BAITULMAKDIS: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyatakan harapan agar keamanan yang dicapai menerusi perjanjian gencatan senjata di Gaza akan kekal dan membuka lembaran baharu dalam hubungan antara rakyat Palestin dan Israel.
Dalam wawancara khas bersama saluran Channel 12 Israel, Encik Abbas menyifatkan perkembangan itu sebagai “detik bersejarah” yang menandakan berakhirnya pertumpahan darah di tanah Palestin selepas dua tahun peperangan yang meragut puluhan ribu nyawa.
“Kami terus berharap agar pertumpahan darah di tanah kami dapat ditamatkan, sama ada di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, atau Baitulmakdis Timur,” kata Encik Abbas dalam wawancara itu.
“Hari ini, kami amat gembira kerana pertumpahan darah telah berhenti. Kami berharap keadaan ini akan berkekalan dan keamanan, keselamatan serta kestabilan akan wujud antara kami dan Israel.”
Wawancara berkenaan dijalankan dalam suasana penuh simbolik soalan diajukan dalam bahasa Ibrani, manakala Abbas menjawab dalam bahasa Arab, menandakan usaha untuk membina semula jambatan komunikasi antara kedua-dua pihak yang lama bermusuhan.
Apabila ditanya sama ada Penguasa Palestin (PA) telah melaksanakan pembaharuan seperti yang digariskan dalam pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan perang di Gaza, Encik Abbas menegaskan bahawa proses itu sedang berjalan.
“Saya ingin nyatakan dengan jujur, kami telah memulakan pembaharuan,” kata Ebcik Abbas. “Antaranya termasuklah isu pembayaran kepada tahanan yang telah kami persetujui bersama pihak Amerika Syarikat dan juga telah diluluskan oleh mereka.”
Beliau merujuk kepada skim bantuan kewangan yang diberikan oleh PA kepada keluarga warga Palestin yang terbunuh oleh tentera Israel atau dipenjarakan, termasuk mereka yang ditahan semasa serangan terhadap warga Israel.
Encik Abbas menjelaskan bahawa pembaharuan terhadap skim pembayaran itu dibuat pada Februari lalu, selepas menerima tekanan daripada Washington dan Tel Aviv, yang menganggap dasar tersebut sebagai bentuk “pembiayaan keganasan.”
Namun, keputusan itu menimbulkan kritikan dalam kalangan pegawai Palestin sendiri, yang melihatnya sebagai tunduk kepada tekanan politik luar.
Dalam wawancara tersebut, Encik Abbas turut menegaskan bahawa pembaharuan bukan sahaja tertumpu kepada aspek kewangan, tetapi turut melibatkan pembaharuan dalam sektor pendidikan, ekonomi, kesihatan dan keselamatan.
“Ada yang telah selesai dan ada yang masih berjalan,” katanya. “Matlamat kami adalah untuk memastikan Penguasa Palestin menjadi sebuah model pemerintahan yang mampu memimpin rakyat Palestin ke arah masa depan yang lebih stabil.”
Beliau turut menambah bahawa proses pembaharuan tersebut dilakukan dengan telus dan berpaksikan kepada prinsip tanggungjawab serta kecekapan pentadbiran. “Kami mahu PA menjadi institusi yang benar-benar berfungsi, dengan tadbir urus yang bersih dan berkesan,” tegas Encik Abbas.
Pelan 20 perkara yang diumumkan oleh Encik Trump pada lewat September lalu menekankan bahawa pembangunan semula Gaza dan pembaharuan dalam PA adalah syarat utama bagi membuka laluan ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin dan pembentukan negara Palestin yang merdeka.
Encik Trump dalam kenyataannya menyatakan bahawa reformasi PA akan menjadi asas kepada kestabilan politik dan ekonomi di wilayah Palestin. “Apabila Gaza dibangunkan semula dan PA melaksanakan pembaharuan sepenuhnya, dunia akan melihat asas kukuh bagi kemerdekaan Palestin,” kata Encik Trump.
Pelan tersebut turut mendapat sokongan daripada beberapa negara Arab dan organisasi antarabangsa yang melihatnya sebagai peluang penting untuk menghidupkan semula rundingan damai yang lama terhenti.
Encik Abbas mengakhiri wawancaranya dengan mesej penuh harapan kepada rakyat Palestin dan Israel: “Kami mahu hidup dalam keamanan, bukan peperangan. Kami mahu membina masa depan di mana generasi muda Palestin dan Israel dapat hidup tanpa ketakutan.”
Beliau menegaskan bahawa keamanan yang dicapai hari ini perlu dipelihara melalui kejujuran, saling menghormati, dan usaha bersama membina kepercayaan. “Keamanan ini bukan hadiah, ia hasil perjuangan panjang rakyat kami. Tanggungjawab kita sekarang ialah memastikan ia berkekalan,” katanya.
Wawancara itu menandakan kali pertama Abbas tampil di media Israel sejak bermulanya konflik terbaharu di Gaza, dan dilihat sebagai satu isyarat penting kesediaan Palestin untuk menyertai fasa baharu diplomasi serantau. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg