RIYADH: Arab Saudi dilaporkan akan menguatkuasakan larangan penuh terhadap semua bentuk fotografi dan videografi di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah bagi musim Haji 2026.
Ini termasuk penggunaan telefon bimbit, kamera dan sebarang peranti rakaman.
Peraturan baru itu dilaporkan oleh Saudi Times dan disahkan menerusi beberapa kenyataan rasmi kerajaan.
Menurut laporan media pada 7 Disember, langkah tegas ini bertujuan melindungi privasi jemaah, memelihara kesucian suasana ibadah, serta melancarkan pergerakan jutaan jemaah yang memenuhi kawasan masjid sepanjang tempoh Haji.
“Larangan ini bukan sekadar peraturan teknikal, tetapi satu usaha untuk memastikan semua jemaah dapat beribadah dengan penuh khusyuk tanpa gangguan rakaman dan sesi berswafoto,” kata seorang pegawai Kementerian Haji yang dipetik oleh hajjreporters.com.
Larangan itu merangkumi semua ruang dalam dan luar kedua-dua masjid dan merupakan peluasan kepada garis panduan terdahulu yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji serta Direktorat Jeneral Akhbar dan Maklumat.
Pelanggaran peraturan boleh mengakibatkan rampasan peranti, denda, tindakan undang-undang, atau dalam kes serius, pengusiran, lapor Kashmir Life.
Arab Saudi sebelum ini memperkenalkan larangan mengambil gambar di kawasan suci pada 2017 apabila Kementerian Luar menegaskan bahawa kegiatan itu boleh mengganggu jemaah lain.
Pada 2024, peringatan serupa dikeluarkan agar jemaah “menghindari swafoto” kerana tingkah laku tersebut menghambat pergerakan dan menjejaskan keselamatan.
Pada Jun 2025, Kementerian Dalam Negeri turut memperluaskan larangan tersebut ke kawasan Haji seperti Mina, Arafat dan Muzdalifah, termasuk larangan membawa atau mengibarkan bendera politik serta melaungkan slogan-slogan yang berbaur politik atau sektarian.
“Haji adalah ibadah, bukan pentas politik. Menjaga kesatuan jemaah adalah keutamaan, dan segala bentuk simbol politik atau sektarian tidak akan diterima,” tegas kenyataan rasmi kementerian.
Pihak berkuasa menekankan bahawa rakaman video dan penghasilan kandungan media sosial seperti klip video pendek, atau reels, Instagram mengundang risiko kepada pengurusan kawalan orang ramai, khususnya ketika jutaan manusia bergerak serentak.
Laporan akhbar dalam talian, The Cable, pada Jun 2025 menyebut bahawa anggota keselamatan di lapangan akan “menguatkuasakan peraturan tanpa kompromi”, dan jemaah yang ingkar boleh dikenakan tindakan termasuk pengusiran atau deportasi.
“Kami memahami bahawa ramai jemaah mahu merakam kenangan, tetapi keselamatan dan kesucian tempat suci adalah lebih utama,” kata seorang pegawai keselamatan Haji kepada media antarabangsa pada 2025.
Larangan tersebut menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan jemaah yang merancang untuk merakam perjalanan ibadah mereka, namun ramai juga memahami rasional di sebalik langkah itu.
Seorang jemaah dari Asia Tenggara dipetik berkata:
“Memang terasa rugi tidak dapat merakam pengalaman di tanah suci, tetapi jika ini untuk menjaga keselesaan semua, kami harus akur.”
Kementerian Dalam Negeri sekali lagi menegaskan bahawa Haji adalah masa untuk “beribadah, merendah diri dan menyatu sebagai umat”.
Kementerian itu menambah, apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan nilai tersebut tidak akan dibenarkan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg