bagi pembedahan lanjut.
Lengannya yang diputuskan itu pula ditemui dalam keadaan hancur.
Laporan akhbar asing, The Sun, menukil kenyataan seorang penduduk yang memuji Encik Specogna atas sifatnya yang baik hati kerana rela memotong tangan sendiri daripada menyakiti beruang itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg