Topik diikuti
Pergi ke BHkuAI medan baharu pertempuran politik pilihan raya Israel
AI medan baharu pertempuran politik pilihan raya Israel
BAITULMAKDIS TIMUR: Dalam satu video kempen yang kelihatan seperti babak filem aksi, dua pemimpin politik Israel, Encik Gadi Eisenkot, dan Encik Avigdor Lieberman, turun melalui sebuah lubang lif sebelum cuba memecah masuk ke pejabat Perdana Menteri.
Apabila percubaan mereka gagal, Encik Eisenkot memberitahu Encik Lieberman, beliau mempunyai “kunci utama”.
Video kemudian beralih kepada pemimpin parti Arab Ra’am, Encik Mansour Abbas, yang tersenyum sambil memegang playar besar.
Namun, semua itu tidak pernah berlaku.
Video yang disiarkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di media sosial itu dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), dengan satu label kecil memaklumkan bahawa kandungan berkenaan dihasilkan secara digital dan bukan rakaman sebenar.
Menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober, video seperti itu semakin menjadi sebahagian daripada kempen politik.
Ia sekali gus menjadikan pilihan raya kali ini ujian penting mengenai sejauh manakah AI boleh mempengaruhi pengundi, mengubah cara kempen dijalankan dan menghakis kepercayaan terhadap maklumat politik.
Kajian projek, ‘Ze Be AI’, oleh Universiti Terbuka Israel mendapati kira-kira 13 peratus kandungan yang diterbitkan ahli politik dan parti sepanjang kempen pilihan raya dihasilkan menggunakan AI.
Daripada jumlah itu, sekitar 70 peratus datang daripada Likud pimpinan Encik Netanyahu.
Angka itu menunjukkan AI bukan lagi sekadar alat sampingan untuk menghasilkan poster atau video dengan lebih murah.
Ia semakin menjadi senjata politik.
Salah satu kelebihan AI kepada parti politik ialah kemampuannya menghasilkan adegan yang kelihatan meyakinkan walaupun peristiwa itu tidak pernah berlaku.
Menteri Keselamatan Negara dan pemimpin Jewish Power, Encik Itamar Ben Gvir, misalnya, menyiarkan video AI yang menggambarkan bekas pegawai polis, Encik Yoav Segalovitz, memakai lambang sayap tentera Hamas sambil mengagihkan pastri kepada tahanan Palestin.
Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, pula menggunakan video AI yang menggambarkan perbualan antara dua rakyat Palestin mengenai usahanya memperluas penguasaan Israel.
Walaupun mesej dan pendekatan parti berbeza, penggunaan teknologi itu mempunyai satu persamaan.
AI membolehkan ahli politik mencipta gambaran mengenai lawan mereka yang tidak memerlukan kejadian sebenar sebagai asas visual.
Dalam kempen yang sudah amat terpolarisasi, kesannya boleh menjadi besar.
Imej palsu tidak semestinya perlu dipercayai sepenuhnya untuk berkesan.
Ia boleh digunakan untuk mengukuhkan tanggapan sedia ada, membangkitkan ketakutan atau kemarahan dan mengaitkan seseorang calon dengan isu yang dianggap sensitif oleh kumpulan pengundi tertentu.
Ini amat ketara dalam video yang cuba menghubungkan ahli politik pembangkang dengan parti Palestin atau isu keselamatan.
Cabaran lebih besar bukan sekadar kewujudan video palsu, malah, apa yang berlaku apabila jumlahnya terlalu banyak sehingga masyarakat mula meragui hampir semua yang mereka lihat.
Profesor komunikasi Universiti Bar-Ilan, Dr Sharon Haleva Amir, memberi amaran keadaan itu boleh menyebabkan orang ramai keletihan untuk menentukan sama ada sesuatu kandungan itu benar atau dihasilkan menggunakan AI.
“Apabila kita tidak lagi dapat mengetahui apakah yang benar dan apakah yang dijana AI, fikiran orang ramai menjadi sangat letih,” katanya.
Akibatnya, katanya, masyarakat mungkin sampai ke tahap tidak lagi mempercayai iklan, kenyataan atau agenda politik.
Tinjauan Persatuan Internet Israel mendapati 71 peratus responden berkata mereka kerap atau kadangkala menemui maklumat palsu berkaitan pilihan raya, manakala 56.8 peratus menemui akaun palsu atau penyamaran.
Hampir separuh pula berkata mereka pernah menemui penggunaan AI untuk menyerang atau memburukkan seseorang.
Dengan kata lain, ancaman terbesar AI mungkin bukan menyebabkan pengundi mempercayai satu pembohongan tertentu, tetapi mewujudkan keadaan apabila mereka tidak lagi pasti apakah yang boleh dipercayai.
Pihak berkuasa Israel sudah mula bertindak.
Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat menetapkan kandungan kempen yang dihasilkan atau diubah menggunakan AI perlu dilabel sekiranya ia boleh disalah anggap sebagai rakaman sebenar.
Peraturan yang berkuat kuasa pada 26 Julai itu merangkumi kandungan yang menggambarkan individu, tempat, kejadian, dokumen atau objek seolah-olah ia benar-benar dirakam sedangkan sebenarnya tidak.
Namun, masalahnya adalah teknologi berkembang lebih pantas daripada peraturan.
Sesuatu video boleh dimuat naik, dikongsi beribu-ribu kali dan disalin ke pelbagai wadah sebelum pihak berkuasa sempat menentukan sama ada ia melanggar peraturan.
Pensyarah komunikasi Universiti Reichman, Dr Tal Elovits, berkata apabila pihak berkuasa akhirnya membuat keputusan, kesannya mungkin sudah berlaku.
“Kandungan itu sudah berada dalam talian. Ia sudah tersebar luas,” katanya.
Ini menunjukkan cabaran pengawal seliaan yang besar: memadam kandungan tidak semestinya memadam kesannya daripada fikiran pengundi.
Keupayaan AI juga jauh melangkaui penghasilan video palsu.
Teknologi itu membolehkan parti menghasilkan banyak versi mesej politik yang sama dan menyasarkannya kepada kumpulan pengundi berbeza.
Seseorang yang bimbang mengenai keselamatan boleh menerima mesej yang menekankan ancaman keganasan. Pengundi lain mungkin menerima kandungan mengenai ekonomi, agama atau identiti.
Ketua Program Demokrasi dalam Era Digital di Institut Demokrasi Israel, Dr Tehilla Shwartz Altshuler, berkata kempen politik tidak lagi terhad kepada satu iklan yang ditujukan kepada semua orang.
Sebaliknya, AI membolehkan mesej disesuaikan secara lebih tepat bagi menimbulkan ketakutan, kemarahan atau harapan seseorang individu.
Perubahan itu penting kerana orang ramai mungkin tidak mengetahui mesej apakah yang diterima pengundi lain.
Ini menjadikan kempen politik semakin sukar dipantau kerana sebahagian proses mempengaruhi pengundi berlaku secara peribadi dan di sebalik sistem algoritma.
Kajian Institut Demokrasi Israel mengenai privasi dan pilihan raya turut memberi amaran bahawa kempen moden semakin menggabungkan pangkalan data besar dengan AI untuk menganalisis ciri psikologi dan emosi pengundi serta menghasilkan kandungan yang disesuaikan secara automatik.
Pengundi beralih kepada AI
Ironinya, ketika ahli politik menggunakan AI untuk mempengaruhi pengundi, sebahagian pengundi Israel juga merancang menggunakan teknologi sama untuk menentukan pilihan mereka.
Tinjauan Persatuan Internet Israel mendapati 25 peratus rakyat Israel mempertimbangkan atau bercadang menggunakan AI atau perkhidmatan dalam talian bagi membantu membuat keputusan menjelang pilihan raya.
Keadaan itu membuka satu lagi medan pengaruh.
Jika pengundi bertanya kepada chatbot mengenai parti, calon atau dasar tertentu, jawapan yang diterima bergantung kepada maklumat yang digunakan sistem tersebut, cara soalan dikemukakan dan bagaimana model AI menghasilkan jawapan.
Kesilapan, maklumat lapuk atau berat sebelah boleh mempengaruhi cara seseorang memahami pilihan politiknya.
Institut Demokrasi Israel memberi amaran sejak awal tahun bahawa pilihan raya 2026 menjadi pilihan raya pertama negara itu dalam era AI, ketika kandungan janaan, lambakan maklumat dan penggunaan chatbot sebagai alat mendapatkan maklumat politik semakin sukar dipisahkan daripada proses demokrasi.
Risiko itu boleh menjadi lebih besar pada hari mengundi sekiranya AI digunakan untuk menghasilkan panggilan automatik, mesej suara palsu atau maklumat tidak benar mengenai pusat mengundi.
Pada ketika itu, persoalan utama bukan lagi sekadar sama ada sesuatu video itu palsu.
Persoalannya adalah sama ada pengundi masih mempunyai masa, pengetahuan dan keyakinan untuk membezakan maklumat sebenar daripada kandungan yang sengaja direka untuk mempengaruhi mereka.
Menurut Dr Amir, undang-undang sahaja tidak akan mampu menangani masalah itu kerana teknologi sentiasa berkembang lebih pantas daripada peraturan.
Justeru, katanya, pertahanan paling penting akhirnya terletak pada kemampuan masyarakat memahami bagaimana AI berfungsi dan menilai secara kritikal kandungan yang mereka terima.
“Undang-undang tidak akan mencukupi kerana teknologi sentiasa mendahului undang-undang,” katanya.
“Jawapan sebenar perlu datang daripada masyarakat... dengan meningkatkan kesedaran, mendidik orang ramai dan memberikan mereka kemahiran untuk menilai, berfikir dan memahami AI.” – Agensi berita.