DAMSYIK: Konflik yang semakin memuncak di selatan Syria, khususnya melibatkan masyarakat Druze dan kemunculan semula pertempuran berskala kecil, telah menimbulkan semula persoalan besar mengenai matlamat strategik Israel dalam wilayah yang bergolak itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel dilapor terlibat dalam perbincangan sulit bersama pemerintah Syria yang baru, satu usaha luar biasa yang mungkin membawa kepada perjanjian tanpa pencerobohan atau bahkan pemulihan hubungan.
Namun, serangan udara Israel ke atas Damsyik pada 16 Julai menimbulkan tanda tanya besar: Adakah Israel serius untuk memilih jalan diplomasi, atau masih bergantung pada kekuatan ketenteraan sebagai strategi utama?
Menurut laporan media Israel, perbincangan belakang tabir dengan Presiden Ahmad al-Sharaa mencetuskan harapan perjanjian yang akan meredakan ketegangan yang berlarutan sejak Perang Arab-Israel 1967.
Namun, tindakan ketenteraan Israel terhadap sasaran pemerintah Syria termasuk serangan ke atas ibu negara Damsyik membayangkan strategi yang bercanggah dengan semangat rundingan.
“Itu tindakan yang sangat bercanggah. Ia menentang semangat rundingan itu sendiri,” ujar bekas Ketua Perunding Israel-Syria pada 1990-an, Encik Itamar Rabinovich.
Beliau menambah bahawa Israel kini berada dalam dilema antara paranoia susulan 7 Oktober 2023 dengan tahap keyakinan berlebihan selepas kejayaan menentang Hezbollah dan Iran.
Salah satu pencetus utama serangan Israel ialah penghantaran tentera Syria ke selatan negara itu bagi menangani konflik antara suku Badwi dengan masyarakat Druze.
Walaupun kekuatan ketenteraan Syria telah lumpuh akibat perang saudara dan serangan Israel terdahulu, kehadiran semula tentera Syria berhampiran sempadan Israel menimbulkan kebimbangan keselamatan.
Selain itu, keadaan di Sweida mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan masyarakat Druze Israel seramai kira-kira 150,000 orang.
Sebahagian daripada mereka turun ke jalanan, menyekat jalan dan dilaporkan sekitar 1,000 orang merentasi sempadan masuk ke Syria untuk membantu saudara seagama mereka.
“Saya tidak pasti sama ada Israel benar-benar mahu terlibat dalam konflik Syria.
“Mereka seolah-olah mahu terlibat, tetapi pada masa sama mahu menjauhkan diri,” kata Encik Rafik Halabi, Datuk Bandar Daliyat al-Karmel, bandar dengan masyarakat Druze terbesar di Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan rasmi menjelaskan dua prinsip utama dasar luar Israel terhadap Syria.
“Peraturan pertama, mengeluarkan semua unsur ketenteraan kawasan selatan Damsyik. Peraturan kedua, melindungi saudara kepada saudara kita, iaitu masyarakat Druze,” katanya.
Namun di sebalik kenyataan itu, tidak jelas sama ada tindakan ketenteraan Israel bersifat sementara bagi meredakan tekanan dalaman atau merupakan permulaan pada penglibatan lebih panjang.
Menurut pakar hubungan Israel-Syria dari Institut Kajian Keselamatan Nasional di Tel Aviv, Dr Carmit Valensi, tindakan Encik Netanyahu mungkin hanya sebagai “langkah awal dalam rundingan”.
“Israel tahu menghapuskan kehadiran ketenteraan sepenuhnya tidak realistik dalam jangka panjang, jadi tuntutan ini lebih kepada posisi rundingan, bukan matlamat sebenar,” jelas beliau.
Tindakan Israel turut mengundang rasa kecewa di Washington.
Seorang pegawai kanan Amerika, yang enggan dinamakan, menyatakan bahawa Syria sedang berusaha meredakan ketegangan, tetapi Israel tetap melancarkan serangan.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menyifatkan konflik itu sebagai “salah faham” dan mengesahkan bahawa Amerika telah bertindak sebagai perantara perjanjian gencatan senjata antara pihak yang terlibat.
“Terlalu awal untuk mengharapkan pemulihan tetapi perjanjian tidak menyerang mungkin lebih realistik,” tambahnya.
Bekas Duta Amerika ke Israel, Encik Daniel B. Shapiro, pula menekankan bahawa serangan ke atas Damsyik boleh menjejas peluang jangka pendek ke arah pemulihan hubungan.
“Israel perlu berhati-hati agar tidak mencetuskan rantaian ketidakstabilan baru yang mungkin membuka ruang campur tangan Iran,” katanya.
Israel juga bimbang dengan kemungkinan campur tangan negara serantau seperti Turkey yang mungkin mengambil peluang daripada kekacauan di Syria untuk memperkukuh pengaruh mereka.
Keadaan itu boleh mengubah imbangan kuasa di wilayah tersebut dan meletakkan Israel dalam kedudukan yang lebih terancam.
Israel telah beberapa kali memberi amaran mereka tidak akan menyokong mana-mana puak di Syria secara ketenteraan, tetapi kenyataan dan tindakan yang tidak selari itu terus menimbulkan kekeliruan.
Bekas pegawai kanan Israel, Encik Shalom Lipner, menyatakan bahawa Israel kini “digerakkan oleh dua faktor utama iaitu moral untuk membela masyarakat Druze, dengan strategi untuk mengekang ancaman ketenteraan”.
Masyarakat Druze Israel memainkan peranan penting dalam membentuk tindak balas pemerintah terhadap perkembangan di Syria.
Hubungan akrab mereka dengan negara Yahudi termasuk penglibatan dalam tentera dan pentadbiran telah memberi mereka pengaruh politik yang ketara.
Namun, perbezaan nilai dan kesetiaan dengan saudara seagama di Syria yang tidak menyokong Israel menjadikan kedudukan mereka sebagai jambatan diplomatik sangat rapuh.
Di Sweida, bendera Israel yang dikibarkan telah dibakar oleh penduduk setempat.
Ia merupakan lambang penolakan yang jelas terhadap sebarang persepsi penjajahan atau campur tangan.
Walaupun perjanjian pemulihan kelihatan jauh, golongan pengamat percaya perjanjian tanpa pencerobohan masih dalam jangkauan.
Untuk mencapainya, pemerintah Syria perlu membuktikan ia mampu mengawal militannya dan menegakkan undang-undang.
Israel pula perlu menyesuaikan strategi agar lebih menyokong kestabilan Syria dan bukan hanya mengekang pengaruh musuh.
Israel kini berada di persimpangan antara diplomasi dengan dominasi.
Komitmen terhadap masyarakat Druze menjadi faktor pendorong, tetapi keperluan geopolitik dan keselamatan jangka panjang sepatutnya mendorong Israel ke arah penyelesaian lebih lestari.
Sama ada melalui jabat tangan atau peluru berpandu, dasar luar Israel terhadap Syria perlu lebih jelas dan tekal.
Jika tidak, risiko ketidakstabilan yang lebih besar akan terus membayangi wilayah Asia Barat itu.
“Jika Israel benar-benar mahu perjanjian jangka panjang, ia perlu membantu membina semula Syria sebagai negara berdaulat yang stabil bukan terus menghancurkannya,” tambah Dr Valensi. – Agensi berita.
“
“Jika Israel benar-benar mahu perjanjian jangka panjang, ia perlu membantu membina semula Syria sebagai negara berdaulat yang stabil bukan terus menghancurkannya.”“
“Saya tidak pasti sama ada Israel benar-benar mahu terlibat dalam konflik Syria. Mereka seolah-olah mahu terlibat, tetapi pada masa sama mahu menjauhkan diri.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg