JAKARTA: Indonesia sekali lagi digemparkan dengan penahanan seorang pegawai kanan kerajaan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menahan Timbalan Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Silmy Karim, atas dakwaan rasuah berkaitan pengurusan dokumen imigresen penduduk asing.

Penahanan itu menjadikan beliau pegawai kanan kedua ditahan dalam tempoh dua hari selepas Pejabat Peguam Negara Indonesia menahan bekas Ketua Agensi Pemakanan Nasional (BGN), Dadan Hindayana, dalam kes penyelewengan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG).

Walaupun kedua-dua kes tidak berkaitan, perkembangan tersebut mencetuskan perhatian besar terhadap usaha pemerintah Presiden Prabowo Subianto membanteras rasuah dalam pentadbiran negara.

Jurucakap KPK, Encik Budi Prasetyo, berkata Encik Silmy ditahan berhubung amalan rasuah dalam pengurusan dokumen imigresen yang dipercayai berlaku antara 2023 hingga 2024.

“Saudara SK ditahan berkaitan amalan rasuah dalam pengurusan dokumen imigresen,” katanya kepada Reuters menerusi mesej ringkas pada 3 Jun.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan bentuk rasuah yang disiasat.

Encik Silmy mula disoal siasat di pejabat KPK sejak malam 2 Jun sebelum keluar kira-kira 10 jam kemudian dengan tangan bergari dan memakai jaket oren tahanan KPK, menandakan beliau telah dinamakan sebagai suspek rasmi.

Beliau kemudian dibawa ke pusat tahanan untuk proses lanjut.

Menurut KPK, kesalahan yang disiasat dipercayai berlaku ketika Encik Silmy memegang jawatan Ketua Pengarah Imigresen di bawah pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo.

Selain Encik Silmy, KPK turut mengenal pasti tujuh lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

KPK memaklumkan butiran lanjut mengenai siasatan akan diumumkan dalam sidang media khas.

Penahanan itu berlaku ketika pentadbiran Prabowo sedang cuba memperkukuh imej kerajaan bersih dan bebas rasuah.

Sejak mengambil alih pemerintahan pada 2024, Encik Prabowo berulang kali berjanji untuk membanteras rasuah dan mengekang eksploitasi haram sumber asli Indonesia.

Namun beberapa kes melibatkan pegawai kanan kerajaan sejak kebelakangan ini mula mencetuskan persoalan mengenai cabaran sebenar dalam usaha merealisasikan agenda tersebut.

Pada April lalu, ketua ombudsman Indonesia turut ditahan hanya enam hari selepas dilantik kerana disyaki menerima rasuah daripada sebuah syarikat nikel tempatan.

Menteri Sekretariat Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, mengakui pemerintah memandang serius perkembangan tersebut.

“Secara jujur, kami amat bimbang dengan kejadian yang berlaku dalam tempoh dua hari kebelakangan ini kerana perkara seperti ini sememangnya tidak kami jangkakan,” katanya pada 3 Jun.

Beliau berkata pemerintah menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang dijalankan KPK dan Pejabat Peguam Negara.

Penganalisis politik di Indonesia melihat penahanan beberapa pegawai kanan dalam tempoh singkat sebagai ujian awal terhadap kredibiliti pentadbiran Prabowo.

Ini kerana program reformasi dan pembanterasan rasuah menjadi antara janji utama beliau ketika kempen pilihan raya presiden.

Dalam masa sama, tindakan agensi penguat kuasa menahan pegawai kanan kerajaan juga dianggap menunjukkan institusi anti rasuah di Indonesia masih mempunyai ruang untuk bertindak tanpa campur tangan politik secara terbuka.

Kes melibatkan Encik Silmy turut menarik perhatian kerana sektor imigresen sering dikaitkan dengan isu rasuah melibatkan permit perjalanan, visa dan urusan dokumen warga asing.

Indonesia sebelum ini beberapa kali berdepan kritikan berhubung kelemahan kawalan imigresen dan ketirisan dalam pengeluaran dokumen perjalanan.

Walaupun belum banyak maklumat rasmi didedahkan, penahanan Encik Silmy dijangka memberi kesan besar kepada kementerian tersebut kerana beliau merupakan antara pegawai kanan penting dalam pengurusan dasar imigresen negara.

Perkembangan itu juga berlaku ketika Indonesia sedang memperketat pengawasan terhadap warga asing dan sindiket jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian dan penyeludupan manusia.

Setakat ini, pihak Encik Silmy belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan terhadap beliau. - Agensi berita