Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump akui krisis kebuluran memang berlaku di Gaza

Jul 29, 2025 | 11:48 AM
Warga Palestin berebut-rebut mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di tengah-tengah krisis makanan yang kini melanda Gaza
Warga Palestin berebut-rebut mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di tengah-tengah krisis makanan yang kini melanda Gaza - Foto: Reuters

EDINBURGH: Terdapat “kebuluran sebenar” di Gaza, kata Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, selepas Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu menegaskan tiada masalah sedemikian berlaku.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan Encik Netanyahu bahawa ia adalah “suatu pembohongan” untuk mendakwa Israel sedang menyemarakkan kelaparan di Gaza, Encik Trump menjawab: “Saya tidak tahu... kanak-kanak kelihatan sangat lapar... itu masalah kelaparan sebenar.”

Bercakap semasa pertemuan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Encik Keir Starmer, di Scotland, Encik Trump berkata:

“Tiada siapa yang melakukan sesuatu yang hebat di sana. Seluruh kawasan itu huru-hara... Saya memberitahu Israel mungkin mereka perlu melakukannya dengan cara yang berbeza.”

Komennya dibuat selepas ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, berkata “sejumlah besar” makanan diperlukan untuk mengatasi masalah kebuluran yang berlaku.

Beliau sebelum ini mengalu-alukan langkah Israel pada hujung minggu untuk membenarkan lebih banyak bantuan diterjunkan daripada udara ke Gaza, dan penangguhan sementara operasi tentera untuk membolehkan konvoi makanan sampai kepada penduduk Palestin.

Tetapi Encik Fletcher mendakwa bantuan yang telah disampaikan setakat ini hanyalah “bak setitis air di lautan”.

Israel berkata 120 muatan lori bergerak masuk di persimpangannya pada 27 Julai semasa “penangguhan taktikal” pada 10 jam pertama dalam operasi ketenteraan, dan Jordan dan Emiriah Arab Bersatu menerjunkan dari udara 28 bungkusan makanan.

Beberapa jam selepas Encik Fletcher bercakap, kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza berkata 14 orang lagi telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ini menjadikan jumlah kematian berkaitan kekurangan zat makanan sejak perang bermula pada Oktober 2023 kepada 147, termasuk 88 kanak-kanak, menurut kementerian itu.

Israel, yang mengawal kemasukan semua bekalan ke Gaza, telah menafikan terdapat kebuluran di Gaza dan menolak tuduhan bertanggungjawab terhadap kekurangan makanan.

Pada 27 Julai, tentera Israel telah meningkatkan “tindak balas kemanusiaan” di Gaza dan menafikan “dakwaan kebuluran yang disengajakan”.

Israel juga mengumumkan akan melaksanakan “penangguhan taktikal tempatan” di tiga kawasan di Gaza selama 10 jam sehari, serta menyediakan “laluan selamat yang ditetapkan” untuk konvoi bantuan sampai ke tujuan.

Tentera Israel juga membenarkan penerjunan bantuan yang dilakukan oleh negara asing diteruskan, walaupun agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa kaedah itu tidak berkesan dan berbahaya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg