RIYADH: Keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengadakan rundingan damai mengenai Ukraine di Arab Saudi pada 19 Februari menonjolkan peranan penting yang dimainkan kerajaan Riyadh dalam landskap diplomatik sejagat.
Keputusan itu juga memperlihatkan bagaimana Arab Saudi semakin memperoleh pengaruh besar dalam arena diplomatik dunia, sambil mengukuhkan hubungan mereka dengan Amerika.
Sekali gus, ia menunjukkan bagaimana negara yang dahulunya dianggap sebagai ‘terasing’ dalam masyarakat antarabangsa kini sedang berada di barisan hadapan diplomasi sejagat.
Sejak diterajui Putera Mahkota Mohammed Salman (MBS), Arab Saudi telah mengubah pendekatan diplomatiknya dengan memperluas pengaruh keluar daripada sekutu tradisional.
Pengaruh Saudi sebagai perantara dapat dilihat melalui peranan mereka dalam perbincangan antara pegawai tertinggi Amerika dan Russia.
Negara ini kini memupuk hubungan lebih erat dengan kuasa besar seperti China dan Russia, sambil mengekalkan hubungan keselamatan yang rapat dengan Amerika.
Keputusan itu turut dilihat sebagai langkah memperkukuh pengaruh Saudi dalam geopolitik dunia.
Menurut pakar diplomatik, Profesor Umer Karim, keputusan memilih Arab Saudi sebagai lokasi rundingan damai antara Amerika dengan Russia adalah sangat penting dalam meningkatkan kedudukan Saudi kembali ke panggung antarabangsa.
“Langkah ini memberikan Arab Saudi peluang untuk menunjukkan kewibawaan diplomatik mereka, dan dengan cara ini, mereka semakin menjadi pemain utama dalam perundingan peringkat sejagat,” jelas beliau.
Rundingan damai mengenai Ukraine yang diadakan di Arab Saudi turut membuka dimensi baru bagi peranan Riyadh sebagai perantara utama dalam diplomasi antarabangsa.
Ini bukan sahaja tentang mencari penyelesaian kepada konflik di Ukraine, bahkan juga tentang bagaimana Arab Saudi boleh menjadi jambatan antara kuasa besar seperti Amerika, Russia dan negara Eropah.
Pemilihan Arab Saudi sebagai tuan rumah rundingan tersebut memperlihatkan pendekatan diplomatik yang lebih pragmatik daripada pentadbiran Encik Trump, yang lebih mengutamakan diplomasi transaksi daripada sekutu tradisional.
“Arab Saudi tidak hanya menjadi tempat bagi negara-negara besar ini bertemu, bahkan ia juga memperlihatkan bagaimana kerajaan ini cuba mengimbangi hubungan antara kuasa-kuasa besar yang mempunyai kepentingan bertentangan,” ujar penasihat kerajaan Saudi, Encik Ali Shihabi, kepada agensi berita, AFP.
Selepas beberapa tahun ketegangan yang berlaku antara kedua-dua negara, rundingan yang diadakan di Riyadh adalah suatu pencapaian besar bagi Saudi untuk memperlihatkan mereka sebagai pemangkin dalam keamanan dunia.
Ia juga menandakan bahawa Saudi mempunyai keupayaan mendekatkan dua kuasa besar itu, sesuatu yang jarang berlaku.
Selain itu, Arab Saudi turut memainkan peranan penting dalam rundingan mengenai konflik Gaza.
Awal dari ini, kerajaan Riyadh menjadi tuan rumah bagi persidangan antara pemimpin negara Arab untuk membincangkan berhubung tindak balas terhadap cadangan Encik Trump untuk mengambil alih Gaza.
Arab Saudi, yang sebelum ini dihimpit kontroversi besar berhubung pembunuhan wartawan, Encik Jamal Khashoggi, pada 2018, kini kembali menjadi negara yang dihormati dalam arena antarabangsa.
“Saudi telah berjaya memanfaatkan ketegangan dalam hubungan antara Barat dengan Russia dalam krisis Ukraine, terutama dalam isu minyak, tanpa kehilangan sebarang sekutu mereka, baik dari pihak Barat mahupun Russia,” kata pakar di Pusat Kajian Politik dan Strategik Al-Ahram, Cik Rabha Seif Allam.
Arab Saudi menunjukkan bahawa ia mampu menjadi pemain utama di tengah pertikaian besar dunia dan mengambil pendekatan berkecuali.
Ini memberi mereka kedudukan unik untuk meneruskan peranan mereka dalam diplomasi sejagat.
Selain konflik Ukraine, Saudi juga semakin memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah berkaitan Gaza.
Keputusan Encik Trump memindahkan penduduk Gaza telah ditolak mentah-mentah oleh Saudi, yang lebih mengutamakan penyelesaian dua negara.
Namun, mereka masih terus bekerja rapat dengan sekutu Arab bagi mencari huraian lebih holistik untuk kawasan tersebut.
“Saudi kini menjadi pemain penting dalam diplomasi serantau dan juga dalam konteks sejagat.
“Mereka berjaya menggabungkan kepentingan ekonomi dan keselamatan sambil mengimbangi antara pelbagai kuasa besar dunia,” jelas Profesor Umer.
Melalui inisiatif itu, Arab Saudi bukan sahaja memperlihatkan kemampuannya dalam memperkukuh pengaruh diplomatik, bahkan juga memantapkan kedudukannya sebagai negara yang berupaya memainkan peranan utama dalam menyelesaikan pertikaian antarabangsa.
Sebagai tuan rumah bagi rundingan penting antara Amerika dengan Russia, Arab Saudi terus memperkukuh reputasinya sebagai kuasa besar yang tidak boleh dipandang ringan dalam dunia diplomasi.
Seiring dengan pertumbuhan pengaruh mereka, Saudi berjaya mengukuhkan kedudukan mereka sebagai negara yang sentiasa bersedia menyumbang dalam usaha ke arah keamanan dunia.
“Riyadh kini bukan hanya tempat untuk pertemuan besar kuasa besar dunia, malah ia juga meletakkan Saudi sebagai sebuah negara yang memainkan peranan utama dalam mengatur dasar luar yang bertanggungjawab,” kata Encik Shihabi.
Kepimpinan Arab Saudi di bawah Putera Mahkota Mohammed bin Salman menunjukkan mereka telah bersedia mengambil langkah berani dalam menentukan hala tuju diplomatik negara, di samping terus mengukuhkan hubungan mereka dengan kuasa besar dunia.
“Saudi kini semakin diiktiraf sebagai pemain penting dalam diplomasi dunia, dan langkah-langkah yang diambil oleh Putera Mohammed Salman akan memberi kesan besar terhadap hala tuju masa depan negara ini,” tambah Encik Shihabi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg