Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS ramal negara Arab baru sertai Perjanjian Abraham di tengah krisis Gaza

May 8, 2025 | 10:43 AM
utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff
Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff.  - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Utusan khas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, meramalkan lebih banyak negara Arab akan memulihkan hubungan dengan Israel menerusi peluasan Perjanjian Abraham.

Ini walaupun Israel sedang dikritik hebat berikutan serangan berterusan ke atas Gaza yang mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin.

“Kami menjangka beberapa pengumuman penting akan dibuat dalam masa terdekat.

“Harapan kami ialah untuk melihat kemajuan besar menjelang tahun depan (2026),” kata Encik Witkoff ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Kemerdekaan Israel ke-77 di Kediaman Duta Israel di Washington.

Perjanjian Abraham, yang dimeterai semasa penggal pertama Encik Trump, telah menyaksikan pemulihan hubungan diplomatik antara Israel dengan beberapa negara Arab termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan.

Namun, perjanjian itu menerima kritikan hebat daripada masyarakat antarabangsa kerana mengabaikan hak rakyat Palestin dan memperkukuh kedudukan Israel di wilayah yang masih dipertikaikan.

“Saya menyeru rakyat Israel agar memilih perpaduan dan harapan, bukannya perpecahan dan rasa putus harapan.

“Masa depan Israel akan lebih gemilang jika rakyatnya bersatu,” ujar Encik Witkoff.

Beliau menambah, pentadbiran Encik Trump akan membuat “beberapa pengumuman baru” mengenai peluasan Perjanjian Abraham itu dalam masa terdekat.

Namun, dalam majlis yang turut meraikan ulang tahun penubuhan Israel pada 1948 – yang bagi rakyat Palestin dikenang sebagai tragedi Nakba – kenyataan Encik Witkoff mengenai “inisiatif bantuan kemanusiaan untuk Gaza” menimbulkan tanda tanya.

Ini memandangkan Israel telah mengenakan sekatan menyeluruh terhadap kemasukan bantuan sejak serangan terbaharu yang bermula pada Mac.

Dalam ucapannya, beliau turut mengulas keputusan Kabinet keselamatan Israel yang meluluskan operasi ketenteraan berskala lebih besar di Gaza.

“Israel adalah negara berdaulat dan berhak membuat keputusan sendiri. Presiden menyokong Israel. Tindakan membebaskan tebusan itu penting, tetapi Hamas juga mesti dilucutkan senjata,” katanya.

Mengenai isu tebusan, Encik Witkoff berkata beliau berhubung hampir setiap hari dengan pihak Qatar, Mesir dan Israel.

“Presiden mahu tebusan dibebaskan, begitu juga Perdana Menteri Israel. Kami sedang bekerjasama secara fokus ke arah matlamat itu,” katanya.

Sambutan kali ini digambarkan sebagai “pahit manis” kerana 59 tebusan masih berada dalam tahanan Hamas.

“Saya masih ingat ketika askar wanita dibebaskan – saya menyanyi bersama mereka. Itu adalah detik paling menyentuh dalam hidup saya,” tambah beliau.

Majlis malam itu turut dihadiri pegawai kanan Amerika, ahli Kongres dan Senat, duta asing, pemimpin masyarakat Yahudi dan wakil pertubuhan masyarakat sivil.

Encik Witkoff turut mendedahkan bahawa rundingan antara Amerika dan Iran mengenai isu nuklear menunjukkan sedikit kemajuan.

“Iran tidak akan memiliki senjata nuklear. Presiden mahu isu ini diselesaikan secara diplomatik jika boleh, dan rundingan sedang dijalankan,” katanya kepada wartawan.

Menurut beliau, pusingan keempat rundingan sedang dirancang.

Sementara itu, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan bersama menggesa tindakan segera bagi mengelakkan pembasmian rakyat Palestin secara sistematik di Gaza.

Mereka menyifatkan dunia kini berdepan pilihan moral yang sukar: “Berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, atau bertindak mencari penyelesaian yang adil”.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyifatkan krisis Gaza sebagai “yang paling kritikal dalam sejarah moden”.

Manakala, Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, mengumumkan rancangan mengemukakan usul di Perhimpunan Agung PBB bagi menghentikan pembunuhan orang awam dan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Di Britain, Perdana Menteri, Encik Keir Starmer, menyifatkan keadaan di Gaza dan Tebing Barat sebagai “tidak dapat diterima”.

Sementara itu, badan amal World Central Kitchen (WCK) yang mengendalikan satu-satunya kilang roti masih beroperasi di Gaza memaklumkan mereka telah kehabisan bekalan.

“Bekalan tambahan sudah bersedia di Jordan dan Mesir, tetapi tidak boleh dihantar tanpa kebenaran Israel,” kata WCK. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg