BANDAR GAZA: Israel mengumumkan rancangan untuk “mengambil alih sepenuhnya” kawasan Jaluran Gaza ketika serangan ketenteraan dipertingkat di seluruh wilayah yang sedang berdepan krisis kemanusiaan.
Buat kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan, bantuan mula dibenarkan masuk selepas sekatan penuh oleh Israel dilonggarkan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dua juta penduduk Gaza kini “berada dalam kelaparan yang teruk” selepas Israel menyekat sepenuhnya penghantaran bekalan sejak 2 Mac lalu.
Dalam usaha menangani kritikan global yang kian memuncak, Israel membenarkan kemasukan bantuan terhad dan mengesahkan lima buah trak membawa bekalan termasuk makanan bayi telah memasuki Gaza pada 19 Mei.
Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, berkata sembilan trak telah diberi kelulusan untuk memasuki Gaza, namun menyifatkannya sebagai “setitis dalam lautan berbanding keperluan sebenar”.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, pula menjelaskan bantuan tersebut belum dapat diagihkan kerana waktu yang sudah gelap dan faktor keselamatan.
“Tiada bantuan yang dapat diambil setakat ini,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata langkah menyambung semula bantuan dibuat bagi mengelakkan imej kelaparan besar-besaran yang boleh menjejaskan legitimasi serangan ketenteraan Israel.
Pemimpin Britain, Perancis dan Canada turut mengkritik keras tindakan Israel di Gaza, khususnya perluasan serangan dan bantuan yang tidak mencukupi. Mereka memberi amaran bahawa tindakan konkrit akan diambil sekiranya Israel tidak menghentikan serangan. Encik Netanyahu membalas kenyataan bersama itu dengan menyifatkannya sebagai “hadiah besar kepada Hamas”.
Dalam kenyataan bersama, 22 negara termasuk Perancis, Britain, Canada, Jepun dan Australia menyatakan bahawa penduduk Gaza kini “berdepan kebuluran” dan “perlu menerima bantuan yang sangat mereka perlukan”.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, sekurang-kurangnya 91 orang terbunuh dalam serangan Israel pada 19 Mei.
Di selatan Gaza, tentera Israel mengarahkan penduduk sekitar bandar Khan Yunis supaya berpindah sebelum serangan besar-besaran yang digambarkan sebagai “belum pernah berlaku”.
Dalam rakaman video di Telegram, Encik Netanyahu berkata: “Pertempuran sangat sengit dan kami sedang membuat kemajuan... Kami akan mengambil alih seluruh wilayah Gaza.”
Tentera Israel menyatakan bahawa mereka telah menyerang “160 sasaran pengganas” dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) mengecam tindakan Israel dan menyifatkannya sebagai “mencabar undang-undang antarabangsa dan bersamaan dengan pembersihan etnik.”
Encik Netanyahu mempertahankan tindakan Israel dengan berkata: “Kami tidak akan menyerah kalah. Tetapi untuk berjaya, kami perlu bertindak dengan cara yang tidak dapat dihentikan.”
Israel sebelum ini berkata bahawa sekatan dikenakan bertujuan memaksa Hamas membuat konsesi, namun agensi PBB menyatakan terdapat kekurangan kritikal makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan di Gaza.
Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata: “Bertan-tan makanan terhalang di sempadan, hanya beberapa minit dari kawasan yang memerlukannya... Risiko kebuluran semakin meningkat akibat penahanan bantuan secara disengajakan.”
Terdahulu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang merupakan sekutu utama Encik Netanyahu, mengakui bahawa “ramai orang sedang kelaparan” di Gaza.
Namun, Menteri Keselamatan Israel, Encik Itamar Ben Gvir, membantah sebarang bantuan.
Beliau menulis di platform X: “Tebusan kami tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan.”
Sebaliknya, Menteri Kewangan Encik Bezalel Smotrich mempertahankan langkah itu dengan berkata bahawa bantuan dapat “membolehkan orang awam makan dan membolehkan sekutu antarabangsa terus memberi perlindungan diplomatik”.
Seorang penduduk Khan Yunis, Encik Mohammed Sarhan, berkata bandar di selatan Gaza itu kini “seperti kiamat”.
Katanya: “Tembakan datang dari setiap arah, api menjulang, jet pejuang F-16 dan helikopter mengebom dari udara.”
Jurucakap tentera Israel, Encik Avichay Adraee, menyeru penduduk Khan Yunis dan kawasan sekitarnya agar “segera” meninggalkan zon pertempuran yang berbahaya.
Rakaman AFPTV dari Hospital Nasser, Khan Yunis, menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki sedang dirawat dalam keadaan lemah, manakala dua lagi kanak-kanak berdarah dan tanpa kasut duduk di atas lantai.
Di utara Gaza, di Deir el-Balah, Ayman Badwan meratapi kematian abangnya akibat serangan udara.
“Kami sudah letih dan kehabisan tenaga, kami tidak mampu bertahan lagi,” katanya kepada AFP.
Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas selatan Israel telah mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut data rasmi yang dikumpul AFP. Hamas juga telah menawan 251 tebusan, di mana 57 masih berada di Gaza termasuk 34 yang disahkan telah meninggal dunia.
Kementerian Kesihatan Gaza pula mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 3,340 orang terbunuh sejak Israel menyambung semula serangan pada 18 Mac, menjadikan jumlah korban perang kini mencecah 53,486 orang.
Sementara itu, rundingan damai diteruskan di Doha.
Encik Netanyahu memberi isyarat bahawa Israel terbuka kepada perjanjian yang termasuk “penghentian pertempuran”, pembebasan semua tebusan, pengasingan pemimpin Hamas ke luar negara dan perlucutan senjata Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg