Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi siap awal musim haji 2026, lebih sejuta jemaah sudah didaftar

Sebagai sebahagian transformasi digital, semua urusan kewangan dan logistik kini dilakukan melalui platform Nusuk Masar
Nov 13, 2025 | 10:58 AM
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji kelima di Jeddah dari 9 hingga 12 Novembee, bertemakan “From Makkah to the World.” Program itu menampilkan lebih 80 sesi dan 60 bengkel khusus yang disertai oleh ahli akademik, penyelidik, serta wakil pejabat hal ehwal haji dan misi diplomatik dari pelbagai negara.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji kelima di Jeddah dari 9 hingga 12 Novembee, bertemakan “From Makkah to the World.” Program itu menampilkan lebih 80 sesi dan 60 bengkel khusus yang disertai oleh ahli akademik, penyelidik, serta wakil pejabat hal ehwal haji dan misi diplomatik dari pelbagai negara. - Foto SPA

JEDDAH: Arab Saudi kini berada di landasan kukuh untuk melaksanakan ibadah haji 2026 dengan lebih berkesan apabila lebih sejuta jemaah telah pun didaftarkan enam bulan lebih awal.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan bersejarah yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah satu pencapaian luar biasa dan bersejarah. Kami telah menandatangani kontrak haji dengan lebih daripada satu juta jemaah jauh lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya,” kata Dr Al-Rabiah dalam sidang media penutup Persidangan dan Pameran Haji ke-5 di Jeddah Superdome, pada 12 November.

Menurut beliau, kementeriannya telah memeterai perjanjian dengan 77 negara, manakala sektor swasta Arab Saudi pula menandatangani lebih 3,000 kontrak dengan pengendali haji dari seluruh dunia bagi musim haji 2026,  lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Persidangan kali ini menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk menteri, mufti dan ketua pejabat haji dari negara Islam.

Mereka membincangkan persiapan menjelang musim haji 1447 Hijrah serta menilai kemas kini dalam aspek pengurusan dan operasi perkhidmatan jemaah.

“Kami ingin memastikan setiap jemaah menerima pengalaman ibadah yang selamat, lancar dan tersusun. Penyertaan awal membantu kami meningkatkan mutu perkhidmatan serta koordinasi dengan semua pihak,” jelas beliau.

Dr Al-Rabiah turut memuji negara yang telah menyiapkan perjanjian masing-masing lebih awal, dan menyeru agar semua kontrak dimuktamadkan selewat-lewatnya 4 Januari 2026.

Beliau menegaskan bahawa penyertaan awal amat penting bagi memastikan semua jemaah mendapat perkhidmatan yang bermutu dan perjalanan yang teratur.

“Kami ingin memastikan setiap jemaah menjalani ibadah dengan penuh ketenangan dan keyakinan, daripada saat berlepas hingga mereka kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua penginapan di Makkah dan Madinah perlu dimuktamadkan sebelum 1 Februari 2026, manakala proses permohonan visa haji hendaklah diselesaikan sebelum 20 Mac 2026 tanpa sebarang lanjutan.

Langkah ini, katanya, bertujuan mengelakkan kelewatan pentadbiran yang boleh menjejas pergerakan jemaah.

Selain itu, setiap jemaah diwajibkan memperoleh sijil keupayaan kesihatan yang disahkan oleh ketua pejabat haji dan ketua pasukan perubatan melalui platform elektronik Masar, bagi memastikan hanya individu yang benar-benar sihat dibenarkan menunaikan ibadah.

Dr Al-Rabiah turut menekankan pentingnya kempen kesedaran awam bagi mengelakkan penipuan dan penglibatan dalam urusan haji tidak sah.

Semua pembayaran korban, katanya, mesti dilakukan secara rasmi melalui pejabat haji berdaftar dan Projek Hady dan Adahi Arab Saudi, sementara penggunaan kad Nusuk diwajibkan bagi kemasukan ke Masjidil Haram dan kawasan suci.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan, malah menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah,” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuh sistem pentadbiran, kementerian turut mewajibkan semua urusan kewangan dan logistik dilakukan secara digital melalui platform Nusuk Masar.

Transformasi digital, katanya, menjadi teras kepada sistem baru haji dan umrah, sekali gus mengubah cara kerajaan dan agensi antarabangsa berkoordinasi dalam skala besar, lapor Saudi Gazzette.

“Penggunaan teknologi canggih membolehkan kami memastikan perjalanan haji kekal lancar, spiritual dan selamat,” jelasnya. “Pendigitalan bukan sekadar kemudahan, ia satu keperluan untuk memastikan setiap detik jemaah di Tanah Suci menjadi pengalaman terbaik dalam hidup mereka.”

Antara inovasi yang diperkenalkan pada pameran 2025 ialah dron ‘Dron Sayap’ oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Pesawat tanpa pemandu itu dilengkapi kamera haba, sistem penglihatan malam dan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau laluan ke Makkah dan Madinah secara masa nyata.

Teknologi ini membantu pihak berkuasa membuat keputusan pantas dan memastikan pematuhan terhadap peraturan haji di lapangan.

Persidangan dan pameran tersebut mencatatkan lebih 160,000 pengunjung, meningkat 33 peratus berbanding tahun 2024, dengan penyertaan dari 150 negara.

Lebih 300 agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam perkhidmatan haji turut menyertai acara ini untuk memperkenalkan inovasi, kemudahan dan kempen kesedaran baru.

“Pertambahan penyertaan ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Arab Saudi sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji yang penuh inovasi dan profesionalisme,” kata Dr Al-Rabiah.

Salah satu penyertaan yang menarik perhatian ialah Yayasan Raja Abdulaziz untuk Penyelidikan dan Arkib (Darah) yang menampilkan koleksi sejarah haji.

“Penyertaan yayasan ini melambangkan komitmen kami untuk terus mendokumentasikan warisan Islam yang menjadi tunjang kepada identiti negara,” ujar beliau.

Dr Al-Rabiah menutup sidang media dengan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan persidangan itu, menyifatkannya sebagai “pencapaian luar biasa dalam semua aspek”.

Beliau turut mengumumkan bahawa Forum Umrah dan Ziarah akan diadakan di Madinah pada Januari 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperluas perkhidmatan kepada jemaah dan pelawat.

“Matlamat utama kami ialah memastikan perjalanan haji sentiasa selamat, mudah, dan penuh makna dari keberangkatan hingga kepulangan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg