KAHIRAH: Hamas mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan Palang Merah dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada tebusan Israel yang ditahan di Gaza, jika Israel menghentikan serangan udara dan membuka laluan kemanusiaan secara tetap.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas video menyayat hati yang menunjukkan seorang tebusan kurus kering telah mencetuskan kecaman hebat dari negara Barat.
“Hamas bersedia untuk menyelaras dengan Palang Merah, tetapi hanya jika Israel membuka laluan bantuan secara kekal dan menghentikan serangan udara ketika bantuan diagihkan,” menurut kenyataan kumpulan itu pada 3 Ogos.
Pada 3 Ogos, Hamas menyiarkan video kedua dalam tempoh dua hari, memaparkan tebusan Israel, Encik Evyatar David, yang kelihatan sangat kurus, dilihat sedang menggali lubang, kononnya untuk dijadikan kuburnya.
Video itu menimbulkan kejutan dalam kalangan rakyat Israel dan mencetuskan kecaman dari Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, menyifatkan rakaman itu sebagai “satu bentuk propaganda yang menjijikkan” dan menegaskan bahawa semua tebusan mesti dibebaskan tanpa syarat.
Palang Merah turut menyeru supaya diberi akses segera kepada semua tebusan.
Menurut pegawai Israel, hanya 20 daripada 50 tebusan yang dipercayai masih hidup.
Setakat ini, Hamas masih tidak membenarkan mana-mana agensi kemanusiaan, termasuk keluarga, untuk mengakses tebusan atau mendapatkan maklumat tentang keadaan mereka.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau telah menghubungi ketua delegasi tempatan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan memohon agar bantuan kemanusiaan diberikan kepada tebusan.
“Kami tidak akan berhenti sehingga semua tebusan kembali ke rumah mereka dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Forum Keluarga Tebusan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kenyataan Hamas tidak dapat menutup hakikat bahawa “mereka telah menahan orang awam dalam keadaan tidak berperikemanusiaan selama lebih 660 hari.”
Kenyataan itu menambah: “Selagi mereka belum dibebaskan, Hamas bertanggungjawab memastikan keselamatan dan keperluan mereka. Setiap kematian adalah tanggungjawab Hamas.”
Ketika kemarahan antarabangsa memuncak, Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, mengumumkan bahawa Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan sesi khas pada 6 Ogos bagi membincangkan nasib tebusan di Gaza.
“Majlis Keselamatan akan bersidang Selasa ini (5 Ogos) untuk satu sesi khas mengenai keadaan mendesak berkaitan tebusan di Gaza,” tulis Encik Danon di media sosial.
Keadaan tebusan di Gaza menjadi semakin hangat selepas kumpulan Jihad Islam Palestin turut menyiarkan rakaman, Encik Rom Braslavski, seorang lagi tebusan yang kelihatan amat kurus dan menangis dalam tahanan.
Dalam tempoh 24 jam lalu, enam lagi orang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di Gaza.
Jumlah keseluruhan kematian kini mencecah 175 orang sejak perang bermula, termasuk 93 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada 3 Ogos.
Bagi menangani krisis tersebut, dua trak membawa 107 tan diesel dari Mesir dijangka memasuki Gaza, lapor Al Qahera News.
Ia merupakan antara penghantaran pertama sejak Israel memperketat sekatan terhadap bahan api ke Gaza pada awal 2025.
Agensi Penyelaras Kegiatan Pemerintah di Wilayah (Cogat) Israel mengesahkan empat trak tangki bahan api PBB telah memasuki Gaza bagi menyokong operasi hospital, kedai roti, dapur awam dan perkhidmatan asas lain.
Namun, belum dapat dipastikan sama ada dua trak diesel dari Mesir telah benar-benar tiba di Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza sebelum ini berkata kekurangan bahan api menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas teruk, memaksa hospital hanya memberi tumpuan pada kes serius sahaja.
Menurut Cogat, lebih 23,000 tan bantuan kemanusiaan dalam 1,200 buah trak telah dibenarkan masuk ke Gaza.
Bagaimanapun, ratusan trak masih belum sampai ke pusat agihan kerana kekurangan logistik dan keselamatan.
Tentera Udara Belgium pada 3 Ogos turut menggugurkan pakej bantuan udara pertama mereka dari udara ke Gaza dalam kerjasama dengan Jordan.
Perancis turut memulakan penghantaran udara sebanyak 40 tan bantuan kemanusiaan.
Namun, bantuan yang sampai tidak semuanya selamat.
Sumber Hamas dan saksi berkata ramai penduduk yang terdesak serta kumpulan bersenjata telah menjarah sebahagian besar daripada kira-kira 1,600 trak bantuan yang tiba sejak akhir Julai.
Sepanjang Januari dan Februari, lebih 700 trak bahan api telah memasuki Gaza ketika gencatan senjata sebelum Israel menyambung serangan besar-besaran pada Mac lalu akibat kegagalan mencapai persetujuan lanjut mengenai penahanan tebusan.
Pada 3 Ogos sahaja, sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan udara dan tembakan tentera Israel, termasuk mereka yang cuba mendapatkan bantuan di kawasan tengah dan selatan Gaza.
Antara mangsa ialah seorang anggota Palang Merah Palestin yang maut selepas ibu pejabatnya di Khan Younis diserang Israel, menyebabkan kebakaran pada tingkat pertama bangunan.
Sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023, lebih 60,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala 1,200 rakyat Israel terkorban dalam serangan mengejut Hamas yang turut menculik 251 tebusan.
Keadaan kini semakin mendesak dan menuntut perhatian dunia.
Seperti yang ditegaskan oleh Palang Merah, “akses segera dan berterusan kepada semua tebusan adalah tanggungjawab kemanusiaan yang tidak boleh ditangguh”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg