GAZA: Pesawat dan kereta kebal Israel terus membedil kawasan timur Bandar Gaza sepanjang malam, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, menurut saksi dan petugas perubatan pada 12 Ogos.
Serangan ini berlaku ketika pemimpin Hamas, Encik Khalil Al-Hayya dijadual tiba di Kaherah bagi membincangkan usaha menghidupkan semula pelan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat.
Rundingan tidak langsung terbaru di Qatar pada akhir Julai lalu berakhir tanpa sebarang kemajuan, dengan Israel dan Hamas saling menuding jari atas kegagalan mencapai persetujuan berhubung cadangan Amerika bagi gencatan senjata selama 60 hari serta perjanjian pembebasan tebusan.
Israel sebelum ini mengumumkan rancangan melancarkan serangan baru dan mengambil alih Bandar Gaza sepenuhnya. Bandar itu pernah ditawan pada awal perang Oktober 2023 sebelum tentera Israel berundur. Bagaimanapun, kumpulan Hamas kembali menguasai kawasan tersebut dan melancarkan perang gerila sehingga kini.
Bagaimanapun, tempoh sebenar pencerobohan baru ini tidak jelas, termasuk bagaimana ia akan berbeza daripada operasi terdahulu.
Rancangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk memperluas kawalan tentera di Gaza, yang dijangka bermula Oktober, telah mencetuskan bantahan global berikutan kemusnahan besar dan krisis kebuluran yang melanda lebih dua juta penduduk yang kebanyakannya hilang tempat tinggal.
Di Israel sendiri, rancangan itu turut menerima kritikan. Ketua Turus Tentera memberi amaran ia boleh membahayakan nyawa tebusan yang masih hidup dan menjadi perangkap maut kepada askar Israel. “Dalam lanskap bandar yang padat, dengan ribuan pejuang Hamas menunggu, menawan Bandar Gaza adalah tugas sukar dan berisiko tinggi,” kata seorang penganalisis keselamatan.
Encik Netanyahu pada 10 Ogos menggariskan visinya untuk kemenangan di Gaza selepas 22 bulan perang, dengan arahan agar tentera menyerang kubu terakhir Hamas di Bandar Gaza serta kem pelarian di kawasan tengah selatan.
Menurut angka rasmi, sebelum perang, Bandar Gaza berpopulasi kira-kira 760,000 orang, namun sejak serangan Hamas pada 2023 yang mencetuskan perang, jumlah penduduk bertambah apabila ribuan pelarian bergerak ke utara. Kini, kebimbangan terhadap perpindahan paksa baru dan kesengsaraan meningkat di kalangan kira-kira sejuta penduduk di bandar itu dan kawasan sekitarnya.
Saksi melaporkan tujuh orang terbunuh di dua rumah di kawasan Zeitoun, manakala empat lagi maut di sebuah pangsapuri di pusat bandar akibat serangan malam 11 Ogos. Di Khan Younis di selatan Gaza, lima orang termasuk sepasang suami isteri dan anak mereka terbunuh dalam serangan udara ke atas rumah mereka. Empat lagi maut di sebuah khemah pelarian di Mawasi.
Kementerian Kesihatan Gaza turut mengesahkan lima kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban akibat punca tersebut mencecah 227 orang sejak perang bermula, termasuk 103 kanak-kanak. Israel menolak angka ini.
Perang bermula pada 7 Oktober 2023 apabila militan diketuai Hamas menyerang selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menculik 251 tebusan insiden keselamatan terburuk dalam sejarah negara itu. Serangan balas udara dan darat Israel sejak itu telah membunuh lebih 61,000 penduduk Palestin dan memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Encik Netanyahu, yang mendapat sokongan kuat gabungan sayap kanan ultra-nasionalis, berikrar perang tidak akan dihentikan sehingga Hamas “dihapuskan sepenuhnya”. Seorang pegawai Palestin yang mengetahui perkembangan rundingan berkata, Hamas bersedia kembali ke meja perbincangan.
Namun, perbezaan pendirian masih ketara, khususnya mengenai pengunduran tentera Israel dan tuntutan supaya Hamas melucut senjata, sesuatu yang ditolak kumpulan itu sebelum sebuah negara Palestin diwujudkan.
Seorang diplomat Arab memaklumkan, perantara Mesir dan Qatar belum berputus asa. “Pengumuman Israel tentang rancangan serangan baru ke Bandar Gaza mungkin bukan sekadar gertakan, tetapi cara memaksa Hamas kembali berunding. Gaza City adalah pusat pentadbiran dan kubu terkuat Hamas,” katanya.
Cabaran pertama tentera Israel adalah arahan Encik Netanyahu untuk memindahkan orang awam. Bekas pegawai kanan tentera, Encik Amir Avivi berkata, sekitar 300,000 penduduk Bandar Gaza masih belum meninggalkan rumah sejak perang bermula. “Anda tidak boleh menempatkan satu juta orang lagi di zon selamat. Ia akan menjadi krisis kemanusiaan yang dahsyat,” kata Encik Michael Milshtein, bekas pegawai perisikan tentera Israel.
Menurut Encik Avivi, bantuan kemanusiaan akan diagihkan di kawasan selatan bandar untuk menggalakkan penduduk berpindah ke tapak bantuan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika dan Israel.
Bagaimanapun, agensi pertahanan awam Gaza menuduh tentera Israel menembak dan membunuh orang awam berhampiran tapak tersebut. Human Rights Watch menyifatkan kawasan itu sebagai “perangkap maut” dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan mempolitikkan bantuan.
Encik Milshtein menganggarkan sayap bersenjata Hamas mempunyai 10,000 hingga 15,000 pejuang di Bandar Gaza, ramai daripada mereka rekrut baharu. “Adalah mudah memujuk anak muda untuk menyertai Briged Al-Qassam. Hamas juga sedang bersiap untuk pertempuran,” katanya, sambil membandingkan potensi pertempuran itu dengan “Stalingrad” semasa Perang Dunia Kedua.
Tentera Israel dijangka berdepan rangkaian terowong luas yang menyimpan tebusan, depot senjata, serta jerangkap samar dan penggunaan orang awam sebagai perisai manusia. “Hampir mustahil untuk masuk tanpa mengorbankan tebusan dan mencetuskan bencana kemanusiaan besar,” kata Encik Mairav Zonszein dari International Crisis Group.
Walaupun terdapat khabar angin mengenai bantahan Ketua Turus Tentera, Eyal Zamir, beliau menegaskan tenteranya “mampu menawan Bandar Gaza seperti di Khan Younis dan Rafah”. Bandar Gaza kini dibom hebat dan bangunan apartmen yang masih berdiri berselang-seli dengan khemah serta penempatan sementara. Encik Avivi menggambarkan bandar itu sebagai “jantung pemerintahan Hamas di Gaza.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg