RIYADH: Ketika dunia menyaksikan perubahan besar dalam susunan kuasa global, Arab Saudi kini sedang mencorakkan langkah strategik yang mencerminkan anjakan paksi geopolitik dan ekonomi.
Salah satu langkah paling mencuri tumpuan ialah keputusan kerajaan Arab Saudi untuk memperkenalkan bahasa Mandarin sebagai bahasa asing kedua wajib di sekolah awam, selepas bahasa Inggeris.
Langkah itu bukan semata-mata tentang bahasa, ia mencerminkan satu hala tuju baru dalam hubungan Riyadh-Beijing yang semakin akrab.
Di sebuah sekolah di utara Riyadh, seorang pelajar berusia 14 tahun, Yasser al-Shaalan, dengan semangat belajar memerhatikan aksara Cina di papan digital kelasnya.
Beliau merupakan antara ribuan pelajar Arab Saudi yang kini mempelajari bahasa Mandarin, tiga kali seminggu, di bawah bimbingan guru dari China, Encik Ma Shuaib, seorang Muslim yang fasih berbahasa Arab.
“Pelajar sekolah lain mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi saya tahu bahasa Arab, Inggeris dan Cina. Ini kelebihan besar untuk masa depan saya,” kata Yasser dengan yakin.
Bagi kerajaan Arab Saudi, ini bukan satu eksperimen budaya, tetapi pelaburan masa depan.
“Bahasa Mandarin dianggap sebagai “bahasa masa depan untuk komunikasi ekonomi”, seperti yang ditegaskan oleh pengarah Sekolah Yazeed Bin Abi Othman, Encik Sattam al-Otaibi.
Langkah memperkenalkan bahasa Mandarin ke dalam sistem pendidikan negara itu bermula selepas lawatan Putera Mahkota Mohammed bin Salman ke China pada 2019.
Sejak itu, universiti utama Arab Saudi seperti Universiti Putera Sultan telah menubuhkan program pengajian bahasa Mandarin, malah turut melancarkan cawangan pertama Institut Confucius pada 2023.
Menurut Pengarah Institut Confucius di Universiti Putera Sultan, Cik Zhang Xinying, minat terhadap bahasa dan budaya China meningkat dengan pesat.
“Pendaftaran pelajar meningkat tiga kali ganda berbanding semester lalu,” ujarnya.
Cik Zhang berkata matlamat institusi itu adalah untuk “memperkenalkan keindahan bahasa dan budaya China kepada rakyat Arab Saudi”.
Bahasa Mandarin bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi jambatan strategik dalam hubungan ekonomi dan diplomatik antara dua negara.
China kini merupakan rakan dagang terbesar Arab Saudi, dengan jumlah perdagangan dua hala melebihi AS$100 bilion ($133 bilion) pada 2023.
Kira-kira satu perempat daripada eksport minyak mentah Arab Saudi disalur ke China.
Hubungan erat itu turut dilihat dalam kerjasama pelaburan seperti Forum Pelaburan Sino-Arab 2023 yang menyaksikan lebih AS$10 bilion perjanjian ditandatangani antara syarikat China dengan entiti Arab Saudi.
Tidak cukup dengan itu, Arab Saudi dan China turut menjalin kerjasama dalam bidang tenaga, teknologi, ketenteraan dan pendidikan.
Penganalisis dasar luar Arab Saudi dari Universiti Birmingham, Encik Umer Karim, mengungkap: “Hubungan dengan China kini antara yang paling penting buat Arab Saudi.”
Menurutnya, pengenalan bahasa Mandarin adalah gambaran kepada “dunia baru di mana China muncul sebagai kuasa ekonomi sejagat”.
Langkah pengajaran bahasa Mandarin juga seiring dengan pelan transformasi ekonomi Wawasan 2030 yang diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Pelan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan negara itu kepada hasil minyak dan membuka ruang kepada sektor ekonomi lain seperti pelancongan, teknologi dan pendidikan.
Dalam konteks ini, hubungan dengan China, kuasa ekonomi kedua terbesar dunia amat strategik.
Dengan meningkatnya pelaburan China di Timur Tengah, akses kepada bahasa Mandarin boleh menjadi kelebihan penting untuk generasi muda Arab Saudi dari segi pekerjaan, perniagaan dan kerjasama akademik.
Guru bahasa Mandarin di Riyadh, Encik Ma Shuaib, berkata: “Bahasa Cina memang mencabar, tetapi saya guna kaedah moden – seperti papan digital, isyarat tangan dan permainan interaktif – supaya pelajar rasa seronok.”
Setakat ini, 175 guru bahasa Mandarin telah dihantar ke Arab Saudi sejak Ogos.
Mengikut laporan agensi berita China, Xinhua, kerajaan Arab Saudi merancang untuk melantik 800 guru tambahan bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat.
Program latihan turut dijalankan di Universiti Tianjin, China, bagi melatih guru tempatan Arab Saudi untuk mengajar Mandarin dengan lebih berkesan.
Selain itu, papan tanda di lapangan terbang Riyadh kini tersedia dalam tiga bahasa: Arab, Inggeris dan Mandarin – satu lagi isyarat jelas bahawa keterbukaan kepada budaya dan komunikasi rentas negara semakin meluas.
Berbeza dengan negara Barat yang mula menutup pusat pengajian bahasa Mandarin seperti Institut Confucius atas alasan kebimbangan politik, Arab Saudi tidak menunjukkan reaksi sebegitu.
Malah, Riyadh menyambut baik kerjasama pendidikan itu, memandangkan ia seiring dengan kepentingan ekonomi dan strategi geopolitik negara.
Seorang pelajar di Institut Confucius Universiti Putera Sultan, Encik Yousef Al Shaikh, berkata pembelajaran bahasa Mandarin telah membuka dunia baru untuknya.
“Bahasa Cina membawa saya mengenali budaya yang menakjubkan. Saya ingin menyambung (pengajian) PhD (Doktor Falsafah) di China,” katanya.
Apa yang sedang berlaku di Arab Saudi sebenarnya mencerminkan realiti baru aturan kuasa dunia.
China muncul sebagai rakan dagang yang tekal, aktif dan pragmatik.
Daya usaha seperti perdamaian bersejarah antara Arab Saudi dengan Iran pada 2023, yang diusahakan oleh China, memperkukuh lagi imej Beijing sebagai pemain utama di Timur Tengah.
Sebagai pelajar sejagat yang melihat peluang strategik dalam perubahan dunia, Riyadh sedang mengatur langkah agar generasi barunya tidak hanya mahir dalam bahasa Barat, malah, turut menguasai bahasa yang kini menjadi lambang kebangkitan ekonomi baru.
Dalam suasana geopolitik yang tidak menentu, membuka pintu kepada pelbagai pakatan – termasuk yang bukan Barat – memberikan Arab Saudi kelebihan dalam merangka masa depan ekonominya.
“Mempelajari bahasa baru membuka pintu kepada maklumat baru,” kata Encik Yousef.
“Bahasa Cina bagi saya bukan sekadar mata pelajaran – ia adalah laluan menuju masa depan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg