ADEN (Yaman): Tahun baru 2026 bermula dengan perkembangan mengejutkan di Asia Barat apabila ketegangan melibatkan dua kuasa Teluk Arab – Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) – tercetus secara terbuka di Yaman.
Negara yang telah lama dilanda konflik itu sekali lagi menjadi medan perebutan pengaruh serantau.
Kali ini, bukan sekadar antara pakatan anti-Houthi dengan pemberontak yang disokong Iran, bahkan antara dua sekutu rapat Amerika Syarikat sendiri.
Kejadian kemuncak berlaku pada penghujung 2025 apabila Arab Saudi melancar serangan udara ke atas satu penghantaran yang didakwa membawa senjata dari UAE kepada sekutu mereka di Yaman.
Walaupun Abu Dhabi menafikan dakwaan tersebut, UAE tetap mematuhi ketetapan 24 jam untuk menarik balik pasukannya dari selatan Yaman, sekali gus menandakan betapa seriusnya krisis itu.
Sejak 2015, Arab Saudi dan UAE mengetuai pakatan ketenteraan untuk menghalang pengambilalihan Yaman oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Namun, sedekad kemudian, hubungan yang dahulunya rapat antara Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dengan Presiden UAE, Encik Mohammed bin Zayed Al-Nahyan kian retak.
Ia dipisahkan oleh perbezaan visi strategik dan persaingan pengaruh serantau.
Walaupun Houthi belum ditewaskan sepenuhnya, pakatan yang dibentuk untuk menentang mereka kini berada di ambang perpecahan.
Riyadh menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa melalui Majlis Kepimpinan Presiden (PLC), satu gabungan longgar yang turut merangkumi parti Islah.
UAE pula menyokong Majlis Peralihan Selatan (STC), sebuah kumpulan dalam PLC tetapi mempunyai agenda pemisahan yang jelas.
STC bercita-cita untuk menghidupkan semula negara Yaman Selatan yang berasingan, satu aspirasi yang bertentangan dengan kepentingan Saudi.
Walaupun UAE menarik balik pasukan “antikeganasan” dari selatan Yaman pada awal 2026, penganalisis percaya Abu Dhabi masih akan menggunakan pengaruh ekonomi dan sokongan tidak langsung untuk mengekalkan kedudukannya di zon pantai strategik itu.
“Dalam realiti, pengunduran ketenteraan tidak bermakna pengunduran pengaruh,” ujar pengasas firma analisis risiko, Laporan Basha, Encik Mohammed Al-Basha.
“UAE masih mempunyai alat kewangan, politik dan keselamatan untuk terus membentuk landskap selatan Yaman.”
Krisis terkini tercetus selepas STC melancarkan gerakan pantas pada awal Disember, merampas sebahagian wilayah kaya sumber di Hadramout dan Al Mahra.
Dua wilayah timur itu bukan sahaja strategik dari segi ekonomi, malah berkongsi sempadan dengan Arab Saudi dan Oman.
“Elit Saudi berpendapat Hadramout dan Al Mahra tidak boleh menjadi sebahagian daripada entiti Yaman Selatan yang berasingan kerana implikasi keselamatan sempadan,” jelas Presiden Kolej Girton, Universiti Cambridge, dan sarjana berpengalaman dalam kajian Yaman, Dr Elisabeth Kendall.
Al Mahra juga bersempadan dengan Oman, sebuah negara Teluk yang berkecuali dan berusaha mengelakkan konflik Yaman merebak ke wilayah Dhofar.
“Tiada sesiapa mahu sebuah negara atau wilayah yang dipengaruhi UAE muncul di sempadan mereka,” tambah Dr Kendall.
Di dalam Yaman sendiri, sokongan terhadap STC tidak seragam.
“STC menguasai sebahagian besar selatan, tetapi mereka tidak mempunyai sokongan kukuh di timur,” kata Encik Mohammed Al-Basha.
Kekurangan kesepaduan itu melemahkan keupayaan mereka untuk mentadbir selatan secara menyeluruh.
Ironinya, pertembungan antara sekutu anti-Houthi itu hanya menguntungkan dua aktor utama lain: Houthi dan al Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap).
“Houthi sedang duduk memerhati pakatan anti-Houthi saling bertelagah. Dan al Qaeda pula berkembang subur di mana-mana ruang kekosongan kuasa,” kata Encik Mohammed Al-Basha.
Kebimbangan bahawa Arab Saudi mungkin mencapai perjanjian damai dengan Houthi menjadi salah satu faktor utama yang mendorong STC bergerak ke timur, bagi memastikan mereka tidak dipinggirkan dalam sebarang penyelesaian politik masa depan.
Walaupun pertukaran tahanan pada 2025 memberi sedikit harapan kepada rundingan damai, jangkaan terhadap kestabilan jangka panjang kekal rendah.
“Perjanjian damai mungkin ditandatangani, tetapi pelaksanaannya di lapangan adalah persoalan besar. Masalah sebenar Yaman mungkin bermula selepas perjanjian damai,” ujar Encik Mohammed Al-Basha.
Di luar Yaman, kepentingan strategik UAE di kawasan Laut Merah dan Teluk Aden semakin jelas.
Kawasan itu merangkumi laluan perdagangan utama peringkat sejagat, termasuk Selat Bab el-Mandeb, pintu masuk kapal tangki minyak ke Terusan Suez.
Pulau Perim dan kepulauan Socotra, yang terletak di laluan itu, menjadi aset strategik bernilai tinggi.
Laporan penyiasatan dan imej satelit menunjukkan pembinaan landasan udara dan pangkalan keselamatan yang dikaitkan dengan UAE di kawasan itu.
“Elit UAE melihat lokasi maritim ini sebagai kunci geopolitik. Pengaruh di situ bermakna pengaruh ke atas perdagangan sejagat,” kata Dr Kendall
Hubungan rapat UAE dengan Israel melalui Perjanjian Abraham turut memberi dimensi baru kepada konflik tersebut.
Kenyataan pemimpin STC, Encik Aidarous Al-Zubaidi, bahawa mereka mungkin menyertai Perjanjian Abraham jika Yaman Selatan merdeka, menambah kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan dan mengukuhkan naratif Houthi sebagai pembela Palestin.
Punca utama pertembungan itu terletak pada perbezaan falsafah dasar luar.
Arab Saudi di bawah Putera Mohammed bin Salman kini lebih menumpukan kepada kestabilan serantau bagi menyokong agenda ekonomi domestik seperti Wawasan 2030.
Sebaliknya, UAE dilihat semakin agresif dalam memperluaskan pengaruhnya, termasuk di Afrika dan Laut Merah.
“UAE beroperasi berasaskan realpolitik dan tidak keberatan bekerjasama dengan kumpulan pemisah atau minoriti. Saudi pula menentang pendekatan ini,” tambah Encik Mohammed Al-Basha.
Pengarah Projek Teluk dan Semenanjung Arab di Kumpulan Krisis Antarabangsa Crisis Group, Cik Yasmine Farouk, berkata:
“Tiada sesiapa di Teluk mahukan satu lagi krisis Teluk. Semua pihak berkepentingan untuk membendungnya, tetapi perbezaan asas masih wujud.”
Dengan pengaruh besar kedua-dua negara sebagai pengeksport tenaga utama dan pemain diplomatik sejagat, perpecahan itu berpotensi menjejas pasaran, pelaburan dan rundingan antarabangsa.
Bagi Washington, krisis itu menimbulkan dilema besar, memandangkan Arab Saudi dan UAE merupakan rakan strategik utama Amerika.
Sehingga perbezaan mendasar antara Riyadh dengan Abu Dhabi diselesaikan, Yaman kekal sebagai papan catur geopolitik yang berbahaya.
Bagi rakyat Yaman, 2026 tidak membawa banyak harapan, hanya kesinambungan penderitaan akibat konflik yang terus dieksploitasi pihak kuasa luar.
Seperti yang dirumuskan oleh penganalisis Encik Bader Al-Saif, dari Universiti Kuwait, yang berkata:
“Perbezaan pandangan dunia dan personaliti yang kuat menjadikan pertembungan ini hampir tidak dapat dielakkan.
“Persoalannya kini bukan sama ada krisis akan berulang, tetapi bila.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg