Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran ancam serang pangkalan AS di Timur Tengah

Kebimbangan dunia tertumpu kepada risiko serangan Amerika, burukkan konflik di rantau itu
Jun 23, 2025 | 1:55 PM
Iran, Amerika, serang, tapak nuklear
Warga Iran berhimpun pada 22 Jun di pusat bandar Teheran untuk membantah serangan Amerika Syarikat dan Israel, sambil mengibarkan bendera Iran dan melaungkan slogan. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Iran membuat ancaman ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah selepas serangan udara besar-besaran Amerika pada 21 Jun, yang menurut Washington telah memusnahkan program nuklear Teheran.

Ini walaupun beberapa pegawai memberi amaran bahawa tahap kemusnahan tersebut masih belum jelas.

Kebimbangan antarabangsa kini tertumpu kepada risiko serangan Amerika yang belum pernah berlaku sebelum ini, akan memburukkan lagi konflik di rantau yang sedang bergolak itu, selepas Israel melancarkan kempen pengeboman ke atas Iran pada awal Jun.

Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Encik Ali Akbar Velayati, berkata pangkalan yang digunakan tentera Amerika boleh diserang sebagai tindak balas.

“Mana-mana negara di rantau ini atau di tempat lain yang digunakan tentera Amerika untuk menyerang Iran akan dianggap sebagai sasaran yang sah bagi angkatan tentera kami,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Iran, Irna.

“Amerika telah menyerang tempat utama dunia Islam dan mesti bersedia menghadapi akibat yang sukar dipulihkan,” tambahnya.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menggesa Iran agar menamatkan konflik tersebut selepas beliau melancarkan serangan mengejut ke atas sebuah tapak pengayaan uranium bawah tanah utama di Fordow, serta kemudahan nuklear di Isfahan dan Natanz.

“Kami mencapai kejayaan ketenteraan yang menakjubkan semalam (21 Jun), mengambil ‘bom’ itu daripada tangan mereka (dan mereka pasti akan gunakannya jika berpeluang!),” katanya di media sosial. 

Walaupun Encik Trump tidak secara langsung menyeru kepada perubahan rejim di republik Islam itu, beliau secara terbuka membayangkan perkara itu – walaupun pembantunya menegaskan bahawa ia bukan matlamat campur tangan Amerika.

“Ia tidak betul dari segi politik untuk menggunakan istilah, ‘perubahan rejim’,” tulis Encik Trump dalam hantaran di wadah, Truth Social.

“Tetapi jika rejim Iran sekarang tidak mampu menjadikan Iran hebat semula, mengapa tidak perubahan rejim (dilakukan)?”, tulisnya.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata dalam satu sidang media di Pentagon bahawa program nuklear Iran telah “dimusnahkan,” sambil menambah bahawa operasi tersebut “tidak menyasarkan tentera Iran atau rakyat Iran”.  

Jeneral Kanan Amerika, Jeneral Dan Caine, pula berkata walaupun masih terlalu awal untuk menentukan tahap kemusnahan sebenar, “penilaian awal kerosakan menunjukkan ketiga-tiga tapak tersebut mengalami kerosakan dan kemusnahan amat teruk”.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata serangan ketenteraan negaranya akan “berakhir” apabila matlamat untuk memusnahkan keupayaan nuklear dan peluru berpandu Iran, tercapai.

“Kami sangat hampir mencapainya,” katanya kepada wartawan.

Sedang pemimpin Iran menyuarakan pendirian tegas, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, berikrar bahawa Amerika akan “menerima tindak balas” terhadap serangan tersebut.

Rakyat Iran berhimpun pada 22 Jun di pusat bandar Teheran untuk membantah serangan Amerika dan Israel, sambil mengibarkan bendera Iran dan melaungkan slogan.

Di wilayah Semnan, timur ibu kota, seorang suri rumah, Samireh, 46 tahun, memberitahu agemsi berita, AFP, bahawa beliau “amat terkejut” dengan serangan itu.

“Wilayah Semnan sangat jauh dari kemudahan nuklear yang disasarkan, tetapi saya sangat bimbang akan nasib penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya.

Dalam ucapannya kepada negara beberapa jam selepas serangan tersebut, Encik Trump mendakwa operasi tersebut telah berjaya, dan Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, turut memberikan kenyataan pada 22 Jun.

“Kami tahu bahawa kami telah menggagalkan kemajuan program nuklear Iran dengan ketara,” kata Encik Vance. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg