Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan masjid San Diego cetus kebimbangan isu Islamofobia di AS
Serangan masjid San Diego cetus kebimbangan isu Islamofobia di AS
Polis siasat kejadian sebagai kemungkinan jenayah kebencian
Serangan masjid San Diego cetus kebimbangan isu Islamofobia di AS
SAN DIEGO: Serangan tembakan di masjid terbesar San Diego yang mengorbankan tiga individu pada 18 Mei, mencetuskan kebimbangan baru mengenai peningkatan Islamofobia di Amerika Syarikat.
Buat masa ini, pihak berkuasa menyiasat kejadian itu sebagai kemungkinan jenayah kebencian.
Datuk Bandar San Diego, Encik Todd Gloria, mengecam keras serangan tersebut dan menegaskan kebencian terhadap umat Islam tidak boleh diterima di bandar itu.
“Kebencian tidak mempunyai tempat di San Diego. Islamofobia juga tidak mempunyai tempat di San Diego,” katanya dalam sidang media beberapa jam selepas serangan berlaku.
“Serangan terhadap mana-mana penduduk San Diego adalah serangan terhadap seluruh masyarakat San Diego dan kami tidak akan berdiam diri.”
Beliau turut memberi amaran bahawa pihak yang cuba membawa pengganasan ke bandar itu akan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa.
“Sesiapa yang cuba melakukan pengganasan di sini akan berdepan tindak balas pantas dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua remaja bersenjata melepaskan tembakan di Pusat Islam San Diego sebelum ditemui mati di dalam sebuah kenderaan berhampiran tempat kejadian.
Media Amerika melaporkan suspek dikenali sebagai Cain Clark, 17 tahun; dan Caleb Vazquez, 18 tahun.
Polis San Diego berkata pihaknya menerima panggilan pertama pada 9.42 pagi daripada ibu salah seorang suspek yang melaporkan anaknya hilang bersama senjata api dan kereta keluarga.
Ketua Polis San Diego, Encik Scott Wahl, berkata wanita itu turut memberitahu anaknya mungkin mempunyai niat membunuh diri dan dipercayai bersama seorang rakannya.
“Kedua-duanya memakai pakaian celoreng tentera,” katanya.
Polis kemudian melancarkan operasi mengesan kedua-dua remaja itu termasuk meneliti nombor pendaftaran kenderaan dan menghantar anggota ke beberapa lokasi berkaitan, termasuk sebuah sekolah berhampiran masjid.
Namun, pada 11.43 pagi, polis menerima laporan mengenai penembak aktif di masjid tersebut.
“Pegawai kami masih berada berhampiran rumah ibu suspek ketika panggilan mengenai serangan di pusat Islam diterima,” kata Encik Wahl.
“Apabila mereka mendengar apa yang berlaku di masjid itu, mereka terus bergegas ke lokasi.”
Setibanya di sana, polis menemui tiga lelaki dewasa mati ditembak di luar masjid.
Pada masa sama, polis menerima laporan mengenai satu lagi kejadian tembakan beberapa blok dari tempat kejadian sebelum menemui kedua-dua suspek mati di dalam kereta dipercayai akibat tembakan sendiri.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut termasuk menggeledah beberapa lokasi dan meneliti rakaman kamera keselamatan di kawasan masjid.
“Kami akan menyiasat setiap petunjuk dan maklumat bagi memahami bagaimana kejadian ini boleh berlaku dan apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya,” ujar Encik Wahl.
Beliau turut mengesahkan penyiasat menemui tulisan anti-Islam di dalam kenderaan suspek, selain perkataan berunsur kebencian ditulis pada salah satu senjata yang digunakan.
“Terdapat retorik kebencian yang jelas dalam kes ini,” katanya.
Walaupun tiada ancaman khusus terhadap masjid itu dikesan sebelum serangan, polis percaya unsur kebencian terhadap Islam memainkan peranan penting dalam kejadian tersebut.
Kejadian itu berlaku ketika laporan mengenai diskriminasi dan kebencian terhadap umat Islam di Amerika terus meningkat.
Menurut Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) sebanyak 8,683 aduan hak sivil berkaitan diskriminasi terhadap umat Islam direkodkan pada 2025.
Ia merupakan jumlah tertinggi sejak organisasi itu mula menyimpan rekod pada 1996.
Cair berkata suasana politik semasa serta retorik berkaitan perang Gaza telah menyebabkan umat Islam dan individu yang menyokong hak rakyat Palestin kian menjadi sasaran.
“Islamofobia membahayakan masyarakat Islam di seluruh negara ini,” kata Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, yang juga datuk bandar Islam pertama bandar itu.
“Kita mesti menanganinya secara langsung dan berdiri bersama menentang politik ketakutan dan perpecahan.”
Imam masjid berkenaan, Encik Taha Hassane, berkata masyarakat Islam di San Diego masih terkejut dan bersedih dengan tragedi tersebut.
“Amat melampau untuk menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran,” katanya.
“Orang datang ke pusat Islam untuk berdoa, belajar dan meraikan kehidupan.
“Bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat pelbagai latar belakang.”
Beliau berkata budaya kebencian dan tahap toleransi agama di Amerika kini berada pada peringkat membimbangkan.
“Kita semua bertanggungjawab menyebarkan budaya toleransi dan kasih sayang,” katanya.
Gabenor California, Encik Gavin Newsom, turut menyatakan sokongan kepada masyarakat Islam dan menegaskan tiada sesiapa sepatutnya takut untuk beribadat.
“Kebencian tidak mempunyai tempat di California dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap pengganasan atau ugutan terhadap masyarakat agama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau telah menerima laporan awal mengenai kejadian itu.
“Ia satu keadaan yang amat dahsyat,” katanya di Rumah Putih. – Agensi berita.
