Asia Barat turut terkait fail Epstein
Dedah jejak kewangan dan aset di Lebanon, Libya; Epstein dipercayai penghubung tidak rasmi UAE-Israel sebelum Perjanjian Abraham
WASHINGTON: Pendedahan terkini oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang melibatkan lebih tiga juta halaman dokumen berkaitan ahli kewangan, mendiang Jeffrey Epstein telah membuka lembaran baru dalam pemahaman awam tentang bagaimana kuasa, kekayaan dan akses elit berfungsi dalam sistem sejagat.
Fail yang dikeluarkan di bawah Akta Ketelusan Fail Epstein, diluluskan Kongres Amerika Syarikat pada November 2025, bukan sekadar mengulangi naratif jenayah seks yang telah diketahui, malah memperincikan rangkaian kewangan, politik dan perisikan yang merentasi Asia Barat dan Barat.
Pelepasan lebih 180,000 imej dan 2,000 video itu merupakan pendedahan terbesar setakat ini.
Ia menimbulkan persoalan mendalam tentang kegagalan institusi antarabangsa dalam memantau individu berpengaruh yang beroperasi di zon kelabu antara diplomasi, perniagaan dengan keselamatan.
Epstein, seorang pembiaya kaya Amerika Syarikat, meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak perempuan bawah umur untuk tujuan seks.
Lebanon: Pertembungan kewangan
Antara pendedahan yang mencetuskan kebimbangan ialah rujukan terhadap Lebanon dalam e-mel bertarikh 2010, yang membincangkan potensi pengambilalihan bank di Asia Barat.
Dalam satu rantaian e-mel, Epstein mencadangkan Lebanon dan Syria sebagai “titik panas seterusnya” selepas urus niaga kewangan di Mesir.
Lebih membimbangkan ialah kenyataan seorang rakan perbualan yang menyelitkan komen berunsur seksual mengenai Lebanon, sekali gus mencerminkan bagaimana perbincangan kewangan dalam kalangan elit turut dicemari sikap yang berunsur eksploitasi.
Walaupun tiada tuduhan salah laku terhadap negara atau tokoh Lebanon, koresponden itu memperlihatkan bagaimana rangkaian Epstein beroperasi dengan kelonggaran etika yang ketara.
Ahli akademik Lebanon-Amerika, Dr Nassim Nicholas Taleb, turut disebut dalam fail tersebut, namun beliau secara terbuka menegaskan beliau berulang kali menolak undangan Epstein setelah mempersoalkan sumber kekayaannya.
Penolakan itu sering dirujuk sebagai contoh kewaspadaan intelektual dalam kalangan elit sejagat.
Libya: Pembekuan aset dan kapitalisme pascakonflik
Pendedahan paling signifikan dari sudut geopolitik melibatkan usaha Epstein pada 2011 untuk mengakses aset negara Libya yang dibekukan selepas kebangkitan bersenjata yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) terhadap mantan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
E-mel yang didedahkan menyatakan kira-kira AS$80 bilion ($112.8 bilion) aset Libya dibekukan di peringkat antarabangsa, dengan AS$32.4 bilion berada di institusi kewangan Amerika Syarikat.
“Jika kita boleh mendapatkan semula 5 hingga 10 peratus daripada dana ini dan menerima 10 hingga 25 peratus sebagai pampasan, kita bercakap tentang berbilion dolar,” ujar satu e-mel kepada Epstein.
Lebih serius, dokumen itu mendakwa terdapat kesediaan bekas pegawai risikan MI6 dari United Kingdom dan Mossad dari Israel untuk membantu usaha pengesanan aset.
Walaupun dakwaan itu tidak disahkan dan telah dinafikan oleh tokoh politik dan aktivis hak asasi manusia dari Libya seperti Encik Abdulhafiz Ghoga, ia mencerminkan realiti rapuh negara pasca konflik, apabila aset awam menjadi sasaran pelbagai aktor antarabangsa.
Dalam wacana akademik, kes itu sering dijadikan rujukan sebagai manifestasi “krisis kapitalisme”, iaitu keadaan apabila ketidakstabilan politik dieksploitasi bagi keuntungan kewangan, sekali gus mengaburkan sempadan etika antara kepentingan pasaran, kuasa politik dengan tanggungjawab moral.
Epstein dan Israel: Akses elit dan teknologi keselamatan
Fail yang dikeluarkan turut memperincikan hubungan rapat Epstein dengan tokoh Israel, termasuk bekas perdana menteri Encik Ehud Barak.
Koresponden itu memperlihatkan hubungan berpanjangan yang merangkumi pertemuan peribadi, penglibatan dalam pelaburan teknologi, serta pengenalan kepada tokoh berpengaruh dalam kalangan elit politik dan ekonomi.
Antara cadangan Epstein kepada Encik Barak ialah mempertimbangkan pelaburan dalam syarikat teknologi analitik Palantir, yang mempunyai peranan penting dalam ekosistem keselamatan dan pengawasan Israel.
Walaupun tiada bukti salah laku jenayah, pendedahan itu menimbulkan persoalan tentang bagaimana akses peribadi boleh mempengaruhi hala tuju dasar dan pelaburan strategik.
Rakaman audio perbualan antara Epstein dengan Encik Barak, yang turut didedahkan, memperlihatkan perbincangan sensitif mengenai demografi Israel, imigresen dan kebuntuan penyelesaian dua negara Israel-Palestin.
Media Israel menegaskan “tiada bukti salah laku oleh Barak”, namun kandungan perbualan tersebut memperlihatkan tahap akses luar biasa yang dimiliki Epstein terhadap perbincangan strategik berprofil tinggi.
Epstein penghubung tidak rasmi UAE-Israel sebelum Perjanjian Abraham
Dokumen tersebut turut melaporkan Epstein berperanan sebagai penghubung tidak rasmi dalam hubungan awal antara Israel dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), bertahun-tahun sebelum termeterainya Perjanjian Abraham pada 2020.
E-me berkenaan memperlihatkan bagaimana beliau menggunakan rangkaian peribadinya untuk memasarkan teknologi komersial dan keselamatan Israel di hab logistik strategik milik UAE sambil mengatur pertemuan tertutup antara pegawai kanan, sekali gus menghubungkan kepentingan perniagaan, keselamatan dan diplomasi tidak rasmi.
Walaupun dakwaan itu masih memerlukan pengesahan lanjut, ia menyokong pandangan bahawa pemulihan diplomatik tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya dibina melalui rangkaian peribadi, perniagaan dan keselamatan yang berlapis-lapis.
Memo FBI dan dakwaan risikan
Satu memo Biro Siasatan Federal (FBI) bertarikh 2020 yang turut didedahkan dalam pelepasan fail itu menarik perhatian khusus.
Memo tersebut mengandungi laporan awal yang diperoleh daripada sumber sulit yang mendakwa Epstein mempunyai hubungan dengan operasi perisikan Amerika dan sekutunya, termasuk Mossad dari Israel – walaupun dakwaan itu kekal tidak disahkan.
Memo tersebut turut mengemukakan dakwaan beberapa tokoh politik Amerika dikatakan terdedah kepada pengaruh kepentingan Israel, termasuk Encik Donald Trump dan menantunya, Encik Jared Kushner.
Namun, Jabatan Kehakiman menegaskan kandungan memo itu tidak disahkan dan hanya mencerminkan penilaian serta persepsi satu sumber risikan, bukannya fakta yang telah dibuktikan atau disahkan secara rasmi.
Dari perspektif kerangka analisis akademik, dokumen itu menonjolkan risiko epistemologi apabila laporan perisikan mentah ditafsirkan sebagai kebenaran muktamad tanpa melalui proses pengesahan, penilaian silang dan semakan institusi yang ketat.
Pendedahan fail Epstein menggambarkan seorang individu yang beroperasi merentasi kewangan antarabangsa, diplomasi senyap dan jaringan perisikan, jauh melangkaui jenayah yang akhirnya membawanya ke penjara.
Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Peguam Negara Amerika Syarikat, Encik Todd Blanche, pendedahan itu bertujuan “memastikan ketelusan kepada rakyat Amerika”.
Namun, bagi pemerhati sejagat, pendedahan itu lebih daripada soal ketelusan sejarah.
Ia menimbulkan persoalan mendalam tentang bagaimana sistem antarabangsa gagal mengesan dan menyekat penyalahgunaan kuasa oleh individu berpengaruh.
Seperti dirumuskan oleh seorang penganalisis dasar antarabangsa, “Soal utama bukan hanya siapa yang bersalah, tetapi bagaimana struktur kuasa sejagat membenarkan individu seperti Epstein beroperasi begitu lama tanpa pengawasan berkesan.” – Agensi berita.

