NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tiga orang maut selepas sebuah bangunan lima tingkat yang menempatkan kebanyakannya pelajar runtuh di New Delhi pada 6 September, dengan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.

Bangunan yang dikenali sebagai Hostel Daze di kawasan Satya Niketan, barat daya Delhi, runtuh sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan ketika ramai pelajar dipercayai berada di bilik masing-masing.

Kawasan Satya Niketan terletak berhampiran kampus Universiti Delhi dan mempunyai banyak asrama serta rumah sewa persendirian yang menempatkan pelajar.

Menurut saksi yang dipetik media tempatan, sehingga 50 orang dipercayai berada di dalam bangunan itu ketika ia runtuh.

Agensi berita Press Trust of India (PTI), yang memetik polis, melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.

Laporan mengenai jumlah mangsa yang diselamatkan berbeza-beza ketika operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Beberapa laporan awal menyatakan lapan orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan, manakala laporan kemudian menyebut sembilan orang telah diselamatkan.

Beberapa mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Jumlah sebenar mereka yang masih terperangkap belum dapat dipastikan.

Pasukan polis, bomba dan anggota tindak balas bencana dikerahkan ke tempat kejadian, dengan jentera berat digunakan untuk mengalihkan timbunan konkrit dan serpihan bangunan.

Operasi dilakukan dengan berhati-hati kerana dikhuatiri masih terdapat mangsa yang hidup di bawah runtuhan.

Seorang anggota Dewan Undangan Delhi yang berada di tempat kejadian berkata beberapa pelajar yang terperangkap sempat membuat panggilan telefon dari bawah runtuhan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan seorang lelaki muda daripada timbunan serpihan.

Seorang lagi mangsa dilihat terperangkap di bawah bongkah konkrit dengan hanya bahagian mukanya kelihatan.

Saksi berkata kerja pembinaan sedang dijalankan di bahagian bawah tanah bangunan sebelum kejadian.

Pemilik sebuah kedai berhampiran mendakwa kerja menggali bahagian bawah tanah dilakukan bagi memperluaskan asrama dan menambah kapasiti penginapan.

“Mereka mengukuhkan bangunan di bahagian atas, tetapi tiang di bawah lemah,” katanya kepada agensi berita ANI.

Beliau berkata beberapa pekerja binaan juga dipercayai tertimbus apabila bangunan tersebut runtuh.

Polis Delhi berkata bangunan itu dianggarkan berusia sekitar 40 hingga 50 tahun.

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada kerja pembinaan di bahagian bawah tanah mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Media tempatan melaporkan polis turut mencari pemilik bangunan bagi membantu siasatan.

Sebuah bangunan bersebelahan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan terhadap keselamatan strukturnya.

Ketua Menteri Delhi, Cik Rekha Gupta, berkata beliau amat prihatin dengan kejadian tersebut dan pihak berkuasa sedang berusaha menyelamatkan semua mangsa.

“Segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap dengan selamat dan memberikan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas,” katanya.

Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, pula menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang “menyedihkan” dan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Kesatuan Pelajar Nasional India (NSUI) menggesa pemerintah menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

“Kecuaian terhadap keselamatan pelajar dan orang awam tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Kejadian bangunan runtuh bukan sesuatu yang jarang berlaku di Delhi.

Berdasarkan angka jabatan bomba, lebih 1,000 kejadian sedemikian dilaporkan dalam tempoh tiga tahun lalu dan mengakibatkan puluhan kematian.

Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kejadian itu ialah asas bangunan yang lemah, penggunaan bahan binaan tidak mencukupi dan kerja pembinaan yang dilakukan tanpa kepakaran sewajarnya.

Pada April 2025, sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk tiga kanak-kanak, dilaporkan maut apabila sebuah bangunan kediaman runtuh di timur laut Delhi.

Insiden terbaru itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan bangunan di kawasan padat penduduk seperti Satya Niketan, yang menjadi tempat tinggal ratusan pelajar universiti di penginapan persendirian. - Agensi berita