PARIS: Pada awal Julai 2025, Austria menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menghantar pulang seorang warga Syria ke tanah airnya sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Tindakan itu segera menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan pakar undang-undang antarabangsa – adakah keputusan itu mencetuskan satu contoh berbahaya bagi masa depan pelarian Syria di Eropah?
Menurut kenyataan rasmi Menteri Dalam Negeri Austria, Encik Gerhard Karner, lelaki berusia 32 tahun yang ditahan di Salzburg telah dihantar pulang ke Syria menerusi Istanbul, Turkey.
“Ini adalah isyarat penting bahawa Austria mengamalkan dasar suaka yang tegas, adil dan berprinsip,” kata Encik Karner dalam sidang media di luar lapangan terbang Vienna.
Namun, kenyataan itu segera dikritik.
Peguam pertahanan dari organisasi hak pelarian, Deserteurs-und Fluchtlingsberatung, Cik Ruxandra Staicu, berkata: “Saya tidak pernah melihat pegawai pemerintah begitu berbangga dengan satu pengusiran paksa.”
Keputusan untuk menghantar pulang individu itu tambah beliau, dilakukan tanpa sebarang jaminan keselamatan atau penilaian semasa terhadap keadaan di Syria.
Walaupun pemerintah Austria menekankan rekod jenayah individu tersebut sebagai mewajarkan, pakar undang-undang berpandangan sebaliknya.
“Kementerian Dalam Negeri Austria tidak membentangkan sebarang bukti individu itu akan kembali ke persekitaran selamat,” tegas penganalisis undang-undang dari NGO Asylkoordination, Encik Sebastian Sperner.
Malah, pejabat imigresen Austria sendiri dalam panduan negara bertarikh Mei 2025 menyatakan bahawa Syria masih belum boleh dianggap selamat secara menyeluruh.
Lebih membimbangkan, dua minggu selepas penghantaran pulang dibuat, tiada maklumat diperoleh mengenai keberadaan individu berkenaan.
Pihak berkuasa Syria tidak memberikan sebarang respons membayangkan kemungkinan bahawa individu tersebut ditahan tanpa perbicaraan atau menjadi mangsa kehilangan paksa.
Kes itu turut dibawa ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, namun mahkamah memutuskan bahawa tiada risiko pelanggaran Artikel 2 dan 3 Konvensyen iaitu hak untuk hidup dan larangan penyeksaan.
Walau begitu, Encik Sperner menegaskan bahawa mahkamah tidak seharusnya membiarkan latar belakang jenayah mempengaruhi keputusan dalam perkara hak asasi.
“Konvensyen ini mentakrifkan prinsip sejagat, bukan undang-undang jenayah nasional,” katanya.
Tambahan pula, hanya dua minggu sebelum keputusan mahkamah, beberapa pemimpin Eropah termasuk Encik Donald Tusk dan Cik Giorgia Meloni menggesa mahkamah agar memberikan ruang lebih besar kepada negara anggota untuk mengusir warga asing yang disabitkan kesalahan satu tekanan politik yang nyata.
Keputusan Austria itu telah mencetuskan gelombang reaksi di negara Eropah lain.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Encik Alexander Dobrindt, mengumumkan Berlin sedang menimbang langkah serupa terhadap warga Syria yang melanggar undang-undang.
Namun, menurut peguam migrasi Jerman, Encik Christoph Tometten, penghantaran pulang secara paksa ke Syria sangat bermasalah dari segi praktikal dan undang-undang.
“Ketiadaan perjanjian dua hala antara Syria dengan mana-mana negara Eropah menjadikan proses ini sangat berisiko, apatah lagi apabila penerbangan perlu melalui negara ketiga,” jelas beliau.
Encik Tometten turut mendedahkan bahawa Jerman telah menggantung pemprosesan ribuan permohonan suaka warga Syria sejak kejatuhan Encik Assad.
“Permohonan yang diterima sejak dua atau tiga tahun lalu tidak diproses, dan kini strategi yang digunakan lebih cenderung kepada penolakan automatik,” katanya.
Austria bukan sekadar menghantar pulang pesalah, malah telah memulakan proses penarikan status pelarian ke atas hampir 2,900 warga Syria.
Ini termasuk menggantung program penyatuan semula keluarga.
Amnesty International dan pelbagai kumpulan hak asasi lain memberi amaran bahawa tindakan itu boleh mendedahkan ramai pelarian kepada risiko pembunuhan sektarian, penganiayaan agama dan diskriminasi jantina.
Menurut Cik Staicu, ini bukan soal rekod jenayah individu semata-mata.
“Kami tidak akan berundur daripada mempertahankan Artikel 3 Konvensyen Eropah. Kes lelaki Syria ini membuktikan bahawa Syria masih belum selamat,” katanya dengan tegas.
Sejak kejatuhan rejim Assad, banyak negara Eropah masih keliru dengan pendekatan mereka terhadap Syria.
Walaupun beberapa pemimpin seperti Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dan mantan Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, mengalu-alukan kejatuhan diktator itu, dasar luar Eropah tetap terpecah dan sering bersifat dua hala.
Brussels pula terus bergelut dengan ketidaksepakatan dalaman.
Menurut Cik Julien Barnes-Dacey dari Majlis Eropah bagi Hubungan Luar, Eropah mesti melihat masa depan Syria sebagai kepentingan strategik utama.
“Negara ini berada di tengah-tengah Mediterranean dan telah menjadi punca ketidakstabilan.
“Eropah perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menyokong peralihan yang bersifat terangkum dan stabil,” ujarnya.
Walaupun negara seperti Italy menunjukkan minat untuk memulakan hubungan dengan pemerintah sementara Syria, kebimbangan terhadap keselamatan pelarian terus menghantui Eropah.
Sejumlah besar negara anggota EU serta UK dan Switzerland telah menggantung permohonan suaka warga Syria.
Penganalisis dari Institut Badil, Encik Lorenzo Trombetta, menegaskan bahawa penekanan semata-mata terhadap isu pelarian menjejaskan kewibawaan Eropah sebagai rakan pembangunan semula Syria.
“Langkah seperti ini hanya menunjukkan betapa Eropah lebih mementingkan pengurusan krisis dalaman berbanding membina masa depan yang stabil untuk Syria,” katanya.
Kes penghantaran pulang warga Syria oleh Austria bukan sekadar isu perundangan, malah mencerminkan dilema moral dan strategik Eropah.
Jika dibiarkan menjadi contoh, tindakan ini mungkin mengubah landskap perlindungan pelarian di seluruh benua.
“Dalam setiap keputusan yang diambil sama ada oleh mahkamah, Parlimen atau pemerintah, hak asasi manusia tidak boleh menjadi pertimbangan kedua,” tegas Encik Sperner.
“Eropah sedang diuji: Adakah kita benar-benar berdiri teguh pada prinsip yang selama ini kita laungkan?” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg