Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga lelaki ditahan kerana disyaki dera anjing

Jul 10, 2023 | 3:01 PM
ANIAYA BINATANG: Rakaman video menunjukkan dua lelaki menyerang sesuatu menggunakan kayu di dalam semak.
ANIAYA BINATANG: Rakaman video menunjukkan dua lelaki menyerang sesuatu menggunakan kayu di dalam semak. - Foto NST/ TWITTER SYHMIEE

BALIK PULAU: Polis telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seekor anjing digilis sebelum mati dibelasah di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung, pada Sabtu.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin, berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 40 dengan 53 tahun itu ditahan di Batu Maung antara 11.45 malam dengan 1 pagi pada Isnin.

“Semua suspek yang bekerja sebagai ejen kargo, nelayan dan pemandu bas direman tiga hari, sehingga 12 Julai, bagi membantu siasatan,” katanya.

Datuk Khaw berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing mereka didapati negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata ekoran laporan yang dibuat, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menurutnya, polis terjumpa artikel di media sosial bertajuk “Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa disiksa dua lelaki durjana sampai mati”.

Artikel itu disertakan dengan rakaman video yang menunjukkan dua lelaki memukul sesuatu dengan menggunakan kayu di dalam semak.

“Seorang saksi mendakwa ternampak dua lelaki tempatan yang tidak dikenali, dipercayai tinggal berhampiran tempat kejadian, menyerang seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan.

“Saksi merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit dan menghantarnya kepada rakannya di Petaling Jaya, Selangor, sebelum ditularkan oleh rakannya itu menerusi akaun Twitter, Syhmiee,” katanya lagi.

Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 ($29,000) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – NST.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg