SAN DIEGO: Tiga lelaki yang terbunuh dalam serangan tembakan di Pusat Islam San Diego pada 18 Mei disifatkan sebagai wira kerana tindakan mereka berjaya melambatkan pergerakan penyerang dan menyelamatkan ratusan pelajar daripada menjadi mangsa.

Ketua Polis San Diego, Encik Scott Wahl, berkata keberanian pengawal keselamatan masjid, Encik Amin Abdullah, bersama dua mangsa lain menghalang tragedi lebih besar daripada berlaku.

“Saya mahu jelaskan bahawa ketiga-tiga mangsa tidak mati sia-sia,” katanya dalam sidang media.

“Tanpa tindakan mereka mengalih perhatian dan melambatkan penyerang, sudah pasti lebih ramai akan terbunuh.”

Mangsa pertama, Encik Amin Abdullah, ialah seorang mualaf dan bapa kepada lapan anak yang sudah lama berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di pusat Islam berkenaan.

Menurut rakan beliau, Encik Khalid Alexander, Encik Amin sangat mengambil berat tentang keselamatan masyarakat setempat, terutama selepas serangan pengganas di masjid Christchurch, New Zealand, pada 2019 yang banyak memberi kesan kepada dirinya.

“Menjaga keselamatan orang di tempat beliau berada sentiasa menjadi keutamaan Amin,” katanya.
“Beliau meninggal dunia tepat seperti yang beliau mahukan, iaitu ketika melindungi orang lain.”

Dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai Encik Mansour Kaziha, pengurus kedai masjid dan penjaga pusat Islam itu, serta Encik Nader Awad, seorang jemaah yang bergegas ke lokasi untuk membantu apabila mendengar tembakan.

Menurut polis, kedua-dua penyerang remaja terbabit menyerbu masuk ke pusat Islam itu sekitar tengah hari 18 Mei sebelum melepaskan tembakan.

Ketika itu, Encik Amin yang berada berhampiran pintu masuk segera mencapai radio komunikasi dan mengarahkan prosedur lockdown atau keselamatan kecemasan dilaksanakan, termasuk mengunci bangunan dan memindahkan pelajar ke kawasan selamat.

Beliau kemudian melepaskan tembakan ke arah suspek sebelum dibalas oleh kedua-dua penyerang.

“Tanpa ragu-ragu, tindakan beliau melambatkan dan mengganggu penyerang daripada memasuki kawasan utama masjid, di mana kira-kira 140 kanak-kanak berada hanya beberapa meter dari mereka,” kata Encik Wahl. Encik Amin akhirnya maut dalam pertempuran senjata itu.

Namun tindakannya memberi masa kepada pihak sekolah dan petugas pusat Islam mengunci bangunan serta memindahkan pelajar ke kawasan selamat.

Ketika penyerang bergerak dari satu bilik ke satu bilik, mereka mendapati kebanyakan ruang telah dikunci atau kosong kerana prosedur kecemasan sudah diaktifkan.

Pada masa sama, Encik Nader Awad dan Encik Mansour Kaziha berada di kawasan parkir luar bangunan. Encik Kaziha pula sudah lama dikenali sebagai individu penting yang menjaga operasi harian masjid.

Encik Awad dilaporkan berlari dari rumahnya berhampiran pusat Islam itu selepas bimbang terhadap keselamatan isterinya yang mengajar di sekolah dalam kompleks berkenaan.

Menurut Encik Wahl, kedua-dua lelaki itu secara sengaja mengalihkan perhatian penyerang yang kemudian keluar dari bangunan dan menembak mereka hingga mati di kawasan parkir.

Gangguan itu dipercayai menjadi faktor utama yang menyebabkan penyerang melarikan diri beberapa saat sebelum polis tiba di lokasi.

Bagi penduduk tempatan, kehilangan Encik Amin amat dirasai kerana beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan sentiasa membantu sesiapa sahaja.

Encik Sam Hamideh, seorang bapa yang anaknya belajar di sekolah pusat Islam itu, berkata beliau cuba menghubungi Encik Amin selepas mendengar berita serangan tersebut. Namun sebelum sempat membuat panggilan, beliau dimaklumkan rakannya itu sudah meninggal dunia. “Itu sangat menyedihkan,” katanya. “Anda sedang melihat namanya di telefon untuk membuat panggilan, tetapi dimaklumkan dia sudah tiada.”

Anak perempuan Encik Amin, Cik Hawaa Abdullah, berkata bapanya terlalu serius menjalankan tugas sehingga kadangkala enggan berehat ketika bekerja. “Beliau takut sesuatu buruk berlaku jika meninggalkan tugas walaupun seketika,” katanya.

Dalam satu upacara memperingati mangsa, Cik Hawaa berkata bapanya mahu masyarakat terus bersatu tanpa mengira latar belakang atau agama. “Itulah legasi yang beliau tinggalkan. Beliau mahu semua orang menjadi lebih baik tanpa mengira siapa kita,” katanya.

Encik Kaziha, yang dikenali sebagai Abu Ezz, menguruskan kedai masjid hampir 40 tahun dan dianggap tulang belakang pusat Islam itu.

Imam masjid, Encik Taha Hassane, berkata beliau amat bergantung kepada Encik Kaziha dalam pelbagai urusan termasuk penyelenggaraan, memasak dan membantu pelarian Afghanistan mendapatkan bekalan keperluan.

“Beliau segala-galanya bagi kami,” katanya. “Saya tidak tahu bagaimana pusat Islam ini akan berjalan tanpa bantuan hariannya.”

Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI)  mengesahkan serangan tersebut disiasat sebagai jenayah kebencian.

Ejen khas FBI San Diego, Encik Mark Remily, berkata penyiasat menemui manifesto dan bahan propaganda yang mengandungi ideologi kebencian agama dan perkauman. “Suspek ini tidak memilih siapa yang mereka benci,” katanya.

Polis turut merampas lebih 30 senjata api dan sebuah busur silang dari beberapa rumah yang dikaitkan dengan suspek.

Datuk Bandar San Diego, Encik Todd Gloria, berkata kedua-dua penyerang itu tidak mewakili masyarakat bandar berkenaan. “Mereka bukan wajah San Diego,” katanya. “Tiga lelaki Muslim inilah yang sebenarnya mencerminkan siapa kami.” – Agensi berita.