Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tarik balik perintah sekatan ke atas Syria

Jul 1, 2025 | 1:59 PM
Encik Ahmed al-Sharaa, encik donald trump, riyadh
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (dua dari kiri), bersalaman dengan Presiden Syria Encik Ahmed al-Sharaa, dalam pertemuan di Riyadh, Arab Saudi, pada 14 Mei. - Foto fail

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada 30 Jun menandatangani perintah eksekutif yang menamatkan program sekatan Amerika Syarikat ke atas Syria, pengasingan daripada sistem kewangan antarabangsa dan membantu negara itu membina semula selepas perang saudara yang dahsyat.

Langkah itu akan membolehkan Amerika mengekalkan sekatan ke atas mantan presiden Syria yang digulingkan Bashar al-Assad, sekutunya, penderaan hak asasi manusia, pengedar dadah, orang yang dikaitkan dengan kegiatan senjata kimia, sekutu dan proksi ISIS untuk Iran, kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, kepada pemberita.

Encik Assad telah digulingkan pada Disember dalam serangan kilat oleh pemberontak dan sejak itu Syria telah mengambil langkah mewujudkan semula hubungan antarabangsa.

Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shibani, berkata penamatan program sekatan Syria oleh Encik Trump akan “membuka pintu pembinaan semula dan pembangunan yang telah lama ditunggu-tunggu”, katanya dalam hantaran di wadah media sosial X.

Beliau berkata langkah itu juga akan “menghapuskan halangan” terhadap pemulihan ekonomi dan membuka negara kepada masyarakat antarabangsa.

Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, dan Encik Trump bertemu di Riyadh pada Mei yang menyaksikan Presiden Amerika itu secara tidak dijangka mengumumkan beliau akan menarik balik sekatan ke atas Syria, mendorong Washington melonggarkan langkahnya dengan ketara.

Beberapa anggota Kongres mendesak supaya langkah itu dimansuhkan sepenuhnya, manakala Eropah turut mengumumkan penamatan sekatan ekonominya.

“Syria perlu diberi peluang, dan itulah yang berlaku,” kata Duta Khas Amerika ke Syria, Encik Thomas Barrack.

Beliau menyifatkan langkah yang diputuskan pada 30 Jun itu sebagai “kemuncak kepada proses yang sangat membosankan, terperinci, dan menyeksakan”.

Rumah Putih berkata perintah itu mengarahkan Setiausaha Negara supaya mengkaji semula status mengaitkan keganasan dengan Hayat Tahrir al-Sham, kumpulan pemberontak yang diketuai Encik Sharaa dan Syria sebagai penaja negara pengganas.

Rumah Putih berkata pihak pentadbiran akan terus memantau keutamaan utama Syria termasuk “mengambil langkah konkrit ke arah memulihkan hubungan dengan Israel, menangani pengganas asing, mengusir dan mengharamkan kumpulan pengganas Palestin”.

Siasatan agensi berita, Reuters, yang diterbitkan pada 30 Jun mendedahkan peranan tentera pemerintah Syria dalam pembunuhan lebih 1,500 warga Alawi Syria selama tiga hari di sepanjang pantai Mediterranean negara itu pada Mac.

Pentadbiran Encik Trump tidak mempunyai sebarang komen mengenai laporan Reuters itu.

Tidak jelas sama ada Washington akan menarik balik sekatan ke atas mana-mana puak yang terlibat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg