Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel perluas serangan di Gaza, lebih 130 terbunuh

May 19, 2025 | 4:24 PM
Seorang askar Israel sedang membedil meriam kereta kebal berhampiran sempadan Gaza di selatan Israel, pada 19 Mei. Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah mengumumkan pelancaran operasi berskala besar di Jaluran Gaza yang dinamakan, ‘Gideon’s Chariots’, bertujuan memberi tekanan kepada Hamas supaya membebaskan baki 58 tebusan Israel yang masih ditahan.
Seorang askar Israel sedang membedil meriam kereta kebal berhampiran sempadan Gaza di selatan Israel, pada 19 Mei. Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah mengumumkan pelancaran operasi berskala besar di Jaluran Gaza yang dinamakan, ‘Gideon’s Chariots’, bertujuan memberi tekanan kepada Hamas supaya membebaskan baki 58 tebusan Israel yang masih ditahan. - Foto EPA-EFE

GAZA: Tentera Israel telah melancarkan satu operasi darat berskala besar di Jaluran Gaza bermula lewat 18 Mei, serentak dengan serangan udara intensif yang menurut pegawai kesihatan Palestin telah meragut sekurang-kurangnya 130 nyawa dalam tempoh semalaman.

Serangan tersebut turut memaksa penutupan hospital terakhir yang masih beroperasi di bahagian utara Gaza, menandakan kemerosotan mendadak dalam krisis kemanusiaan yang sedang melanda wilayah tersebut.

Serangan darat itu merupakan sebahagian daripada kempen ketenteraan baru yang dinamakan, ‘Gideon’s Chariots’, menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Jurucakap IDF, Encik Effie Defrin, menjelaskan bahawa operasi itu bertujuan memperluas kawalan operasi ke atas Gaza, termasuk memecahkan kawasan tertentu dan memindahkan penduduk atas alasan keselamatan.

“Kami akan memperluaskan kawalan taktikal di seluruh Gaza untuk mencapai matlamat perang, termasuk pembebasan tebusan dan penghapusan Hamas,” katanya.

Walaupun rundingan damai telah disambung semula di Doha antara perantara antarabangsa dengan Hamas, hasilnya masih tidak memberangsangkan.

Seorang pegawai kanan Israel dipetik sebagai berkata: “Jika Hamas bersedia berbincang mengenai pengakhiran perang melalui penyerahan diri, kami akan bersedia.”

Namun, Hamas jelas menolak kenyataan itu.

Seorang pemimpin kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, menafikan laporan awal bahawa kumpulannya bersedia melepaskan sembilan tebusan Israel sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama dua bulan.

“Kami bersedia membebaskan semua tahanan jika Israel komited menghentikan pencerobohan dengan jaminan antarabangsa.

“Tetapi kami tidak akan menyerahkan mana-mana tahanan jika pendudukan terus menyerang Gaza tanpa had,” katanya melalui saluran Telegram rasmi Hamas.

Kesan serangan semakin buruk apabila Hospital Shifa yang sebelum ini merupakan hospital terbesar di Gaza, menggesa pendermaan darah segera selepas menerima lebih 40 mayat dan puluhan mangsa cedera.

Tambahan pula, lebih 75 peratus ambulans di Gaza tidak lagi beroperasi akibat kekurangan bahan api.

“Jika bekalan bahan api tidak dibenarkan masuk, semua perkhidmatan kecemasan boleh lumpuh sepenuhnya dalam masa 72 jam,” kata Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.

Pejabat Perdana Menteri Israel turut mengumumkan sejumlah minimum bekalan makanan akan dibenarkan masuk ke Gaza, bagi mengelakkan kebuluran besar-besaran.

Pengumuman itu dibuat susulan tekanan antarabangsa, termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang melakukan lawatan ke Timur Tengah dari 13 Mei hingga 16 Mei.

Organisasi yang disokong Amerika, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), menyambut baik langkah itu sebagai “mekanisme peralihan” sehingga sistem agihan bantuan mereka dapat berfungsi sepenuhnya.

Pengarah eksekutif GHF, Encik Jake Wood, berkata: “Kami menjangka mekanisme baru termasuk empat tapak agihan selamat akan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung bulan ini (Mei).”

Namun, langkah itu mendapat kritikan keras daripada pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bimbang ia akan memaksa perpindahan penduduk secara tidak langsung dan menggalakkan dasar penyingkiran penduduk dari utara Gaza.

Penduduk Gaza, Encik Omar Qandil, yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudara berusia empat bulan dalam serangan malam, berkata:

“Mereka semua sedang tidur... disasarkan dalam bilik tidur mereka. Dunia seakan-akan tidak peduli – tiada reaksi dari negara Arab, umat Islam, atau sesiapa pun.”

Sementara itu, Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, mengesahkan lebih 300 kakitangannya telah terbunuh sejak Oktober 2023.

“Sebahagian besar daripada mereka adalah guru dan petugas kesihatan. Mereka dibunuh bersama anak-anak dan keluarga mereka,” tulisnya dalam hantaran di X.

Konflik itu telah mengorbankan lebih 53,300 rakyat Palestin majoritinya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober 2023.

Israel pula sedang menghadapi siasatan jenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg