Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekatan lebih 60 hari cetus amaran kebuluran besar-besaran di Gaza

Satu demi satu dapur amal di serata Gaza umum mungkin akan tutup operasi dalam beberapa hari ini
May 5, 2025 | 10:41 AM
Gaza, kebuluran, dapur amal
Ratusan pelarian Palestin berhimpun di hadapan sebuah dapur amal di Jabalia pada 2 Mei untuk mendapatkan sedikit makanan, tatkala krisis kebuluran di Gaza kian meruncing. - Foto EPA-EFE

GAZA: Sekatan penuh Israel ke atas Gaza kini telah memasuki lebih 60 hari tanpa sebarang kemasukan makanan, air atau bekalan perubatan.

Ketika serangan udara masih berterusan di seluruh wilayah, rakyat Gaza kini berdepan krisis kelaparan paling buruk dalam sejarah mereka.

Ramalan kebuluran semakin hampir menjadi kenyataan apabila satu demi satu dapur amal di seluruh Gaza mengumumkan ia mungkin akan menutup operasi dalam masa beberapa hari sahaja jika bantuan tidak segera dibenarkan masuk.

“Kami masih ada sekitar 70 hingga 80 dapur masyarakat yang beroperasi.

“Dalam empat atau lima hari lagi, semuanya mungkin terpaksa ditutup,” kata Encik Amjad Shawa, Pengarah Rangkaian NGO Palestin (PNGO) di Gaza kepada agensi berita Reuters.

Menurut beliau, sebelum lintasan sempadan ditutup pada 2 Mac, terdapat sekitar 170 dapur masyarakat yang beroperasi di serata Gaza.

Tetapi sejak Israel menyekat sepenuhnya semua bentuk bantuan kemanusiaan dan barangan dagangan, hanya separuh daripadanya masih mampu bertahan.

Israel mendakwa sekatan itu bertujuan memberi tekanan kepada Hamas agar membebaskan baki tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.

Sebagai balasan, Israel menawarkan lanjutan gencatan senjata serta bantuan kemanusiaan dan pembebasan tahanan Palestin.

Namun Hamas menegaskan, mereka hanya akan mempertimbangkan sebarang perjanjian jika Israel komited terhadap gencatan senjata menyeluruh.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada 4 Mei memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Gaza kini menghadapi kekurangan sumber genting.

“Hampir satu pertiga daripada bekalan penting telah kehabisan stok dan satu pertiga lagi dijangka habis dalam tempoh kurang dua bulan,” kata agensi itu menerusi ciapan di wadah X.

“Kami hidup dalam tragedi yang tidak tergambar. Kami mungkin masih hidup secara fizikal, tetapi jiwa kami sudah lama mati,” kata Encik Ahmad Qattawi, 44 tahun, dari Bandar Gaza, kepada media Jerman, DW.

Dengan dapur-dapur utama ditutup dan bekalan makanan habis, rakyat Gaza kini hanya mampu bergantung pada makanan dalam tin.

“Sayur-sayuran masih ada dijual di sesetengah pasar, tetapi harganya kini di luar kemampuan kebanyakan penduduk.

“Sekilo tomato yang dahulunya hanya 1 hingga 3 shekel, kini mencecah 30 shekel ($11). Gula pula lebih 60 shekel sekilo,” kata Encik Qattawi.

Gas memasak pula hampir tiada. Tanpa kayu api atau arang, penduduk terpaksa membakar pakaian dan kasut untuk menyalakan api.

“Inilah realiti harian kami. Kami makan dengan berjimat, dan simpan apa yang ada untuk hari esok,” tambahnya.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, pada 2 Mei, memberi amaran sekatan Israel “akan terus membunuh secara senyap lebih ramai kanak-kanak dan wanita selain yang terkorban akibat pengeboman”.

Menurut laporan hak asasi manusia dan badan antarabangsa, sekatan Israel yang bermula pada awal Mac menutup sepenuhnya laluan keluar masuk Gaza.

Ia menghalang kemasukan makanan, bantuan perubatan serta barangan keperluan, selain memperburuk keadaan kemanusiaan.

Lebih 90 peratus penduduk Gaza dipaksa berpindah-randah beberapa kali dan kini hidup dalam khemah perlindungan yang sesak atau terdedah kepada ancaman cuaca sekali gus terdedah kepada penularan penyakit dan wabak.

Lebih 52,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan kejam Israel sejak Oktober 2023 dengan kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pada November lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan Menteri Pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 April turut mendengar hujah serta nasihat daripada puluhan negara dan organisasi berhubung isu kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin.

Ia susulan lebih dari 50 hari selepas sekatan bantuan memasuki Gaza.

Pegawai tertinggi Palestin, Encik Ammar Hijazi, memaklumkan ICJ bahawa Israel sengaja menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg