Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Delegasi Hamas, Fatah bincang fasa kedua gencatan senjata di Kahirah

Oct 24, 2025 | 11:16 AM
Jalan Al-Rashid, perang gaza
Gambar udara ini menunjukkan orang ramai dan kenderaan bergerak di sepanjang Jalan Al-Rashid berhampiran bangunan yang musnah di Bandar Gaza pada 23 Oktober. Gencatan senjata rapuh telah memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza yang letih selepas dua tahun peperangan. Namun walaupun tanpa pengeboman harian, mereka masih bergelut untuk meneruskan hidup di tengah kemusnahan besar yang ditinggalkan ekoran perang. - Foto AFP

KAHIRAH: Delegasi Hamas dan saingan lamanya, Fatah, mengadakan pertemuan di Kahirah pada 23 Oktober untuk membincangkan fasa kedua pelan gencatan senjata di Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Demikian menurut sumber yang dipetik agensi berita AFP.

Sumber yang enggan dikenali itu berkata perbincangan tertumpu pada keadaan semasa dan isu berkaitan pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut.

“Mesyuarat ini membincangkan keadaan semasa serta perkara berkaitan pelaksanaan fasa kedua pelan gencatan senjata yang dicadangkan di Gaza,” katanya.

Menurut beliau lagi, kedua-dua pihak bersetuju meneruskan rundingan dalam tempoh mendatang serta berusaha menyusun semula barisan dalaman Palestin bagi menghadapi cabaran yang ditimbulkan pemerintah Israel.

Saluran berita milik pemerintah Mesir, Al-Qahera News, melaporkan pertemuan itu turut menyentuh isu politik nasional serta persiapan selepas tamat perang di Gaza.

Mesir, yang berperanan lama sebagai pengantara dalam konflik Israel-Palestin, menganjurkan rundingan itu sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk membina kesepakatan terhadap pelan gencatan senjata jangka panjang yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Ketua perisikan Mesir, Encik Hassan Rashad, turut mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan beberapa kumpulan utama Palestin, termasuk Jihad Islam, Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) – kedua-duanya sebahagian daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Menurut laporan Al-Jazeera, pertemuan di Kahirah dihadiri oleh delegasi Hamas yang diketuai Encik Khalil al-Hayya serta wakil Fatah yang diketuai Encik Hussein al-Sheikh dan Encik Majed Faraj.

Rundingan itu turut diadakan susulan pertemuan terdahulu antara Sheikh dan Encik Faraj dengan ketua perisikan Mesir, Encik Hassan.

Mereka berbincang mengenai masa depan pentadbiran Palestin selepas perang Gaza tamat.

Al-Qahera News melaporkan rundingan itu adalah sebahagian daripada usaha Mesir “mewujudkan persetujuan bersama nasional Palestin berhubung pelaksanaan pelan gencatan senjata Presiden Amerika di Gaza”.

Pertemuan di Kahirah berlangsung ketika Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, melawat Israel pada 23 Oktober sebagai sebahagian daripada misi Washington mengukuhkan gencatan senjata yang masih rapuh.

Di bawah pelan damai 20 perkara Encik Trump, pasukan keselamatan antarabangsa yang terdiri daripada sekutu Arab dan Islam akan dikerah ke Gaza bagi menstabilkan wilayah itu selepas pengunduran tentera Israel.

Sebuah pihak berkuasa peralihan akan mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Hamas.

Sumber Al-Jazeera melaporkan Kahirah turut dijangka menjadi tuan rumah rundingan lebih besar yang menghimpunkan pelbagai kumpulan Palestin untuk mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan fasa kedua pelan gencatan senjata.

Antara kumpulan yang dijangka hadir termasuk Hamas, Jihad Islam, Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin, Barisan Demokratik, Inisiatif Nasional, serta kumpulan Reformasi Demokratik pimpinan Encik Mohammed Dahlan.

Bagaimanapun, Fatah dilaporkan tidak akan menyertai mesyuarat kumpulan besar itu, sebaliknya akan terus mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak perisikan Mesir.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Hamas dengan Israel mula berkuat kuasa pada 10 Oktober di bawah pelan yang dicadangkan oleh Encik Trump – pelan yang dilihat banyak pihak sebagai usaha Washington untuk menamatkan konflik berdarah dua tahun di Gaza.

Fasa kedua pelan itu dikatakan melibatkan penempatan pasukan keamanan antarabangsa di Gaza, pengunduran penuh tentera Israel, pelucutan senjata Hamas, serta pembentukan badan pentadbiran sementara dikenali sebagai “Majlis Keamanan” di bawah pengawasan antarabangsa.

Namun, semua kumpulan Palestin menolak sebarang bentuk “penjagaan antarabangsa” yang dianggap menjejas kedaulatan mereka.

“Tiada pihak Palestin harus bersetuju dengan idea ini,” kata seorang pegawai kanan Hamas yang dipetik oleh Al-Jazeera.

“Apa jua bentuk campur tangan asing mesti bersifat Arab dan terhad di kawasan sempadan, bukan di tengah wilayah Palestin,” tambah beliau.

Berhubung isu pelucutan senjata, wakil pelbagai kumpulan menegaskan keputusan itu mesti dibuat secara bersama dan nasional.

“Persenjataan adalah sebahagian daripada hak mempertahankan diri rakyat Palestin, dan perkara ini tidak boleh dibincangkan pada peringkat sensitif ini,” ujar seorang wakil Jihad Islam. – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg