Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua NGO Israel tuduh negara itu lakukan genosid di Gaza

Jul 29, 2025 | 4:31 PM
Penduduk Palestin berkumpul untuk menerima makanan daripada dapur amal di tengah-tengah krisis kebuluran, di bandar Gaza, 28 Julai 2025
Penduduk Palestin berkumpul untuk menerima makanan daripada dapur amal di tengah-tengah krisis kebuluran, di bandar Gaza, 28 Julai 2025 - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Dua organisasi hak asasi manusia terkemuka Israel, B’Tselem dan Physicians for Human Rights Israel (PHRI), mendakwa Israel melakukan genosid terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Dakwaan keras ini adalah kali pertama datang daripada kumpulan hak asasi utama di Israel sendiri, yang disifatkan pemerintah Israel sebagai tidak berasas.

Pengarah Eksekutif B’Tselem, Encik Yuli Novak berkata: “Laporan yang kami keluarkan hari ini (29 Julai) adalah sesuatu yang tidak pernah kami bayangkan akan kami tulis. Namun, hakikat yang berlaku di Gaza telah memaksa kami untuk mengakui kebenaran ini.”

Laporan bertajuk “Our Genocide” oleh B’Tselem menyenaraikan pembunuhan puluhan ribu penduduk Palestin, kemusnahan besar-besaran kawasan bandar, perpindahan hampir keseluruhan penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta orang, serta sekatan ke atas makanan dan bekalan asas.

B’Tselem menegaskan: “Kesemua tindakan ini adalah operasi bersepadu untuk memusnahkan masyarakat Palestin di Gaza. Dengan kata lain: Israel sedang melakukan genosid terhadap penduduk Palestin di Gaza.”

PHRI pula menumpukan kepada kehancuran sistem kesihatan di Gaza. Dalam laporan mereka, PHRI menyatakan: “Tindakan Israel telah memusnahkan infrastruktur kesihatan Gaza secara terancang dan sistematik.”

Pemerintah Israel menolak tuduhan tersebut. Jurucakap pemerintah, Encik David Mencer menegaskan: “Tuduhan ini tidak berasas. Jika benar Israel berniat untuk memusnahkan penduduk Palestin di Gaza, kami tidak akan menghantar hampir dua juta tan bantuan, kebanyakannya makanan, ke wilayah itu.”

Tentera Israel pula menegaskan bahawa operasi mereka mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengambil langkah untuk meminimumkan korban awam, sambil menuduh Hamas menggunakan orang awam sebagai “perisai manusia”.

Perbahasan sama ada perang di Gaza memenuhi definisi genosid turut dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan. Wakil Israel di ICJ, Tal Becker, pernah menegaskan: Apa yang Israel lakukan di Gaza bukan untuk memusnahkan sesebuah bangsa, tetapi untuk melindungi rakyatnya yang diserang di pelbagai sudut.”

Definisi genosid menurut Konvensyen Genosid 1948 adalah tindakan dengan niat untuk memusnahkan secara keseluruhan atau sebahagian sesuatu kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama. Tuduhan ini amat sensitif bagi Israel kerana negara itu ditubuhkan selepas percubaan Nazi membasmi Yahudi Eropah semasa Holocaust.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah meragut hampir 60,000 nyawa, kebanyakannya orang awam, serta memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza. Serangan itu bermula selepas pejuang Hamas menyerang komuniti Israel, membunuh 1,200 orang dan membawa 251 tebusan ke Gaza, serangan yang digambarkan Israel sebagai “genosid terhadap Yahudi.”

Seorang guru berusia 48 tahun di Baitulmaqdis, Cik Carmella, yang nenek dan datuknya terselamat daripada Holocaust berkata: “Sukar untuk saya, sebagai seorang Yahudi, melihat penderitaan di Gaza tanpa merasa simpati dan ngeri. Ia menyakitkan hati.”

Liputan media Israel kebanyakannya tertumpu kepada nasib tebusan, manakala imej penderitaan di Gaza jarang dipaparkan. Namun, menurut Encik Oren Persico dari kumpulan pemantau media The Seventh Eye, trend ini mula berubah.

“Imej kanak-kanak kebuluran mula memberi sedikit kesan. Tetapi saya tidak jangka tuduhan genosid akan mengubah persepsi secara besar-besaran,” katanya.

Dalam editorial di Jerusalem Post, Encik Dani Dayan, pengerusi Yad Vashem berkata: “Menuduh Israel melakukan genosid adalah tidak tepat. Namun, kita tidak boleh menafikan penderitaan orang awam di Gaza. Kesengsaraan mereka nyata dan kita wajib mengakui realiti ini.”

Encik Yuli Novak menegaskan bahawa laporan mereka tidak bertujuan menafikan serangan Hamas, tetapi untuk menyorot tindakan balas Israel yang telah memusnahkan kehidupan Palestin di Gaza.

“Beberapa bulan terakhir menunjukkan realiti yang memaksa kami mengakui kebenaran ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg