BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat sebuah klinik di Bangkok selepas seorang usahawan dan pempengaruh media sosial Britain kelahiran Nigeria meninggal dunia susulan prosedur pembesaran zakar menggunakan suntikan asid hialuronik.

Encik Igho Ubiribo, 43 tahun, meninggal dunia pada awal pagi 6 Mac, beberapa jam selepas menjalani prosedur itu di sebuah klinik di ibu kota Thailand.

Koroner di London pada Ogos memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada suntikan asid hialuronik yang diterimanya.

Kes itu mencetuskan semula perbincangan mengenai keselamatan pelancongan perubatan di Thailand, yang menjadi antara destinasi utama bagi pesakit asing mendapatkan rawatan, termasuk prosedur estetik.

Kementerian Kesihatan Thailand mengarahkan siasatan terhadap kematian Encik Ubiribo, dengan pegawainya mengunjungi klinik di tengah Bangkok itu pada 7 September.

Seorang pegawai kementerian memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa sedang memeriksa sama ada klinik tersebut mempunyai lesen sah dan mematuhi prosedur kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan.
Polis Bangkok turut menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

“Apabila melibatkan prosedur perubatan, kami menggesa tahap berhati-hati yang paling tinggi,” kata Menteri Kesihatan Thailand, Encik Pattana Promphat.

Menurut beliau, siasatan itu bertujuan memastikan keadilan bagi semua pihak, selain meyakinkan pesakit tempatan dan antarabangsa bahawa mereka menerima rawatan yang selamat dan bermutu tinggi di Thailand.

Menurut Kementerian Kesihatan, pihak pengurusan klinik memberitahu penyiasat bahawa Encik Ubiribo merupakan pesakit tetap di situ sejak 2024 dan pernah menjalani lima prosedur suntikan pembesaran zakar.

Empat prosedur pertama dilakukan pada 2024 dan 2025.

Dalam kunjungan kelimanya pada 5 Mac, beliau menerima kira-kira 40 mililiter bahan pengisi yang mengandungi asid hialuronik.

Doktor dilaporkan mencadangkan supaya jumlah itu diberikan dalam dua sesi, tetapi Encik Ubiribo meminta keseluruhan jumlah tersebut disuntik dalam satu sesi, menurut keterangan pengurusan klinik kepada penyiasat.

Selepas menjalani prosedur tersebut, Encik Ubiribo dan isterinya, Cik Danielle Simba Allen, pergi mendapatkan urutan.

Ketika menjalani urutan, beliau mengadu sakit dada dan kemudian rebah.

Laporan inkues di Britain menyatakan beliau kehilangan kesedaran sebanyak dua kali.

Encik Ubiribo kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Sukhumvit.

Beliau pada mulanya masih sedar dan dapat menjawab soalan kakitangan perubatan.

Isterinya turut memaklumkan doktor mengenai suntikan bahan pengisi yang diterimanya sebelum itu.

Doktor mengesyaki Encik Ubiribo mengalami embolisme pulmonari, iaitu keadaan apabila saluran darah di paru-paru tersumbat.

Beliau bagaimanapun hilang kesedaran sebelum imbasan tomografi berkomputer (CT) dapat dilakukan.

Pasukan perubatan cuba menyelamatkannya dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama lebih 100 minit, tetapi beliau tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sekitar 1 pagi pada 6 Mac.

Laporan koroner Britain menyatakan pemeriksaan bedah siasat dan toksikologi menentukan bahawa kematiannya berpunca daripada suntikan asid hialuronik tersebut.

Laporan mengenai inkues itu turut menyatakan pemeriksaan bedah siasat di Britain menemui bahan dalam paru-paru Encik Ubiribo yang sepadan dengan asid hialuronik yang digunakan dalam suntikan berkenaan.

Penolong Koroner, Cik Jean Harkin, kemudian membuat kesimpulan bahawa prosedur kosmetik itu menyebabkan embolisme pulmonari yang membawa kepada kematiannya.

Asid hialuronik lazim digunakan sebagai bahan pengisi dalam perubatan estetik.

Prosedur menggunakan bahan itu biasanya dianggap kurang invasif dan mempunyai risiko yang agak rendah.

Encik Ubiribo, yang turut dikenali sebagai “Tiny” dan “Ego”, mempunyai sekitar 185,000 pengikut di Instagram dan sering berkongsi gambar gaya hidup mewah bersama isterinya.

Thailand sejak sekian lama menjadi pusat utama pelancongan perubatan dan mempunyai reputasi kukuh dalam sektor penjagaan kesihatan. Industri estetik negara itu juga berkembang pesat.

Angka rasmi menunjukkan Thailand mempunyai sekitar 7,000 klinik estetik pada 2024, termasuk 2,000 di Bangkok.

Nilai pasaran sektor tersebut dijangka mencecah AS$7.51 bilion ($9.5 bilion) pada 2027, kira-kira tiga kali ganda berbanding saiz pasaran pada 2020. – Agensi berita