Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga anggota kabinet Prabowo tinggalkan parti Jokowi ketika desakan pecat Gibran meningkat
Tiga anggota kabinet Prabowo tinggalkan parti Jokowi ketika desakan pecat Gibran meningkat
Pengunduran anggota Kabinet Prabowo daripada parti pimpinan anak Jokowi cetus persoalan politik menjelang perbahasan Parlimen mengenai kedudukan Naib Presiden Gibran.
Tiga anggota kabinet Prabowo tinggalkan parti Jokowi ketika desakan pecat Gibran meningkat
JAKARTA: Tiga pemimpin kanan Parti Solidariti Indonesia (PSI) yang memegang jawatan dalam Kabinet Presiden Prabowo Subianto meletakkan jawatan dalam parti itu, ketika tekanan politik semakin meningkat terhadap Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka yang berdepan desakan supaya dipecat.
Pengunduran mereka menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Encik Prabowo dengan bekas Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo ketika Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dijadual menyambung persidangan pada 10 November bagi membincangkan kontroversi kelayakan pendidikan Encik Gibran.
Tiga pemimpin terbabit ialah Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni; Timbalan Menteri Kebudayaan, Giring Ganesha; serta Timbalan Menteri Kependudukan dan Pembangunan Keluarga, Isyana Bagoes Oka.
Ketiga-tiganya mengumumkan pengunduran daripada PSI pada 9 November dengan alasan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas dalam pemerintah.
PSI dipimpin Encik Kaesang Pangarep, anak bongsu Jokowi dan adik kepada Encik Gibran.
Parti itu merupakan antara penyokong kuat pencalonan Encik Prabowo dan Encik Gibran dalam pilihan raya Presiden 2024.
Bagaimanapun, pengunduran tiga tokoh penting itu berlaku ketika PSI menjadi satu-satunya parti yang secara terbuka menentang desakan pemecatan Encik Gibran.
Encik Raja Juli, yang juga Setiausaha Agung PSI, berkata keputusannya meninggalkan parti dibuat semata-mata untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Menteri Perhutanan.
“Hanya ada satu sebab. Saya mahu menumpukan sepenuh masa dan perhatian untuk membantu Presiden Prabowo Subianto sebagai Menteri Perhutanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan pengundurannya merangkumi jawatan Setiausaha Agung dan semua kegiatan politik bersama PSI.
Menurutnya, pemerintah kini memberi keutamaan kepada pemulihan hutan, pemuliharaan ekosistem dan perlindungan kepelbagaian biologi, terutama selepas kebakaran hutan dan tanah melanda beberapa wilayah Indonesia.
Encik Raja Juli berkata Encik Kaesang memahami dan menerima keputusannya.
Encik Giring, bekas pengerusi PSI sebelum Encik Kaesang mengambil alih kepimpinan parti, turut memberikan alasan sama.
Encik Kaesang pula mengesahkan menerima pengunduran ketiga-tiga pemimpin itu sambil menegaskan bahawa tanggungjawab kepada negara perlu mengatasi kepentingan parti.
“Kami percaya bahawa berkhidmat kepada negara mesti diutamakan berbanding kepentingan mana-mana kumpulan atau parti politik,” katanya.
Bagaimanapun, PSI belum mengumumkan pengganti Encik Raja Juli sebagai Setiausaha Agung.
Pengunduran itu berlaku ketika masa depan politik Encik Gibran menjadi perhatian selepas Mahkamah Agung Indonesia membatalkan pengiktirafan sijil pendidikan yang digunakannya untuk memenuhi syarat bertanding dalam pilihan raya Presiden 2024.
Keputusan mahkamah tersebut mencetuskan desakan supaya DPR mengambil tindakan terhadap kelayakan Encik Gibran sebagai Naib Presiden.
Timbalan Speaker DPR daripada Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo, Sufmi Dasco Ahmad, berkata beberapa parti sudah mengemukakan pandangan mengenai kemungkinan memulakan proses pemecatan.
Menurutnya, perbincangan rasmi hanya boleh dimulakan selepas DPR kembali bersidang.
“Perkara ini masih dibincangkan secara tidak rasmi antara parti kerana persidangan belum bermula. Mereka meminta supaya perbincangan rasmi diadakan melalui saluran yang ditetapkan,” katanya.
Beberapa parti dalam gabungan pemerintahan pimpinan Encik Prabowo dilaporkan sedang mempertimbangkan penggunaan kuasa Parlimen untuk menyiasat kontroversi tersebut.
Antaranya termasuk hak menjalankan siasatan, hak interpelasi untuk meminta penjelasan pemerintah dan hak menyatakan pendapat yang boleh membuka laluan kepada proses pemecatan.
Anggota DPR daripada Parti Golkar, Encik Ahmad Doli Kurnia, mencadangkan supaya Parlimen menggunakan hak menyatakan pendapat.
Beliau berkata perbincangan sudah diadakan dengan parti politik lain.
Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), satu-satunya parti di luar gabungan pemerintah turut berusaha mendapatkan sokongan bagi menentukan kedudukan Encik Gibran.
Penganalisis politik, Agung Baskoro, berpendapat desakan terhadap Encik Gibran berpotensi semakin kuat apabila lebih banyak parti menyatakan pendirian.
Beliau berkata perkembangan itu turut menguji hubungan politik antara Encik Prabowo dengan Encik Jokowi, yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan pasangan Prabowo-Gibran.
“Pada tahap ini, hubungan antara Jokowi dengan Prabowo sedang diuji dan berada pada keadaan yang cukup genting,” katanya.
Ketegangan antara kedua-dua tokoh itu turut meningkat susulan skandal pengintipan yang membabitkan bekas Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, sekutu rapat Encik Jokowi.
Encik Listyo ditahan minggu lalu kerana disyaki mengintip komunikasi Encik Prabowo dan beberapa tokoh penting tanpa kebenaran sepanjang tahun lalu.
Suruhanjaya III DPR yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan undang-undang dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak polis pada 12 November bagi membincangkan kes tersebut.
Siasatan turut meneliti kemungkinan wujud unsur pengkhianatan terhadap negara.
Penganalisis politik, Yoes Kenawas, berkata skandal itu memberi kelebihan politik kepada Encik Prabowo dalam hubungannya dengan Jokowi.
Menurutnya, jika terbukti kegiatan pengintipan dilakukan untuk kepentingan kumpulan Jokowi, masa depan politik bekas Presiden itu mungkin bergantung kepada keputusan Encik Prabowo.
Dengan PSI tidak mempunyai sebarang kerusi di DPR, kedudukan Encik Gibran kini banyak bergantung kepada pendirian parti dalam gabungan pemerintah.
Keadaan itu menjadikan keputusan Encik Prabowo dan sekutunya semakin penting dalam menentukan sama ada desakan terhadap Naib Presiden akan berkembang menjadi proses pemecatan rasmi.