Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, AS tarik diri runding gencatan senjata dengan Hamas

Jul 25, 2025 | 10:53 AM
Deir al-Balah, gaza
Penduduk Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat pengeboman tentera Israel di Deir al-Balah, tengah Gaza, pada 23 Julai. - Foto REUTERS

WASHINGTON/BAITULMAKDIS: Pemerintah Israel dan utusan Timur Tengah Presiden Donald Trump berkata mereka telah menarik balik pasukan yang telah berunding mengenai gencatan senjata Gaza dengan Hamas.

Ini sekali gus mungkin menjejas harapan untuk kepulangan beberapa tebusan Israel terakhir yang masih hidup dan bantuan bagi rakyat Palestin yang terkepung.

Utusan khas Presiden Trump, Encik Steve Witkoff, berkata dalam satu kenyataan pada 24 Julai bahawa respons terbaru terhadap tawaran perjanjian daripada kepimpinan Hamas menunjukkan “mereka kurang keinginan untuk mencapai gencatan senjata di Gaza”.

Beliau menambah bahawa “kami kini akan mempertimbangkan pilihan alternatif untuk membawa pulang tebusan dan cuba mewujudkan persekitaran yang lebih stabil untuk penduduk Gaza,” tanpa menjelas butiran alternatif tersebut.

Tetapi pegawai Israel menyatakan penarikan perunding itu tidak bermakna rundingan itu ditamatkan.

Di Baitulmakdis, tiga pegawai yang mengetahui tentang rundingan itu berkata bahawa tiada masalah yang berlaku dan delegasi itu kembali bagi membincangkan butiran sebelum perbincangan lanjut.

Hamas, dalam satu kenyataan dengan perkataan yang samar-samar, berkata ia telah “menyerahkan maklum balas terakhirnya selepas berunding secara meluas dengan puak, pengantara dan negara sahabat Palestin” dan telah “bertindak balas secara positif”.

Namun, ia berkata pihaknya “terkejut” dengan kenyataan Encik Witkoff dan berkata ia sedang berusaha ke arah mencapai , perjanjian gencatan senjata kekal”.

Pelbagai kenyataan bercanggah itu menjelaskan bahawa rundingan mungkin mengambil masa agak lama sebelum gencatan senjata boleh dipersetujui oleh Israel dan Hamas.

Beberapa minggu lalu, Encik Trump menyatakan peluang perjanjian untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari hanya tinggal beberapa hari lagi.

Ia merupakan rundingan damai antarabangsa kedua yang menghadapi komplikasi bagi Encik Trump – sama seperti ramalannya sebelum ini bahawa gencatan senjata antara Russia dengan Ukraine boleh dicapai dalam masa 24 jam.

Dalam perbincangan mengenai Gaza, isu-isu tertumpu kepada kawasan di mana tentera Israel akan ditempatkan semula dan syarat pertukaran tahanan.

Pada pagi 24 Julai, Hamas membalas cadangan gencatan senjata terbaru Israel dengan menyatakan pihaknya menerima garis besar perjanjian itu.

Tetapi seperti yang sering berlaku, Hamas membangkitkan beberapa tuntutan – terutamanya mengehadkan penempatan semula tentera Israel di sepanjang sempadan dan merundingkan semula formula bilangan tawanan Palestin yang akan dibebaskan Israel sebagai pertukaran tebusan, menurut pegawai Israel dan Hamas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg