Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada bahan letupan ditemui dekat pangkalan tentera Britain, kaitan Iran masih disiasat
Tiada bahan letupan ditemui dekat pangkalan tentera Britain, kaitan Iran masih disiasat
Tiada bahan letupan ditemui dekat pangkalan tentera Britain, kaitan Iran masih disiasat
LONDON: Polis Britain tidak menemui sebarang bahan letupan dalam tiga van milik lima lelaki yang ditahan berhampiran sebuah pangkalan tentera yang digunakan pesawat pengebom Amerika Syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sifat sebenar ancaman yang mencetuskan operasi antipengganasan besar-besaran itu.
Polis berkata bahan yang ditemui dalam kenderaan berkenaan hanyalah sejumlah petrol dan tiada alat letupan buatan sendiri dikesan.
Namun, siasatan terhadap lima lelaki itu masih diteruskan, termasuk kemungkinan terdapat penglibatan pihak asing di sebalik kejadian berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford di Gloucestershire, kira-kira 145 kilometer ke barat London.
Lima lelaki warga Britain berusia antara 23 dengan 25 tahun itu ditahan pada 27 September selepas polis menerima laporan mengenai tiga van mencurigakan yang dipercayai menuju ke pangkalan tersebut.
Mereka pada mulanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang bahan letupan sebelum turut disiasat atas syak melakukan persiapan bagi tindakan pengganasan.
Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin sehari kemudian dan tertakluk kepada syarat ketat sementara siasatan diteruskan.
Ketua Polis Antipengganasan Britain, Encik Laurence Taylor, mempertahankan keputusan itu dengan berkata pembebasan mereka merupakan “keputusan penyiasatan” yang dibuat berdasarkan pengalaman dan penelitian terhadap kuasa polis.
Polis turut menggeledah beberapa hartanah di London yang dikaitkan dengan suspek.
Walaupun tiada bahan letupan ditemui, pegawai kanan Amerika Syarikat menyifatkan kejadian itu sebagai ancaman serius dan berkata kemungkinan penglibatan pihak asing sedang diteliti.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata insiden tersebut adalah “situasi sangat serius” dan mendakwa ia “jelas melibatkan tangan aktor asing”.
Namun, beliau tidak menyatakan negara yang dipercayai terbabit.
Presiden Donald Trump sebelum itu berkata lima lelaki tersebut dipercayai mahu melakukan “kerosakan besar” dan mencadangkan kemungkinan Iran mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Pegawai Amerika dan Barat yang mengetahui maklumat risikan mengenai ancaman berkenaan berkata langkah keselamatan di beberapa pangkalan tentera di Eropah telah dipertingkatkan susulan kebimbangan mengenai kemungkinan ancaman dari Iran.
RAF Fairford adalah antara pangkalan yang menerima kawalan keselamatan lebih ketat.
Pangkalan milik Britain itu digunakan Amerika sejak beberapa dekad lalu dan mempunyai landasan panjang yang membolehkannya menempatkan pesawat pengebom berat Amerika.
Britain sebelum ini turut membenarkan Amerika menggunakan RAF Fairford bagi operasi yang dikaitkan dengan konflik dengan Iran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Britain setakat ini belum secara terbuka mengaitkan lima suspek itu dengan pemerintah Iran.
Kedutaan Iran di London juga menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan Teheran.
Dalam satu kenyataan, kedutaan itu menyifatkan dakwaan yang cuba mengaitkan Iran dengan penahanan lima lelaki tersebut sebagai spekulasi “tidak berasas dan berniat jahat”.
Kes itu turut menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar lima lelaki berkenaan.
Antara kemungkinan yang sedang diteliti ialah sama ada mereka mengetahui sepenuhnya tujuan kegiatan mereka atau mungkin digunakan oleh pihak lain tanpa mengetahui rancangan yang lebih besar.
Encik Taylor berkata ancaman berkaitan keselamatan negara kadangkala pada peringkat awal kelihatan seperti kegiatan jenayah biasa yang dilakukan individu dengan tujuan mendapatkan keuntungan kewangan dengan cepat.
Pakar antipengganasan turut berkata beberapa kemungkinan tidak boleh diketepikan, termasuk tindakan untuk menguji tahap keselamatan RAF Fairford atau mengalihkan perhatian pihak berkuasa.
Encik Carlos T. Fernandez, bekas pegawai kanan antikeganasan Biro Siasatan Federal (FBI) di New York, berkata kejadian itu juga boleh menjadi percubaan untuk menilai kawalan keselamatan di pangkalan tersebut.
Insiden terbaru berlaku ketika Britain meningkatkan perhatian terhadap kegiatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran.
Pada September, polis Britain menahan dua individu dalam siasatan berasingan kerana disyaki membantu perkhidmatan perisikan asing, dengan pihak berkuasa secara terbuka menyatakan kes itu mempunyai kaitan dengan Iran.
Namun, siasatan di RAF Fairford masih belum menghasilkan bukti awam yang menunjukkan lima lelaki tersebut bertindak bagi pihak Teheran.
Persoalan utama kini ialah mengapa mereka berada berhampiran pangkalan itu dengan tiga van dan sejumlah petrol, serta sama ada kegiatan mereka mempunyai kaitan dengan rancangan lebih besar.
Buat masa ini, polis menegaskan siasatan masih berjalan dan lima lelaki itu akan dipantau dengan ketat sepanjang tempoh ikat jamin.
Langkah keselamatan tambahan di RAF Fairford pula mula dikurangkan selepas pemeriksaan mendapati tiada alat letupan di dalam kenderaan suspek. – Agensi berita.