Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaburan asing dalam hartanah Makkah, Madinah: Langkah strategik atau risiko ekonomi?

Langkah tarik pelaburan asing, pertingkat daya saing pasaran modal, sokong matlamat Visi 2030 kurangkan kebergantungan kepada hasil minyak
Feb 10, 2025 | 5:30 AM
Arab Saudi mengumumkan pelabur asing kini dibenarkan melabur dalam syarikat yang disenaraikan di bursa saham Saudi yang memiliki hartanah di Makkah dan Madinah, dua kota suci umat Islam.
Arab Saudi mengumumkan pelabur asing kini dibenarkan melabur dalam syarikat yang disenaraikan di bursa saham Saudi yang memiliki hartanah di Makkah dan Madinah, dua kota suci umat Islam. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

RIYADH: Pada 27 Januari 2025, kerajaan Arab Saudi mengumumkan perubahan besar dalam dasar pelaburan hartanah.

Ia membenarkan pelabur asing untuk memiliki kepentingan dalam syarikat yang memiliki hartanah di Makkah dan Madinah.

Langkah itu menandakan perubahan sejarah, memandangkan sebelum ini pemilikan hartanah di dua kota suci itu hanya dibenarkan untuk rakyat Saudi.

Keputusan itu dibuat oleh Pihak Berkuasa Pasaran Modal (CMA) Saudi yang bertujuan menarik pelaburan asing secara langsung (FDI), meningkatkan daya saing pasaran modal, dan menyokong matlamat Visi 2030 yang mahu mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak.

Namun, sejauh manakah keputusan itu akan memberi manfaat kepada ekonomi Arab Saudi, dan apakah ia boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan serta dunia Islam?

Langkah Pembaharuan dan Wawasan 2030

Arab Saudi kini berada dalam era pembaharuan ekonomi besar-besaran, dengan matlamat utama mengembangkan sektor pelancongan, prasarana dan kewangan.

Dengan membuka peluang kepada pelabur asing untuk melabur dalam syarikat hartanah di Makkah dan Madinah, kerajaan berharap dapat meningkatkan daya saing pasaran modal; menarik lebih banyak aliran modal asing serta menyediakan kecairan kewangan bagi projek pembangunan di kedua-dua kota suci.

Menurut CMA, langkah itu akan menjadikan pasaran modal Saudi lebih menarik dan membolehkan syarikat memperoleh dana tambahan bagi projek berskala besar.

“Melalui pengumuman ini, kami mahu merangsang pelaburan, meningkatkan daya tarikan pasaran modal, serta mengukuhkan daya saing Arab Saudi di peringkat serantau dan antarabangsa,” jelas CMA dalam satu kenyataan.

Selain itu, langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk mencapai sasaran pelaburan asing sebanyak AS$100 bilion ($137 bilion) menjelang 2030.

Walaupun pintu pelaburan dibuka, pemilikan hartanah secara langsung oleh warga asing di Makkah dan Madinah masih dilarang.

Sebaliknya, pelabur asing hanya boleh melabur dalam saham syarikat yang memiliki hartanah di dua kota suci; membeli instrumen hutang yang boleh ditukar kepada saham dan pemilikan asing dihadkan kepada 49 peratus daripada jumlah saham sesebuah syarikat.

Namun, pelabur strategik asing tidak dibenarkan memiliki pegangan dalam syarikat ini.

Sekatan itu menunjukkan kerajaan masih mahu mengekalkan kawalan dalam negara ke atas sektor hartanah di kota-kota suci tersebut.

Penganalisis ekonomi di Riyadh, Encik Faisel Duhrani, berkata: “Arab Saudi cuba menyeimbangkan antara kepentingan ekonomi dengan kawalan domestik.

“Mereka mahu menarik pelaburan asing, tetapi pada masa yang sama tidak mahu kehilangan kawalan ke atas kawasan paling suci dalam Islam.”

