RIYADH: Walau apa pun pandangan terhadap Arab Saudi – baik kagum atau kritikal – sukar untuk menafikan hakikat negara itu sedang melalui satu perubahan yang sangat pantas dan mengagumkan.
Di bawah kepimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS), pelan pembangunan Saudi Wawasan 2030 kini bukan lagi sekadar perancangan di atas kertas, malah, sedang dilaksanakan secara besar-besaran, merangkumi sektor pelancongan, kebudayaan, ekonomi hingga gaya hidup masyarakat.
Visi itu dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap minyak, sambil membangunkan sektor baru yang lebih mampan dan berdaya saing, termasuk pelancongan dan seni budaya.
Antara perubahan paling ketara dapat dilihat di Al-Ula, sebuah kota gurun purba di barat laut negara itu yang kini menjadi mercu tanda revolusi pelancongan Arab Saudi.
Al-Ula bukanlah nama asing dalam sejarah Arab.
Terletak di laluan perdagangan purba, kawasan itu kaya dengan peninggalan arkeologi, termasuk tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Hegra – peninggalan zaman Nabatean yang sering dibandingkan dengan Petra di Jordan.
Hegra menempatkan lebih 110 makam yang diukir dengan teliti pada batu-batu pasir merah, memberi gambaran kepada pengunjung tentang kemegahan tamadun silam yang pernah wujud lebih 2,000 tahun lalu.
Menariknya, tapak sejarah itu kini diberi nafas baru melalui pelaburan dalam sektor pelancongan mewah.
Hotel antarabangsa seperti Banyan Tree, Our Habitas dan The Chedi Hegra, menawarkan pengalaman eksklusif daripada glamping atau perkhemahan mewah di celah batu hingga spa berasaskan bahan tempatan seperti moringa dan kurma.
“Kami tidak hanya menawarkan tempat tinggal, kami menyediakan pengalaman yang menyatukan sejarah dan alam,” kata seorang wakil dari Our Habitas.
Keunikan usaha pembangunan di Al-Ula terletak pada penekanan terhadap pemeliharaan warisan.
Meskipun pembangunan berskala besar sedang giat dilaksanakan, unsur sejarah dan jati diri kebudayaan Arab tetap diberi keutamaan dan tidak diketepikan.
Sebagai contoh, projek pemulihan Dar Tantora di kota lama Al-Ula dijalankan secara teliti, menggunakan semula rumah-rumah berlumpur yang telah berusia ratusan tahun untuk dijadikan hotel butik bercahaya lilin, bukan elektrik – mencipta suasana autentik dan tradisional.
Di samping itu, kawasan sekitar Al-Ula kini menjadi pusat seni moden yang dinamik.
Daerah Seni Al-Jadidah menganjurkan Festival Seni Al-Ula setiap tahun, mengetengahkan bakat seni tempatan dan antarabangsa.
“Ini bukan hanya pembangunan fizikal, ini adalah pembangunan minda dan naratif negara,” ujar seorang kurator festival.
Walaupun sektor pelancongan hanya dibuka kepada bukan Muslim sejak sekitar enam tahun lalu, Arab Saudi kini bergerak pantas mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan sejagat.
Projek mega seperti Projek Laut Merah dan pembangunan Diriyah bernilai AS$62.2 bilion ($83.9 bilion) menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menarik pelancong sambil mengekalkan keaslian sejarahnya.
Namun, perubahan pantas itu turut mencetuskan persoalan – adakah pembangunan itu akan mengorbankan ketulenan Al-Ula seperti yang terjadi di Petra?
Adakah destinasi itu akan dibanjiri pelancong dengan kamera dan produk komersial, seperti yang lazim berlaku di tapak pelancongan lain?
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi kelihatan cukup berhati-hati.
Had kemasukan, garis panduan pemuliharaan dan pembangunan berskala kecil digunakan bagi mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan.
Tidak dinafikan, rekod hak asasi manusia Arab Saudi dan larangan alkohol masih menjadi faktor yang membuatkan sesetengah pelancong berhati-hati.
Namun, dalam konteks pelancongan, banyak yang telah berubah – termasuk hak wanita untuk memandu dan melancong bebas.
Visa pelancong juga lebih mudah diperoleh; dalam satu kes, visa diluluskan dalam masa kurang tiga jam.
“Saya mulanya sangka ini penipuan digital,” kata seorang pelancong Barat dalam temu bual dengan Travel Weekly.
Dalam dunia pelancongan moden yang semakin sesak dan komersial, Al-Ula memberikan peluang untuk menikmati tempat yang hampir tidak disentuh masa.
Penerokaan ke makam Nabatean yang sunyi, glamping di bawah langit berbintang, dan keheningan yang mengisi udara gurun memberikan pengalaman eksklusif dan kerohanian.
“Tidak ada kedai cenderahati murahan, tiada kerumunan pelancong. Hanya batu dan sepi, seolah-olah masa berhenti di sini,” catat seorang pelawat dalam ulasan blognya.
Dengan daya usaha seperti projek seni terbuka besar-besaran selepas 2027, serta hotel mewah seperti Sharaan oleh Jean Nouvel yang dibina dalam dinding gunung, Arab Saudi kelihatan serius menjadikan Al-Ula sebagai lambang wajah baru negara itu – moden, terbuka tetapi masih berakar pada warisan.
“Kami sedang mencipta ruang apabila sejarah dan masa depan bertemu,” kata Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam satu wawancara.
“Al-Ula bukan hanya untuk pelancong, ia untuk dunia mengenal siapakah kami – dahulu, kini dan akan datang,” ujarnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg