Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga remaja akui tidak salah bagi tuduhan culik kanak-kanak S’pura di JB

Dec 27, 2023 | 5:47 PM
DIBERKAS: Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub Selamat, berkata tiga pemuda tempatan itu ditahan di Pontian kira-kira 5.40 petang pada 20 Disember.
DIBERKAS: Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub Selamat, berkata tiga pemuda tempatan itu ditahan di Pontian kira-kira 5.40 petang pada 20 Disember. - Foto THE STAR

JOHOR BAHRU: Tiga remaja didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru atas tuduhan menculik seorang budak lelaki berusia tujuh tahun dari Singapura pada awal Disember.

Jonathan Yet, 18 tahun, dan dua remaja bawah umur berusia 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini pada 27 Disember.

Menurut kertas pertuduhan, mereka bertiga menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun daripada penjaganya yang sah dan jenayah itu didakwa berlaku di Jalan Serampang, Johor Baru, pada 5.15 petang 12 Disember.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi menculik dan Seksyen 34 kanun sama bagi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh beberapa orang dengan niat yang sama.

Ia membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili.

Terdahulu, semasa prosiding itu, DPP Shamira memohon ikat jamin RM8,000 ($2,285) dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh .

Ketiga-tiga tertuduh merayu, meminta jumlah ikat jamin mereka dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan RM2,500 ($714) dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Penjamin kedua-dua tertuduh bawah umur itu ialah ibu bapa mereka.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan pada 23 Januari dan tertuduh melantik peguam bela.

Selain itu, mahkamah memerintahkan mereka menjalani penilaian sosial dan moral oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada 20 Disember, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub Selamat, berkata tiga remaja ditahan kerana disyaki bersubahat dalam percubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun pada 12 Disember.

Seorang warga China berstatus Penduduk Tetap (PR) Singapura mengalami cedera parah ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada diculik sekumpulan lelaki manakala anaknya tidak cedera.

Sementara itu, suspek utama, yang berusia 41 tahun dan dipercayai merupakan rakan niaga bapa mangsa, ditahan di hadapan balai polis Taman Pelangi pada 8 malam hari yang sama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg