AHMEDABAD (India): Sumber polis India berkata pada 14 Jun bahawa 279 mayat telah ditemui di tapak nahas sebuah pesawat penumpang Air India yang terhempas di daerah kediaman di bandar Ahmedabad.
Jumlah kematian terbaru itu diberikan seorang pegawai kanan di bandar tersebut, yang meminta namanya dirahsiakan untuk bercakap dengan media.
Angka itu lebih tinggi daripada 265 kematian yang dilaporkan sebelum ini.
Laporan Hindustan Times berkata pasukan penyelamat pada 14 Jun menemui satu lagi mayat di bahagian ekor serpihan pesawat Air India itu, yang terhempas hanya 33 saat selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun.
Pegawai rasmi percaya mangsa itu mungkin terperangkap di bahagian belakang pesawat Boeing 787-8 Dreamliner tersebut, yang bahagian ekornya terbenam di atas bumbung asrama doktor berhampiran Kolej Perubatan BJ di kawasan Meghaninagar.
Peningkatan dalam jumlah kematian itu menjadikannya salah satu bencana pesawat dengan bilangan terkorban tertinggi pada abad ke-21.
Pasukan daripada Pengawal Keselamatan Negara (NSG) telah dikerahkan untuk membantu dalam usaha bantuan berterusan di lokasi nahas pesawat Air India itu di Meghaninagar, kata pegawai rasmi pada 14 Jun.
Meskipun kakitangan NSG membantu pihak berkuasa pusat dan negeri di tempat kejadian, mereka tidak terlibat dalam siasatan, jelas sumber.
Siasatan pelbagai agensi ke atas nahas itu sedang dijalankan.
Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB), Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA), cawangan jenayah Ahmedabad dan polis tempatan semuanya adalah sebahagian daripada siasatan itu, lapor Hindustan Times.
Pegawai Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) turut melawat tapak kejadian pada 13 Jun.
Air India berkata terdapat 242 orang dalam penerbangan itu yang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di London, dengan hanya seorang daripada mereka terselamat.
Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh di darat apabila pesawat itu merempuh bangunan kediaman berhampiran lapangan terbang.
Jumlah kematian rasmi tidak akan dimuktamadkan sehingga proses pengenalan DNA selesai.
Air India berkata terdapat 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Canada dalam penerbangan itu, serta 12 kru penerbangan.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu mengeluarkan panggilan kecemasan beberapa saat sebelum ia terhempas pada sekitar waktu tengah hari pada 12 Jun selepas terbang hampir 100 meter dari tanah.
Penyiasat menemui perakam kotak hitam pada 13 Jun dari lokasi nahas, dengan pasukan forensik masih mencari perakam kotak hitam yang kedua.
Menurut laporan akhbar Hindustan Times, Menteri Penerbangan Awam, Encik Ram Mohan, berkata AAIB telah pun mula menyahkod data kotak hitam itu.
Kotak hitam tersebut, yang merangkumi Perakam Data Penerbangan Digital (DFDR) dan Perakam Suara Kokpit (CVR), ditemui di atas bumbung bangunan berhampiran serpihan pesawat.
Ia akan membantu penyiasat menentukan sebab di balik nahas pesawat Ahmedabad itu, termasuk kerosakan teknikal atau kesilapan manusia.
Ia juga akan mendedahkan maklumat terperinci seperti tetapan enjin, ketinggian penerbangan, input kawalan dan perbualan di dalam kokpit.
Pembuat pesawat Amerika Syarikat, Boeing, berkata ia berhubung dengan Air India dan “bersedia untuk menyokong mereka” berhubung insiden itu, dengan seorang sumber yang rapat dengan kes tersebut berkata ia adalah nahas pertama untuk 787 Dreamliner. – AFP, agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg