GAZA: Apabila bunyi letupan perlahan-lahan lenyap dan langit Gaza tidak lagi diselubungi asap perang, persoalan yang kini menggema di dunia Arab dan masyarakat antarabangsa ialah, apakah masa depan Gaza selepas dua tahun tragedi berdarah yang mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memusnahkan hampir seluruh wilayahnya?
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persatuan Cendekiawan Genosid Antarabangsa menyifatkan tindakan Israel sebagai genosid, dengan 90 peratus bangunan di Gaza dimusnahkan termasuk hospital, universiti dan kawasan kediaman.
Lebih 67,000 orang terbunuh dan 169,000 cedera, manakala ribuan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan.
“Saya hanya mahu pertumpahan darah ini berakhir,” kata Encik Abu Mandeel, 41 tahun, kepada Al Jazeera sambil mendukung anak bongsunya.
Suaranya menggambarkan keletihan dan ketakutan yang menjerut seluruh Gaza.
Rakyat Gaza kini menggantungkan harapan pada pelan damai antara Hamas dengan Israel di Kahirah, Mesir, di bawah inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dikatakan memberi tekanan lebih kuat ke atas Israel berbanding sebelum ini.
Namun, biarpun gencatan senjata berkekalan tercapai, cabaran utama adalah membina semula wilayah yang hancur.
Menurut anggaran PBB, lebih AS$50 bilion ($65 bilion) diperlukan bagi membangunkan semula Gaza, dengan tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun untuk menjadikannya layak didiami.
Pakar dari Gaza yang kini berkhidmat di Doha bersama International Crisis Group, Encik Azmi Keshawi, menegaskan pembinaan semula memerlukan tekanan antarabangsa yang tekal terhadap Israel supaya membenarkan kemasukan bahan binaan.
“Rakyat Palestin sanggup berkorban untuk mendapatkan semula kehidupan mereka,” katanya.
“Tetapi semangat sahaja tidak cukup. Ia tidak bergantung hanya kepada kehendak mereka, tetapi juga kepada dunia yang mesti membuka ruang untuk Gaza bangkit semula.”
Dalam pelan Encik Trump, Hamas perlu menyerahkan kuasa pentadbiran namun perkara itu menimbulkan persoalan besar – siapakah akan mengisi kekosongan itu?
Wartawan di Gaza, Encik Yaser al-Banna, menjelaskan bahawa walaupun Hamas sering dikecam, mereka masih mengekalkan struktur keselamatan asas di wilayah itu.
“Salah satu kelebihan Hamas ialah mereka mampu mengekalkan keamanan dalaman,” katanya.
Sepanjang perang, Israel telah menyasarkan pasukan keselamatan Gaza dan menggalakkan kewujudan kumpulan jenayah terancang yang mencuri dan menjual semula bantuan kemanusiaan.
Encik Keshawi berpendapat kumpulan sebegitu tidak akan kekal lama seandainya Israel berundur sepenuhnya.
Namun, beliau memberi amaran tentang kemungkinan perbalahan antara Hamas dengan Fatah yang mengawal Tebing Barat melalui Penguasa Palestin (PA).
“Jika Israel membenarkan beberapa tokoh Fatah yang diasingkan kembali ke Gaza, mereka mungkin akan membalas dendam terhadap penyokong Hamas,” katanya kepada Al Jazeera.
Selain kehilangan fizikal, trauma psikologi menjadi parut paling mendalam.
Dua tahun peperangan tanpa henti telah meninggalkan luka yang mungkin mengambil masa sepanjang generasi untuk pulih.
Kajian Save the Children, sebelum genosid bermula, mendapati empat daripada lima kanak-kanak Gaza sudah mengalami kemurungan, kesedihan dan ketakutan.
Kini, keadaan mereka jauh lebih parah.
Pakar Psikiatri Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Dr Ahmad Mahmoud al-Salem, yang merawat kanak-kanak Gaza di Amman, mendapati mereka dilanda mimpi ngeri dan insomnia.
“Trauma mereka belum berakhir kerana perang ini belum berakhir dalam diri mereka,” kata Pensyarah Kanan di Institut Psikiatri London, Dr Derek Summerfield.
“Masa depan mereka bergantung pada sama ada masyarakat di sekeliling mereka dapat dibina semula.
“Tapi seluruh masyarakat mereka kini musnah, inilah makna sebenar genosid.”
Encik Mandeel pula hanya mahu memberikan harapan kepada anak-anaknya.
Sebagai guru geografi, beliau kini mengajar anak-anaknya di rumah setelah sekolah musnah.
“Saya hanya mahu masa depan mereka lebih baik daripada kami,” katanya perlahan.
“Saya takut setiap kali dengar bunyi pesawat. Saya harap suatu hari nanti, saya dapat keluar dari Gaza bersama anak-anak.”
Walaupun penderitaan belum berakhir, Gaza kini menjadi lambang kesedaran sejagat.
Pengiktirafan terhadap negara Palestin oleh beberapa negara Eropah, tunjuk perasaan besar-besaran di ibu kota Barat, dan tekanan terhadap Israel menandakan perubahan besar dalam wacana antarabangsa.
“Israel telah banyak kehilangan kewibawaannya di mata dunia,” kata Encik Yousef al-Jamal, penulis dari Gaza yang juga Penyelaras Jawatankuasa Khidmat Rakan Amerika kepada akhbar berbahasa Inggeris, The New Arab.
Namun, beliau mengingatkan bahawa perubahan itu tidak boleh dianggap kekal.
“Apabila bunyi bedilan senjata berhenti, banyak pemerintah yang enggan mengutuk Israel akan kembali memeluknya seperti dulu,” ujar beliau.
Pandangan itu disokong ahli politik Palestin, Encik Mustafa al-Barghouti, yang menyatakan bahawa gelombang perpaduan sejagat terhadap Palestin kini melebihi perjuangan antiaparteid di Afrika Selatan.
“Di Afrika Selatan, mereka tidak pernah mencapai tahap sokongan sebegini,” katanya.
“Kini, setiap minggu, ratusan ribu turun ke jalan di serata dunia, termasuk 200,000 orang di Belanda sebelum ini.”
Walaupun lebih 90 peratus rumah di Gaza musnah, semangat rakyatnya masih teguh.
Ibu muda yang kehilangan hampir seluruh keluarganya, Cik Nada, berkata kepada The New Arab:
“Kenapa saya perlu meninggalkan tanah air saya? Saya mahu tetap di sini.”
Mantan Diplomat Kanan Palestin, Encik Xavier Abu Eid, menegaskan bahawa sejarah membuktikan rakyat Palestin mampu bangkit.
“Kita pernah melalui Nakba (pengusiran besar-besaran rakyat Palestin) tetapi kami bangkit semula membina pergerakan nasional dan ekonomi,” katanya.
“Pembinaan semula Gaza mungkin sukar, tetapi bukan mustahil jika dunia mengiktiraf kedaulatan Palestin dan menghentikan jenayah Israel.”
Bagi Encik Abu Eid, keadilan mesti menjadi asas bagi sebarang rundingan.
“Tiada bangsa yang boleh sembuh tanpa keadilan,” tegasnya.
“Kebebasan dan keadilan perlu menjadi formula utama dalam proses politik Palestin.”
Gaza hari ini berdiri di persimpangan antara kehancuran dengan kebangkitan.
Di satu sisi, ia membawa luka genosid yang mengorbankan puluhan ribu nyawa; di sisi lain, ia menjadi lambang ketabahan dan harapan sejagat.
Seperti yang disuarakan oleh Encik Mandeel, yang masih mengajar anak-anaknya di tengah runtuhan:
“Saya hanya mahu anak-anak saya hidup dalam dunia yang tidak perlu takut untuk tidur. Itu saja masa depan yang saya impikan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg