WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 15 Januari mengumumkan bahawa beliau akan menggunakan momentum dari perjanjian gencatan senjata Gaza yang baru dicapai untuk memperluaskan Perjanjian Abraham.
Perjanjian tersebut disokong oleh Amerika yang berjaya memulihkan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab semasa penggal pertama pemerintahannya.
Encik Trump, yang sebelum ini sering mengancam akan membawa akibat buruk jika tebusan tidak dibebaskan menjelang perasmian beliau pada 20 Januari, menyatakan bahawa beliau sangat gembira kerana rakyat Amerika dan Israel yang menjadi tebusan akan kembali ke rumah masing-masing.
“Dengan perjanjian ini, pasukan Keselamatan Negara saya, melalui usaha Duta Khas ke Timur Tengah Steve Witkoff, akan terus bekerjasama rapat dengan Israel dan sekutu kami untuk memastikan Gaza tidak akan sekali lagi menjadi tempat perlindungan pengganas,” tulis Encik Trump di platform ‘Truth Social’ miliknya.
Menurut Encik Trump, perjanjian gencatan senjata yang “epik” ini hanya dapat dicapai hasil daripada kemenangan bersejarah pada November yang menandakan kepada dunia bahawa pentadbirannya akan terus mencari keamanan dan berusaha memastikan keselamatan rakyat Amerika dan sekutu mereka.
Encik Trump menyatakan bahawa beliau akan terus mempromosikan “kemanan melalui kekuatan” di seluruh rantau itu, membina atas momentum perjanjian gencatan senjata untuk meluaskan lagi Perjanjian Abraham yang bersejarah.
Perjanjian tersebut berjaya memulihkan hubungan Israel dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi, yang mana kesemuanya dilihat sebagai langkah penting ke arah kestabilan politik di Timur Tengah.
Namun, usaha memasukkan Arab Saudi ke dalam perjanjian tersebut masih terhalang oleh pendirian Riyadh yang enggan memulihkan hubungan selagi Israel tidak mengambil langkah yang lebih jelas menuju penubuhan negara Palestin yang berdaulat.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, sering menekankan bahawa “pemulihan dan kestabilan sejati hanya akan tercapai dengan memberikan rakyat Palestin negara mereka”.
Menurut sumber yang rapat dengan kem Encik Trump, masih ada harapan untuk mencapai perjanjian antara Israel dengan Arab Saudi, satu usaha yang telah lama dicari oleh pentadbiran Encik Trump dan Presiden Amerika Joe Biden.
Encik Biden, yang mengumumkan kejayaan gencatan senjata itu menyatakan bahawa perjanjian tersebut lebih kurang mencerminkan cadangan yang beliau kemukakan pada Mei lalu.
Dalam ucapan perpisahannya pada malam 15 Januari, Encik Biden tersenyum apabila ditanya siapa yang akan diberikan kredit dalam buku sejarah untuk perjanjian gencatan senjata ini, dengan menjawab: “Adakah ini satu jenaka?”
Encik Biden turut mengingatkan bahawa perancangan dan perundingan yang membawa kepada gencatan senjata ini dilakukan oleh pasukannya dan akan dilaksanakan oleh pentadbiran yang baru nanti.
Walaupun begitu, Encik Trump dalam kenyataan media sosialnya menegaskan bahawa pencapaian itu hasil kemenangan bersejarah pada November yang membuktikan kepada dunia bahawa pentadbirannya akan sentiasa mencari keamanan.
Encik Trump juga menghantar Encik Witkoff, yang berada di Doha selama 96 jam terakhir rundingan, bagi membantu memastikan penyelesaian itu tercapai.
Encik Witkoff dilihat telah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengubah pendirian Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berbanding usaha yang dilakukan oleh pentadbiran Encik Biden.
Mengulas mengenai situasi ini, pakar keselamatan Timur Tengah, Dr Ahmed Al-Sayed, berkata: “Walaupun gencatan senjata ini adalah langkah positif, ia hanya akan bertahan jika usaha untuk mencapai kedamaian jangka panjang antara Israel dengan Palestin diambil secara serius.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg