BANGKOK: Thailand menarik balik kerakyatan ketua rabai Yahudi di negara itu selepas beliau didapati terus menggunakan pasport Amerika Syarikat untuk perjalanan antarabangsa, meskipun telah memperoleh kerakyatan Thailand sejak 2013.

Keputusan terhadap Rabai Yosef Chaim Kantor itu merupakan langkah terbaru kerajaan Thailand memperketat penguatkuasaan undang-undang terhadap warga asing yang didakwa melanggar peraturan imigresen dan kerakyatan negara tersebut.

Perintah pembatalan kerakyatan itu ditandatangani Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul.

Menurut dokumen rasmi, Rabai Kantor didapati terus menggunakan kewarganegaraan Amerika untuk perjalanan ke luar negara, termasuk 16 perjalanan pergi balik ke Australia.

Rabai Kantor, yang mengetuai pertubuhan Chabad Thailand sejak 1993, tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan ulasan.

Chabad merupakan gerakan Yahudi Ortodoks antarabangsa yang beribu pejabat di New York, Amerika.

Tindakan itu dibuat ketika kerajaan Encik Anutin, yang memenangi pilihan raya Februari lalu dengan dasar mengutamakan kepentingan rakyat Thailand, mengambil pendekatan lebih tegas terhadap sebahagian warga asing yang menetap atau berkunjung ke negara tersebut.

Pada Ogos lalu, kerajaan memperkenalkan peraturan baru yang membolehkan warga asing diusir dengan lebih cepat sekiranya kegiatan mereka dianggap mengancam ketenteraman awam.

Pihak berkuasa turut meningkatkan siasatan terhadap perniagaan yang dikawal warga asing serta pemilikan tanah menggunakan nama rakyat Thailand sebagai proksi bagi mengelakkan sekatan undang-undang.

Kes Rabai Kantor menyusuli tindakan pada 1 Oktober apabila kerajaan membatalkan kerakyatan Thailand seorang ahli perniagaan yang didapati terus menggunakan pasport Israel.

Ahli perniagaan itu juga didakwa gagal mengisytiharkan kewarganegaraan Uruguay ketika memohon kerakyatan Thailand.

Secara berasingan, penyiasat Thailand menjalankan pemeriksaan di premis Chabad dan beberapa pertubuhan berkaitan masyarakat Yahudi pada Oktober lalu.

Pemeriksaan tersebut merupakan sebahagian siasatan terhadap kemungkinan penggunaan individu tempatan sebagai pemegang nama bagi perniagaan dan pemilikan hartanah warga asing.

Di bawah undang-undang Thailand, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa membatalkan kerakyatan yang diperoleh melalui proses naturalisasi sekiranya terdapat bukti individu berkenaan terus menggunakan kewarganegaraan asal.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan menegaskan siasatan tersebut berasaskan kemungkinan pelanggaran undang-undang dan bukannya latar belakang kewarganegaraan atau agama seseorang.

Setakat ini, tiada keputusan rasmi yang mendapati Rabai Kantor atau pertubuhan Chabad melakukan sebarang kesalahan berkaitan siasatan perniagaan dan pemilikan hartanah tersebut.

Langkah terbaru itu mencerminkan usaha Thailand memperketat penguatkuasaan terhadap warga asing, meskipun negara tersebut masih bergantung kuat pada sektor pelancongan sebagai antara penyumbang utama ekonominya. – Agensi berita