GAZA/TEL AVIV: Tentera Israel berkata pada 30 November mereka telah membunuh lebih 40 militan Palestin dalam operasi sepanjang minggu lalu, dengan tumpuan utama pada rangkaian terowong di Rafah, kawasan paling selatan di Jaluran Gaza.
Dalam kenyataan awal hari yang sama, tentera Israel memaklumkan empat militan telah ditembak mati ketika muncul dari terowong bawah tanah di selatan Gaza pada waktu malam.
Menurut Israel, puluhan anggota Hamas dipercayai masih bersembunyi di dalam terowong itu, terutama di kawasan yang kini berada di bawah kawalan tenteranya.
Menurut kenyataan tentera: “Dalam tempoh 40 hari, pasukan kami memberi tumpuan kepada timur Rafah dengan matlamat memusnahkan laluan terowong bawah tanah yang masih wujud serta menghapuskan pengganas yang bersembunyi di dalamnya.”
Tentera menambah, “lebih 40 pengganas telah dihapuskan minggu ini,” dan menyatakan bahawa berpuluh-puluh pintu terowong serta tapak prasarana militan turut dimusnahkan.
Sumber diplomatik memberitahu agensi berita, AFP, pada 27 November bahawa rundingan sedang dijalankan mengenai nasib anggota Hamas yang masih berada dalam rangkaian terowong di selatan Gaza.
Ini termasuk perbincangan tentang kemungkinan laluan selamat keluar dari kawasan yang kini dikepung Israel.
Pada 26 November, Hamas buat kali pertama mengakui keadaan tersebut secara terbuka apabila menyeru negara pengantara supaya memberi tekanan kepada Israel agar membenarkan laluan selamat.
Rangkaian terowong Hamas telah lama menjadi tumpuan ketenteraan Israel.
Agensi berita, Reuters melaporkan pada 2024 terowong itu menjangkau ratusan kilometer, digambarkan oleh seorang tebusan yang dibebaskan sebagai “seperti sarang labah-labah”.
Sumber serantau dan Barat berkata terdapat pelbagai jenis terowong termasuk terowong serangan, penyeludupan, penyimpanan serta laluan operasi yang dibina di bawah permukaan tanah Gaza dan di sepanjang sempadannya.
Gencatan senjata yang dikelola Amerika Syarikat bersama Mesir, Turkey dan Qatar mula berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Mengikut syaratnya, tentera Israel berundur ke belakang Garisan Kuning, sempadan yang ditanda dengan bongkah konkrit berwarna kuning di beberapa lokasi dalam Gaza.
Anggota Hamas yang berlindung dalam terowong kini berada di bahagian yang dikuasai Israel.
Pada 27 November, seorang tokoh Hamas di Gaza memberitahu AFP, kumpulan itu menganggarkan antara 60 dengan 80 anggotanya masih berada di dalam terowong.
Walaupun gencatan senjata sedang berlangsung, kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar syarat yang dipersetujui.
Hamas mendakwa Israel “mengelak daripada bergerak ke fasa seterusnya dalam perjanjian,” dan memberi amaran bahawa kelewatan berterusan “hanya akan menolak seluruh rantau ke arah ketidakstabilan yang lebih besar”. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg