Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timbalan pengerusi PH Kedah dipilih sebagai Speaker baru

Dec 20, 2022 | 5:30 AM
DATUK JOHARI ABDUL: Memperoleh sokongan 147 daripada 222 AP bagi dilantik sebagai Speaker. - Foto BHM
DATUK JOHARI ABDUL: Memperoleh sokongan 147 daripada 222 AP bagi dilantik sebagai Speaker. - Foto BHM -

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen (AP) Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat baru menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas beliau memperoleh undi sokongan tertinggi daripada AP semalam.

Beliau daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan merupakan timbalan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata Datuk Johari memperoleh sokongan 147 daripada 221 AP, sementara seorang lagi calon, bekas AP Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, daripada Perikatan Nasional (PN), memperoleh 74 undi.

Usul pelantikan Yang Dipertua, atau Speaker, baru Dewan Rakyat dibuat sebaik sahaja mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-15 bersidang pada 10 pagi semalam.

Pada proses pengundian itu, setiap AP diberi satu kertas dan dikehendaki menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.

Terdahulu, Datuk Anwar mengemukakan cadangan mencalonkan Datuk Johari sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan ini disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pembangkang, AP Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, pula mencadangkan Tan Sri Mohd Radzi sebagai Speaker, dengan disokong AP Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tan Sri Azhar Azizan meletak jawatan sebagai Speaker berkuat kuasa 18 Disember, setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020.

Datuk Johari, yang mempunyai ijazah sarjana pengajian strategik dari University of Lancaster, pernah memegang jawatan pengarah Biro Tata Negara (BTN).

Beliau menjadi AP Sungai Petani sejak pilihan raya umum (PRU) 2008, namun tidak bertanding pada PRU ke-15 bulan lalu lalu, dengan kerusi lamanya kini disandang anaknya, Dr Mohammed Taufiq Johari, satu-satunya wakil PH yang menang di Kedah.

Pemimpin kanan PKR itu bertanding di Parlimen Sungai Petani pada PRU 1999 dan pilihan raya negeri Kedah 2004 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), yang sekarang menyertai Kerajaan Perpaduan Datuk Anwar.

Beliau juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli DUN Gurun di Kedah berkuat kuasa serta-merta pada 13 Disember. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg