Dari sekutu kini pesaing – keretakan Saudi-UAE jadi ancaman utama Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari sekutu kini pesaing – keretakan Saudi-UAE jadi ancaman utama Asia Barat

Tanpa usaha diplomasi serius, persaingan ini berisiko jerumuskan rantau ke dalam fasa konflik baru yang lebih kompleks dan sukar dikawal
Feb 2, 2026 | 5:30 AM

Dari sekutu kini pesaing – keretakan Saudi-UAE jadi ancaman utama Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Anggota pasukan anti keganasan Yemen yang disokong Arab Saudi berjaga-jaga di Lapangan Terbang Al-Riyan, di bandar Mukalla, wilayah pesisir selatan Hadramaut, Yaman, pada 19 Januari 2026. Pada hari sama, pegawai Yaman yang disokong Arab Saudi mendakwa UAE mengendalikan penjara rahsia di selatan negara itu, mencerminkan keretakan hubungan yang semakin melebar antara dua sekutu serantau yang kini menjadi pesaing.
Anggota pasukan anti keganasan Yemen yang disokong Arab Saudi berjaga-jaga di Lapangan Terbang Al-Riyan, di bandar Mukalla, wilayah pesisir selatan Hadramaut, Yaman, pada 19 Januari 2026. Pada hari sama, pegawai Yaman yang disokong Arab Saudi mendakwa UAE mengendalikan penjara rahsia di selatan negara itu, mencerminkan keretakan hubungan yang semakin melebar antara dua sekutu serantau yang kini menjadi pesaing. - Foto AFP

RIYADH/ABU DHABI: Ketibaan tahun 2026 menyaksikan Asia Barat terus dibelenggu ketegangan yang belum reda. Rantau itu terus bergolak dalam tarikan kuasa yang semakin bercelaru, dengan konflik sedia ada dari Gaza hingga Syria semakin memuncak, dan pakatan lama mula retak.

Di tengah-tengah ketidaktentuan ini, satu perkembangan paling membimbangkan ialah keretakan semakin ketara antara Arab Saudi dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dua negara Teluk yang sebelum ini dianggap sekutu paling rapat.

Penganalisis memberi amaran bahawa persaingan dua kuasa Teluk ini berpotensi “mengoyakkan” Asia Barat, bukan melalui perang langsung, tetapi melalui rangkaian konflik proksi, pakatan ketenteraan yang saling berlawanan dan persaingan pengaruh yang semakin terbuka.

“Walaupun masih terlalu awal untuk melihat bentuk muktamad susunan baharu Asia Barat, garis awal pakatan fleksibel sudah mula terbentuk,” kata Cik Mona Yacoubian, Pengarah Program Asia Barat di di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Menurut beliau, satu blok kini semakin tersusun sekitar Arab Saudi, Qatar, Oman, Mesir, Turkey dan Pakistan, manakala satu lagi menghimpunkan UAE, Israel dan India. Susunan ini, katanya, sedang “menyumbang kepada persaingan yang lebih sengit, perpecahan dan ketidakstabilan serantau”.

Daripada sekutu kepada pesaing

Arab Saudi dan UAE selama bertahun-tahun dilihat sebagai tonggak kestabilan Teluk, dengan hubungan ekonomi yang rapat dan kerjasama keselamatan yang mendalam. Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, malah pernah dianggap sebagai mentor kepada Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman.

Namun, perbezaan wawasan kepimpinan serantau kini semakin terserlah. Riyadh dilihat berusaha membina pengaruh sebagai kuasa penentu Asia Barat yang lebih inklusif, manakala Abu Dhabi pula cenderung kepada pendekatan lebih tegas berasaskan keselamatan, termasuk kerjasama rapat dengan Israel.

“Wujud perasaan mendalam di Arab Saudi bahawa UAE telah mengkhianati perkongsian strategik dan kini mencetuskan krisis dalam lingkungan pengaruh strategik Saudi,” kata penganalisis politik Saudi, Encik Soliman Al-Okaily.

Ketegangan ini semakin ketara apabila UAE dan India menandatangani surat hasrat untuk membentuk perkongsian pertahanan strategik. Langkah itu dilihat sebagai reaksi langsung terhadap perbincangan pakatan keselamatan tiga hala antara Turkey, Pakistan dan Arab Saudi, yang disusuli perjanjian pertahanan bersama Riyadh–Islamabad pada September lalu.

Di atas kertas, kedua-dua kem kini merangkumi kuasa ketenteraan utama rantau ini: India, Israel dan Pakistan yang bersenjata nuklear, serta Turkey sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Gabungan ini mewujudkan satu rangkaian pencegahan baharu yang, menurut penganalisis, boleh sama ada menghalang konflik atau mencetuskannya.

Syria dan Israel sebagai medan ujian paling berbahaya

Syria muncul sebagai antara titik panas paling berisiko dalam perpecahan ini. Pentadbiran baru yang disokong Turkey dan menggantikan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024 kini berdepan ketegangan baru dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui oleh kepimpinan Kurdi.

Bagi kali ketiga sejak Mac lalu, SDF menarik diri daripada perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat untuk menyertai struktur pentadbiran baru Syria. Walaupun pesawat tempur Amerika setakat ini menghalang pertempuran terbuka, perkembangan di lapangan dilihat bergerak lebih pantas daripada diplomasi.

Encik Giorgio Cafiero, Ketua Pegawai Eksekutif Analitik Negara-Negara Teluk menyifatkan Syria sebagai “titik nyala utama” akibat pertembungan visi serantau.

“Matlamat Turkey dengan sokongan Arab Saudi untuk membina semula Syria sebagai negara berpusat bercanggah secara langsung dengan agenda Israel yang bertujuan melemahkan dan memecah belahkan Syria,” katanya.

Beliau menambah bahawa serangan Israel di Syria sebahagiannya bertujuan melemahkan keupayaan Damsyik untuk mempertahankan diri, sekali gus menafikan sebarang ruang bagi Syria memperluaskan pengaruh atau peranannya di peringkat serantau.

Perubahan sikap terhadap Israel turut menjadi faktor penting dalam pergeseran Saudi-UAE. Encik Hussein Ibish, sarjana kanan di Institut Negara-Negara Teluk Arab berkata semakin banyak negara Teluk mula melihat Israel bukan lagi sebagai penyumbang keselamatan, tetapi sebagai sumber ketidakstabilan.

“Tindak balas ekstrem Israel terhadap serangan Hamas pada Oktober 2023 telah mengubah persepsi ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada “perang ke semua arah” yang dilancarkan Israel di Gaza; Tebing Barat, Lebanon dan Syria serta serangan udara di Qatar pada September lalu. “Campur tangan Israel di Syria mengejutkan banyak negara Arab, khususnya di Teluk. Bagi kebanyakan mereka, serangan ke atas Qatar adalah titik terakhir,” katanya.

Namun, Encik Ibish percaya ketegangan Saudi–UAE masih boleh dikawal, terutamanya kerana ancaman Iran belum lenyap sepenuhnya. “Kita berada dalam tempoh peralihan di mana Iran mungkin kurang berbahaya berbanding sebelum ini, tetapi Israel semakin dilihat sebagai ancaman,” katanya.

Media, propaganda dan perang persepsi

Ketegangan ini kini turut meletus dalam bentuk perang media. Saluran milik kerajaan Saudi, Al-Ekhbariya, baru-baru ini menuduh UAE “melabur dalam kekacauan dan menyokong gerakan pemisah” dari Libya hingga Yaman dan Tanduk Afrika.

Bahasa keras sebegini jarang kedengaran sejak sekatan diplomatik terhadap Qatar pada 2017.

Penganalisis keselamatan Teluk, Cik Anna Jacobs, menyifatkan situasi ini sebagai luar biasa. “Isu yang selama ini disimpan kini didedahkan secara terbuka dalam cara yang belum pernah berlaku,” katanya.

UAE pula memilih pendekatan lebih senyap. Profesor sains politik Amiriah, Encik Abdulkhaleq Abdulla, berkata negaranya tidak mahu mencetuskan provokasi. “Kami bukan dalam kebiasaan mencabar ‘abang besar’ kami,” katanya. “Kami tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan Arab Saudi.”

Namun, di Arab Saudi, kritikan terhadap UAE semakin lantang. Seorang penulis politik Saudi menyifatkan dasar luar Abu Dhabi sebagai “lanjutan agenda Israel yang dibalut dengan imej negara Teluk”, merujuk kepada hubungan rasmi UAE dengan Israel sejak pemeteraian perjanjian pemulihan hubungan pada 2020.

Walaupun perpecahan menyeluruh antara kedua-dua negara masih dilihat sukar berlaku, para penganalisis memberi amaran bahawa Arab Saudi mempunyai kelebihan ekonomi yang boleh digunakan sebagai tekanan. Saluran milik kerajaan Saudi, Al-Ekhbariya, melaporkan bahawa Riyadh “tidak akan teragak-agak mengambil langkah yang perlu”, satu isyarat yang ditafsirkan penganalisis sebagai kemungkinan tindakan ekonomi tidak langsung atau tekanan kewangan tersirat terhadap Abu Dhabi.

Pada masa sama, diplomasi bergerak pantas. Somalia membatalkan semua perjanjian dengan UAE bulan ini, manakala Arab Saudi dilaporkan mendekati Mogadishu. Riyadh juga memperkukuh hubungan dengan Qatar melalui projek rel berkelajuan tinggi, satu isyarat jelas penjajaran semula serantau.

Ketika pengaruh Iran dan rangkaian sekutunya semakin terhakis, tumpuan kini beralih kepada keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sama ada untuk melancarkan serangan besar terhadap Teheran. Pergerakan sebuah kapal induk Amerika ke Teluk Parsi pula menambahkan lagi ketegangan serantau, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berskala lebih luas.

“Keseluruhan perkembangan ini berlaku dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, di mana hampir semua senario berisiko menjadi kenyataan,” kata Encik Ibish. Dalam suasana ini katanya, perpecahan Saudi-UAE bukan sekadar pertikaian dua negara Teluk, tetapi cerminan perubahan struktur kuasa Asia Barat. Tanpa usaha diplomasi serius, persaingan ini berisiko menjerumuskan rantau itu ke dalam fasa konflik baru yang lebih kompleks, berlapis dan sukar dikawal. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg