BANGKOK: Panglima tentera Thailand dan Kemboja akan bertemu pada 29 Mei, menurut kedua-dua kerajaan, selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran di sempadan.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, memberitahu wartawan pada 29 Mei bahawa “kedua-dua pihak perlu bertenang dan berbincang untuk melihat apa yang boleh dipersetujui,” dan menyeru perbincangan secara aman.
Rakan sejawatnya dari Kemboja, Encik Hun Manet, menulis di Facebook bahawa beliau berharap pertemuan antara dua komander tentera “akan membuahkan hasil yang positif”.
Menteri Pertahanan Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, memaklumkan kepada wartawan bahawa perbincangan itu akan diadakan pada petang 29 Mei, sambil menambah bahawa “terdapat salah faham daripada kedua-dua pihak”.
Seorang askar Kemboja maut pada 28 Mei dalam kejadian tembak-menembak dengan tentera Thai di sempadan, menurut jurucakap tentera Kemboja. Kematian ini satu kejadian jarang berlaku di sepanjang sempadan yang sensitif itu berlaku selepas pemimpin Kemboja dan Thailand menghadiri sidang puncak Asean, di mana gabungan serantau itu berjanji untuk meningkatkan kerjasama.
Tentera Thailand berkata pada 28 Mei bahawa askar mereka melepaskan tembakan sebagai tindak balas kepada tembakan dari pasukan sempadan Kemboja, menyebabkan pertempuran selama kira-kira 10 minit sebelum pihak Thai berkata pihak Kemboja meminta gencatan senjata.
Jurucakap Tentera Diraja Kemboja, Mao Phalla, mengesahkan insiden tersebut pada 28 Mei tetapi berkata askar Thailand telah menyerang tentera Kemboja yang sedang melakukan rondaan di wilayah Preah Vihear utara.
“Seorang askar kami maut di dalam parit. Pihak Thai datang menyerang kami,” katanya.
Kemboja dan Thailand telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang lebih 800km, yang sebahagian besarnya ditetapkan semasa penjajahan Perancis di Indochina.
Menteri Pertahanan Thailand, Phumtam Wechayachai, pula mendakwa kes tembakan berpunca akibat salah faham dan kedua-dua pihak sedang berbincang untuk meredakan ketegangan.
Berikutan itu, Komander Wilayah Tentera Kedua, Leftenan Jeneral Boosin Phadklang, menegaskan Thailand tidak akan berganjak selagi tentera Kemboja yang didakwa menggali parti di kawasan pertikaian itu tidak berundur.
Mengikut sejarah, Thailand dan Kemboja mempunyai kronologi panjang pertikaian mengenai sempadan, tetapi kedua-dua pihak berjaya mengekalkan hubungan baik sejak konflik berdarah pada 2011 yang mengorbankan puluhan nyawa.
Pertempuran berdarah antara jiran Asia Tenggara ini meletus pada 2008 berhubung kuil Preah Vihear yang terletak berhampiran sempadan bersama mereka.
Pertikaian mengenai kawasan tanah berhampiran kuil berusia 900 tahun itu membawa kepada beberapa tahun keganasan menyebabkan sekurang-kurangnya 28 kematian sebelum Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan kawasan itu milik Kemboja.
Pada Februari, Bangkok secara rasmi membantah kepada Phnom Penh selepas sebuah video menunjukkan wanita menyanyikan lagu patriotik Khmer di hadapan sebuah kuil lain yang turut dipertikaikan, tular di media sosial.
Pada 29 Mei, bekas Perdana Menteri Kemboja yang berpengaruh, Encik Hun Sen yang juga bapa kepada Hun Manet dan sekutu kepada bapa Encik Paetongtarn, bekas Perdana Menteri Thailand Encik Thaksin Shinawatra menyeru agar semua pihak bertenang dan menyelesaikan isu sempadan yang berterusan antara kedua-dua negara secara damai.
Cik Paetongtarn telah mengunjungi Kemboja pada April lalu dalam lawatan dua hari, di mana beliau bertemu dengan Encik Hun Manet untuk membincangkan kerjasama rentas sempadan berkaitan isu seperti penipuan dalam talian dan pencemaran udara. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg