Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu: Operasi tentera baru di Gaza bermula tidak lama lagi

Tegaskan matlamat ialah tamatkan kuasa Hamas, bebas tebusan yang masih ditahan
Aug 11, 2025 | 10:29 AM
konflik israel, palestin
Kenderaan tentera Israel berada berhampiran sempadan antara Israel dengan Gaza, seperti yang dilihat dari Israel pada 10 Ogos.  - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau menjangkakan operasi ketenteraan baru di Gaza dapat diselesaikan “dalam tempoh singkat”, meskipun tekanan antarabangsa semakin meningkat agar penderitaan rakyat Palestin di wilayah itu dihentikan.

Encik Netanyahu, mempertahankan rancangan ketenteraan untuk mengambil alih Bandar Gaza dalam sidang media yang penuh kontroversi, walaupun menerima kecaman hebat daripada negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu dibuat selepas Kabinet keselamatan Israel pada 8 Ogos meluluskan rancangan kontroversi untuk menguasai Bandar Gaza, satu langkah yang dikecam hebat di dalam dan luar negara.

Encik Netanyahu mempertahankan keputusannya, menegaskan bahawa matlamatnya ialah menamatkan kuasa Hamas dan membebaskan tebusan yang masih ditahan.

“Kita tiada pilihan selain menamatkan tugas ini dan mengalahkan Hamas. Ini satu-satunya cara untuk membawa pulang tebusan kita dan menamatkan perang,” kata Encik Netanyahu pada 10 Ogos.

Saksi melaporkan serangan udara Israel memuncak lewat 10 Ogos, termasuk serangan ke atas sebuah kedai sandwic di kejiranan Sabra yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, menurut pegawai kesihatan di Hospital Shifa.

Media Palestin melaporkan sebuah peluru berpandu mengenai khemah wartawan berhampiran hospital itu.

Pengarah Hospital Shifa, Muhammad Abu Salamiyah, memberitahu Al Jazeera bahawa tujuh orang terbunuh di situ.

Pejabat media Gaza yang dikendalikan Hamas berkata lima petugas Al Jazeera terbunuh, termasuk wartawan Anas Al Sharif dan Mohammed Qreiqeh, tiga jurufoto, serta seorang pemandu.

Tentera Israel mendakwa Al Sharif ialah ketua sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan, satu dakwaan yang pernah dipertikai Pelapor Khas Perubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Cik Irene Khan.

Encik Netanyahu berkata operasi baru ini mensasarkan dua kubu terakhir Hamas di Gaza.

Beliau menegaskan matlamatnya bukan untuk menduduki seluruh Gaza, tetapi mewujudkan “zon keselamatan” di sepanjang sempadan.

“Kami tidak mahu kekal di Gaza. Tujuan kami hanya memastikan keselamatan sempadan kami,” katanya.

Namun, Ketua Turus Tentera Israel memberi amaran bahawa rancangan itu boleh membahayakan nyawa tebusan dan memerangkap tentera Israel dalam perang gerila berpanjangan.

Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, beberapa negara Eropah termasuk Denmark, Perancis, Greece, Slovenia dan Britain mengeluarkan kenyataan bersama di PBB memberi amaran bahawa operasi Israel hanya akan memburukkan keadaan.

“Pengembangan operasi ketenteraan akan membahayakan semua penduduk awam di Gaza, termasuk tebusan, dan menyebabkan penderitaan yang tidak perlu,” kata kenyataan itu.

“Ini adalah krisis ciptaan manusia. Tindakan segera diperlukan untuk menghentikan kebuluran dan mempercepatkan bantuan.”

Agensi kemanusiaan antarabangsa memberi amaran bahawa kebuluran di Gaza berpunca daripada sekatan bantuan oleh Israel, manakala Israel menafikan tuduhan itu dan menuding jari kepada Hamas.

Encik Netanyahu berkata Israel bekerjasama dengan Washington untuk melaksanakan “gelombang bantuan kemanusiaan” termasuk melalui jalan darat.

Pejabatnya memaklumkan beliau telah berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengenai rancangan menguasai kubu Hamas dan mengucapkan terima kasih atas “sokongan padu” Amerika.

Namun, situasi kemanusiaan semakin membimbangkan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, lima orang termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, menjadikan angka korban kebuluran kepada 217 orang, termasuk 100 kanak-kanak.

Lebih tragik, 23 orang terbunuh akibat bungkusan bantuan udara yang dijatuhkan ke Gaza sejak perang bermula.

Dalam kes terbaru, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun maut selepas kotak bantuan menimpa kepalanya ketika menunggu makanan di khemah pelarian.

Ribuan rakyat Israel turut turun ke jalan membantah rancangan pemerintah bimbang ia akan membahayakan tebusan yang masih hidup di Gaza.

Encik Netanyahu menegaskan bahawa jika tiada tindakan diambil, “kita tidak akan dapat membawa mereka pulang.”

Encik Netanyahu turut menyelar media antarabangsa yang menurutnya “terpengaruh dengan propaganda Hamas”.

Beliau mendakwa beberapa gambar kanak-kanak Gaza yang kelaparan adalah “palsu”, walaupun Israel sebelum ini tidak membenarkan wartawan asing memasuki Gaza secara bebas.

Beliau berkata arahan untuk membawa masuk wartawan luar telah dikeluarkan dua hari lalu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg