Topik diikuti
Pergi ke BHku5 isu utama tentukan hubungan Timur Tengah dengan Israel selepas pilihan raya
Pilihan raya Israel gagal hasilkan pemenang jelas; negara Timur Tengah utamakan masa depan Gaza, keselamatan serantau
5 isu utama tentukan hubungan Timur Tengah dengan Israel selepas pilihan raya
TEL AVIV: Keputusan pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu bukan sahaja menentukan masa depan politik Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, malah berpotensi mempengaruhi hubungan negara itu dengan kuasa utama Timur Tengah, khususnya Arab Saudi, Iran, Turkey, Mesir dan Jordan.
Namun, persoalan lebih besar bukan sekadar siapakah bakal menerajui Israel, tetapi sama ada pemerintah baharu mampu mengubah dasar luar dan pendekatan keselamatannya selepas beberapa tahun konflik menggugat kestabilan rantau tersebut.
Pilihan raya itu gagal menghasilkan pemenang jelas apabila blok pimpinan Encik Netanyahu dan gabungan pembangkang yang diketuai Encik Gadi Eisenkot, masing-masing tidak memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk pemerintah di Parlimen Israel, atau Knesset.
Keadaan itu memaksa parti politik mengadakan rundingan bagi membentuk pemerintah campuran, satu proses yang mungkin mengambil masa beberapa minggu.
Walaupun negara Timur Tengah mengikuti perkembangan tersebut, kebanyakan pemerintah serantau tidak menjangkakan perubahan besar dalam dasar Israel hanya kerana pertukaran kepimpinan.
Pengalaman sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan peperangan yang menyusul memperlihatkan bahawa kepentingan keselamatan, ekonomi dan geopolitik setiap negara semakin menentukan pendekatan mereka terhadap Israel.
Lima isu utama dijangka mempengaruhi hubungan Israel dengan Timur Tengah selepas pilihan raya tersebut.
Masa depan Gaza dan usaha damai
Masa depan Gaza kekal sebagai ujian terbesar bagi mana-mana pemerintah Israel.
Lembaga Keamanan, yang disokong Amerika Syarikat dan diwujudkan kira-kira 10 bulan lalu, bertujuan merangka pendekatan baharu bagi membangunkan semula Gaza serta mewujudkan kestabilan selepas peperangan.
Namun, pelaksanaannya masih berdepan pelbagai halangan, termasuk pelucutan senjata Hamas, pentadbiran Gaza, pengaturan keselamatan dan pelaksanaan gencatan senjata.
Mesir dan Qatar, yang memainkan peranan penting dalam usaha diplomatik, mahu Washington mempercepatkan proses tersebut.
Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilihat berhati-hati untuk memberikan tekanan terhadap Israel ketika keadaan politik negara itu belum menentu.
Pemerintah Israel yang baharu mungkin mengambil pendekatan berbeza, tetapi persoalan mengenai Hamas, keselamatan Israel dan siapakah yang bakal mentadbir Gaza tetap perlu diselesaikan.
Justeru, negara serantau bukan sahaja memerhatikan perkembangan di Israel, malah menunggu langkah seterusnya daripada Washington.
Perjanjian Abraham Israel dengan negara Arab
Isu kedua membabitkan masa depan Perjanjian Abraham yang dimeterai pada 2020 ketika pentadbiran Encik Netanyahu.
Perjanjian itu membuka jalan kepada hubungan diplomatik Israel dengan beberapa negara Arab, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi.
Walaupun hubungan tersebut kekal, peperangan di Gaza menyukarkan usaha Israel menarik lebih banyak negara menyertainya.
Arab Saudi menjadi tumpuan utama kerana Riyadh masih mengaitkan hubungan rasmi dengan Israel kepada kemajuan dalam penyelesaian isu Palestin.
Pada masa sama, Arab Saudi memperkukuh hubungan strategik dengan Turkey dan Pakistan, selain meneruskan usaha diplomatik bagi menguruskan hubungannya dengan Iran.
Perubahan pemerintah Israel mungkin membuka ruang rundingan lebih mudah, tetapi Riyadh dijangka tidak akan mengetepikan syarat berkaitan Palestin.
Bagi negara Teluk, kerjasama ekonomi, teknologi dan keselamatan dengan Israel tetap mempunyai nilai strategik.
Namun, manfaat tersebut perlu diimbangi dengan sentimen masyarakat Arab dan kepentingan Palestin.
Ancaman Iran dan hubungan Israel-Amerika
Iran turut mengikuti keputusan pilihan raya Israel, terutama kemungkinan perubahan pendekatan terhadap program nuklear dan kemampuan ketenteraannya.
Selama beberapa dekad, pemerintah Israel daripada pelbagai aliran politik menganggap program nuklear, peluru berpandu balistik dan kumpulan bersenjata yang disokong Teheran sebagai ancaman utama.
Pendirian itu dijangka berterusan tanpa mengira siapakah membentuk pemerintah.
Encik Netanyahu sebelum pilihan raya turut membangkitkan ancaman serangan nuklear Iran, manakala Presiden Trump secara terbuka menyatakan sokongan terhadap beliau.
Teheran mungkin berharap ketidaktentuan politik Israel dapat mengehadkan operasi ketenteraan negara itu.
Namun, pertukaran kepimpinan tidak semestinya mengurangkan kesediaan Israel bertindak terhadap ancaman yang dianggap serius.
Lebih penting bagi Iran adalah dasar Washington, khususnya sekatan ekonomi, penempatan tentera Amerika dan kemungkinan rundingan baharu mengenai program nuklearnya.
Persaingan Israel-Turkey kian rumit
Hubungan Israel dengan Turkey pula berdepan cabaran yang melangkaui perselisihan peribadi antara Encik Netanyahu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Kedua-dua negara mempunyai kepentingan keselamatan dan pengaruh yang semakin bertembung, khususnya di Syria dan timur Laut Mediterranean.
Kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024 membuka ruang kepada Ankara memperluas pengaruhnya di Syria.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan Israel terhadap kemungkinan kemunculan ancaman baharu berhampiran sempadan utaranya.
Sebahagian penggubal dasar Israel bahkan melihat Turkey sebagai pesaing strategik yang semakin penting.
Pemerintah Israel yang lebih sederhana mungkin dapat mengurangkan pertelingkahan diplomatik, tetapi persaingan kedua-dua negara tidak mudah diselesaikan.
Cabaran sebenar ialah mewujudkan saluran komunikasi dan aturan keselamatan bagi mengelakkan persaingan tersebut mencetuskan pertembungan ketenteraan.
Keselamatan Syria, Jordan dan Mesir
Syria, Jordan dan Mesir pula lebih cenderung menilai Israel berdasarkan tindakan pemerintah baharunya berbanding keputusan pilihan raya semata-mata.
Pemerintah Syria sedang berusaha mengukuhkan pentadbiran, membangunkan semula ekonomi dan memulihkan hubungan dengan negara jiran.
Walaupun pernah wujud usaha mendekatkan hubungan Damascus dengan Israel pada 2025, kemajuan diplomatik terbantut akibat konflik serantau.
Israel terus menumpukan perhatian kepada keselamatan di selatan Syria, kawasan Bukit Golan dan perlindungan masyarakat Druze.
Jordan pula amat prihatin terhadap perkembangan di Tebing Barat serta kedudukan tempat suci Islam di Baitulmakdis.
Mesir, yang memainkan peranan utama dalam rundingan Gaza, mahu memastikan keselamatan sempadannya dan mengelakkan peperangan baharu.
Kedua-dua negara mengekalkan perjanjian damai dengan Israel meskipun hubungan diplomatik beberapa kali diuji.
Keutamaan mereka ialah kestabilan, bukannya semata-mata perubahan kerajaan Israel.
Timur Tengah tidak lagi bergantung kepada keputusan Israel.
Secara keseluruhan, pilihan raya Israel memperlihatkan satu hakikat penting – negara Timur Tengah semakin menentukan masa depan mereka berdasarkan kepentingan sendiri.
Pembangunan ekonomi, projek prasarana, laluan perdagangan dan kerjasama keselamatan kini menjadi keutamaan utama.
Pada masa sama, kebimbangan terhadap cita-cita Israel untuk memperluas pengaruh ketenteraan dan politiknya di rantau itu mungkin mendorong Arab Saudi serta negara lain menilai semula strategi mereka.
Walaupun sesetengah pemerintah mungkin mengalu-alukan pengunduran Encik Netanyahu, mereka sedar pertukaran pemimpin tidak semestinya membawa perubahan dasar.
Kesudahannya, pemerintah Israel yang baharu akan dinilai berdasarkan kesediaannya menangani krisis Gaza, menghormati kepentingan negara jiran dan mengurangkan risiko konflik. – Agensi berita.