HANOI: Vietnam mencipta sejarah dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pemindahan zakar pertama negara itu menggunakan organ daripada penderma yang disahkan mati otak, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan pembedahan pemindahan tisu kompleks.

Kejayaan itu diumumkan Hospital Persahabatan Viet Duc di Hanoi pada Rabu, dengan pihak hospital menyifatkannya sebagai pencapaian penting yang bukan sahaja memulihkan kehidupan seorang pesakit, malah mengukuhkan keupayaan Vietnam dalam bidang pemindahan organ berteknologi tinggi.

Pesakit terbabit ialah seorang lelaki berusia 43 tahun yang sebelum ini menjalani pembuangan sebahagian zakar (partial penectomy) akibat masalah kesihatan empat tahun lalu.

Walaupun rawatan yang diterimanya berjaya menstabilkan keadaan kesihatan serta mengekalkan fungsi kencing, baki zakar yang terlalu pendek menyebabkan beliau tidak lagi mampu menjalani hubungan seksual, sekali gus memberi kesan besar terhadap kesejahteraan psikologi dan kualiti hidupnya.

Pengarah Pusat Andrologi Hospital Viet Duc, Profesor Madya Dr Nguyen Quang, berkata selepas menjalani penilaian menyeluruh melibatkan pakar pelbagai disiplin, termasuk aspek klinikal, keserasian imunologi, psikologi dan etika, pesakit didapati memenuhi semua syarat untuk menjalani pemindahan organ berkenaan.

“Matlamat utama prosedur ini bukan sekadar menggantikan organ yang hilang, tetapi memulihkan fungsi anatomi dan meningkatkan semula kualiti hidup pesakit dalam jangka panjang,” katanya.

Menurut beliau, pembedahan itu memerlukan ketepatan yang amat tinggi kerana pasukan pembedahan perlu membina semula keseluruhan struktur utama zakar, termasuk saluran kencing (uretra), tisu ereksi yang membolehkan zakar menegang, selain menyambungkan salur darah yang membekalkan darah ke organ berkenaan, saluran yang membawa darah kembali ke jantung (vena) serta saraf yang amat halus menggunakan teknik mikropembedahan.

“Gabungan pembedahan bagi membina semula struktur organ atau rekonstruktif dan mikropembedahan sepanjang operasi memerlukan ketelitian luar biasa bagi memastikan organ yang dipindahkan terus hidup dan berfungsi semula,” katanya.

Pembedahan berkenaan mengambil masa kira-kira enam jam dan dianggap lebih mencabar kerana pesakit pernah menjalani pembedahan saluran darah di kawasan sama sebelum ini.

Menurut pasukan perubatan, organ yang dipindahkan menunjukkan aliran darah yang baik sebaik sahaja pembedahan selesai, dengan warna dan suhu organ berada dalam keadaan normal.

Pemeriksaan klinikal serta imbasan ultrabunyi Doppler turut mengesahkan tiada tanda nekrosis tisu atau saluran darah tersumbat.

Seminggu selepas pembedahan, perkembangan organ yang dipindahkan dilaporkan sangat memuaskan dari segi struktur anatomi.

Bagaimanapun, doktor menegaskan pemindahan zakar merupakan sejenis pemindahan tisu vaskular yang sangat kompleks.

Justeru, walaupun organ itu berjaya hidup selepas pembedahan, tempoh pemantauan masih diperlukan bagi menilai pemulihan deria sentuhan, fungsi ereksi, penyembuhan uretra serta risiko penolakan organ dalam jangka sederhana dan panjang.

Pesakit kini menerima rawatan ubat antipenolakan organ dan akan dipantau secara rapi dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum keberkesanan jangka panjang prosedur itu dapat dipastikan.

Pengarah Hospital Viet Duc, Profesor Madya Dr Duong Duc Hung, berkata pasukan perubatan membuat persiapan teliti sebelum melaksanakan prosedur berkenaan.

Katanya, mereka membangunkan protokol pembedahan sendiri berdasarkan pengalaman antarabangsa serta menyelaraskan kepakaran pelbagai bidang, termasuk pemindahan organ, andrologi, mikropembedahan, anestesiologi, rawatan rapi, imunologi dan patologi.

“Ini adalah pemindahan zakar pertama di Vietnam menggunakan organ daripada penderma mati otak.
“Pencapaian ini membuktikan kemampuan pakar bedah Vietnam menguasai teknik pemindahan tisu kompleks serta menunjukkan kematangan sistem pemindahan organ negara,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu dijangka membuka peluang rawatan kepada lebih ramai pesakit yang kehilangan zakar akibat kanser, kemalangan industri, kemalangan jalan raya, serangan haiwan, kecederaan peperangan, letupan bom lama atau kecacatan kongenital.

Menurut Dr Hung, perubahan paling ketara selepas pembedahan ialah pemulihan emosi pesakit.

Sebelum menjalani pemindahan, pesakit mengalami tekanan psikologi yang serius sehingga menganggap hidupnya sudah tidak lagi bermakna.

“Pemindahan ini bukan sahaja memulihkan sebahagian anggota tubuhnya, malah mengembalikan keyakinan diri, kebahagiaan dan kualiti hidup beliau serta keluarganya,” katanya.

Organ yang dipindahkan diperoleh daripada seorang pelajar universiti di Hanoi yang disahkan mati otak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Menurut Dr Hung, bapa mangsa secara sukarela bersetuju mendermakan organ anaknya bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain dan menolak sebarang bantuan kewangan sepanjang proses rawatan.

Selain zakar, pendermaan itu turut membolehkan doktor memindahkan jantung, hati, buah pinggang dan kornea kepada beberapa penerima lain.

Hospital itu berkata pencapaian berkenaan menjadi asas kepada pembangunan prosedur standard pemindahan zakar di Vietnam pada masa depan.

Malah, hospital berkenaan kini sedang membuat persiapan untuk melaksanakan pemindahan rahim dan ovari pertama negara itu sebagai langkah seterusnya dalam memperluaskan bidang pemindahan organ rekonstruktif.

Berdasarkan penerbitan jurnal perubatan antarabangsa, hanya lima kes pemindahan zakar yang berjaya pernah dilaporkan di seluruh dunia sebelum ini.

Prosedur pertama dilakukan di China pada 2006, diikuti beberapa kes di Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, dengan kes terbaru diterbitkan pada 2018.

Dalam salah satu kes itu, penerima pemindahan berjaya memperoleh zuriat selepas menjalani prosedur berkenaan.

Pakar perubatan menjelaskan zakar merupakan antara organ paling rumit untuk dipindahkan kerana kejayaan prosedur bukan sekadar bergantung kepada kelangsungan hidup organ, malah perlu memastikan pesakit dapat kembali membuang air kecil, memperoleh semula deria sentuhan dan akhirnya memulihkan fungsi seksual. - Agensi berita