Potensi Kesan Ekonomi: Peluang atau Risiko?

Kemasukan pelaburan asing dijangka merancakkan pasaran hartanah dan meningkatkan nilai syarikat-syarikat yang beroperasi di sektor ini.

Sejurus selepas pengumuman CMA, beberapa syarikat hartanah utama di Arab Saudi mencatatkan peningkatan harga saham yang ketara seperti Jabal Omar Development Co. yang naik 10 peratus kepada Saudi Riyal SR25.85 ($9.42); Makkah Construction and Development Co. meningkat 9.84 peratus kepada SR106 dan Knowledge Economic City melonjak 9.89 peratus kepada SR16.66

Peningkatan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek baharu ini.

Namun, ada yang berhujah bahawa terlalu banyak pelaburan asing boleh meningkatkan spekulasi harga hartanah, menjadikannya lebih sukar bagi rakyat Saudi untuk memiliki hartanah di kota-kota suci ini.

Menurut penganalisis kewangan, langkah itu dilihat sebagai pendekatan positif untuk ekonomi.

Namun, ia perlu diberi perhatian agar tidak menyebabkan kenaikan harga hartanah yang boleh menambah beban kepada penduduk tempatan.

Haji dan Umrah: Industri Berbilion Dolar

Arab Saudi menganggarkan industri haji dan umrah boleh menjana AS$30 bilion setahun menjelang 2030.

Pada 2019, sebelum pandemik Covid-19, pendapatan daripada sektor itu dianggarkan mencecah AS$12 bilion.

Dengan membuka pelaburan dalam syarikat yang berkaitan dengan industri ini, kerajaan berharap dapat menambah kecairan kewangan untuk membiayai projek prasarana baru seperti hotel dan penginapan jemaah; pusat perniagaan dan pusat beli-belah di sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta pengangkutan awam termasuk kereta api dan lapangan terbang.

Namun, tidak semua pihak bersetuju dengan langkah ini.

Sesetengah ulama dan masyarakat Islam di peringkat sejagat bimbang pembukaan pelaburan asing di Makkah dan Madinah boleh menjejas status kota suci itu.

Seorang akademik dari Universiti Al-Azhar, Mesir, menyuarakan kebimbangannya dengan berkata:

“Makkah dan Madinah bukan sekadar destinasi pelancongan atau peluang perniagaan. Ia adalah kota suci yang perlu dijaga daripada eksploitasi komersial yang berlebihan.”

Langkah Arab Saudi itu selari dengan trend di negara jiran seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, yang telah lama membenarkan pemilikan hartanah asing di zon-zon bebas tertentu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Hartanah Saudi, Encik Abdullah bin Saud Al-Hammad, lebih 130 lesen pelaburan asing telah diluluskan dalam sektor hartanah pada suku ketiga 2024.

“Jumlah ini membuktikan kepercayaan pelabur antarabangsa terhadap pasaran Saudi,” katanya.

Menurut beliau, sektor hartanah kini menyumbang 12 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Saudi, melebihi nilai AS$1 trilion.

Dengan dasar baharu ini, Arab Saudi berharap dapat mengukuhkan lagi peranannya sebagai hab pelaburan serantau.

Pembukaan pelaburan asing dalam sektor hartanah di Makkah dan Madinah adalah langkah besar dalam ekonomi Arab Saudi.

Ia boleh meningkatkan daya saing, menarik lebih banyak modal asing, dan memperkukuhkan pasaran modal negara.

Namun, persoalan besar masih kekal: Sejauh manakah keseimbangan antara kepentingan ekonomi dengan kepentingan agama dapat dikekalkan?

Penganalisis dari Dubai, berkata: “Arab Saudi sedang bermain di atas garisan halus antara pembaharuan ekonomi dengan sensitiviti agama.

“Masa akan menentukan sama ada ini adalah keputusan bijak atau satu langkah yang berisiko.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg