TEHERAN: Iran berkata mereka akan menggunakan semua cara untuk mempertahankan diri selepas serangan besar-besaran oleh Amerika Syarikat, yang menurut Presiden Donald Trump telah “menghancurkan” kemudahan nuklear utama Iran.
Beberapa jam selepas Encik Trump meningkatkan ketegangan Timur Tengah dengan mengirimkan pesawat pengebom B-2 ke Iran, tentera Israel memberi amaran kepada orang ramai untuk mencari perlindungan daripada serangan yang kelihatan lebih kuat berbanding serangan peluru berpandu Iran yang dilancarkan beberapa hari lalu.
“Mesej pagi ini adalah sangat mencabar dan akan memberi kesan yang berpanjangan,” kata Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, yang menggelar serangan Amerika sebagai “pelanggaran serius” terhadap piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa, dan Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear.
“Iran mengekalkan semua pilihan mempertahankan kedaulatan, kepentingan, dan rakyatnya,” kata Encik Araqchi di X.
Pertubuhan Tenaga Atom Iran berkata mereka tidak akan membenarkan penghentian “industri nasional” mereka, manakala pengulas televisyen Iran menyatakan setiap warga Amerika atau anggota tentera di rantau ini akan menjadi sasaran.
Sementara itu televisyen Iran mengumumkan pelancaran peluru berpandu baru terhadap Israel. Memetik sumber, seorang penyampai berkata, 30 peluru berpandu dilancarkan ke Israel dari Iran.
Perkhidmatan ambulans Israel mengatakan sekurang-kurangnya 16 orang cedera dalam serangan pada 22 Jun.
Siren serangan udara kedengaran di seluruh negara, memaksa berjuta-juta orang berlindung di bilik selamat dan tempat perlindungan.
Video dari Tel Aviv dan Haifa menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan dan mengeluarkan orang cedera dari rumah yang hancur.
Di Teheran pula, Pemimpin Tertinggi Iran kini kebanyakannya berkomunikasi dengan komander-komandernya melalui pembantu yang dipercayai, menangguhkan komunikasi elektronik bagi mengelakkan diri jadi sasaran Israel, menurut tiga pegawai Iran yang biasa dengan rancangan perang kecemasan beliau.
Terkurung di dalam sebuah kubu, Pemimpin Tertinggi, Encik Ayatollah Ali Khamenei, telah memilih beberapa pengganti dalam rantai komando ketenteraan sekiranya lebih ramai pegawai kanan beliau terbunuh dalam serangan Israel atau Amerika, yang telah membedil tiga tapak nuklear di Iran pada 21 Jun.
Serangan tersebut, yang diumumkan oleh Encik Trump, pada 21 Jun, telah membawa tentera Amerika secara langsung ke dalam perang Israel dengan Iran, selepas beberapa hari ketidaktentuan mengenai sama ada beliau akan campur tangan dalam konflik tersebut.
Ini kali pertama sejak 1979, Amerika menghantar tentera udaranya untuk menyerang kemudahan utama di Iran, satu tindakan perang. Encik Ayatollah juga menamakan tiga ulama sebagai pengganti jika beliau terbunuh, menggambarkan keadaan genting pemerintahannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg