Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jabatan risik Jordan gagalkan rancangan komplot pelampau

Apr 19, 2025 | 5:30 AM
Senjata yang dirampas dalam apa yang disifatkan oleh Jordan sebagai komplot yang dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin untuk melancarkan serangan ke atas sasaran di dalam negara, melibatkan roket dan dron.
Senjata yang dirampas dalam apa yang disifatkan oleh Jordan sebagai komplot yang dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin untuk melancarkan serangan ke atas sasaran di dalam negara, melibatkan roket dan dron. - Foto JABATAN PERISIKAN AM JORDAN

AMMAN: Kerajaan Jordan, yang selama ini dianggap sebagai antara negara paling stabil di Timur Tengah, kini berdepan ancaman keselamatan serius apabila 16 individu ditahan atas dakwaan merancang serangan bersenjata, memiliki bahan letupan dan menjalankan projek pembuatan dron serta peluru berpandu dalam negara.

Penahanan itu diumum Jabatan Perisikan Am Jordan pada 15 April.

Ia satu kenyataan luar biasa dalam negara yang lazimnya bersikap tertutup mengenai isu keselamatan dalaman.

Lebih membimbangkan, mereka yang ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin dan sekutunya, Hamas.

Menurut laporan agensi berita, Reuters, yang memetik pegawai keselamatan Jordan, kumpulan tersebut didakwa menerima latihan dan dana dari Lebanon.

Di samping itu, ia merancang operasi ketenteraan dalam negara termasuk pelancaran roket, pembuatan dron dan perekrutan anggota tempatan serta luar negara.

Jordan, sekutu penting Amerika Syarikat di rantau Timur tengah, telah lama menjadi pemain utama dalam usaha damai Israel-Palestin serta dalam memerangi kumpulan pelampau Islam.

Namun, ketegangan serantau, terutama akibat perang di Gaza dan konflik antara Iran dengan Israel, telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Jordan.

Apatah lagi apabila kerajaan dilihat menyokong Israel dengan menembak jatuh dron semasa serangan udara Iran ke atas Israel pada April 2024.

Penduduk Jordan terdiri daripada hampir separuh etnik Palestin, dan gelombang sokongan terhadap rakyat Gaza semakin meningkat sejak Oktober 2023, apabila serangan Hamas ke atas Israel mencetuskan perang berdarah.

Ia mewujudkan ruang yang mudah dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan, sama ada secara ideologi mahupun geopolitik.

“Rancangan ini bertujuan menggugat keselamatan negara, mencetus kekacauan dan memusnahkan kestabilan dalaman,” tegas kenyataan rasmi Jabatan Perisikan Jordan, yang turut mendedahkan penemuan kemudahan menghasilkan roket dan dron dalam operasi yang dijalankan.

Antara yang ditahan ialah Khaled Walid Al-Juhani, ketua blok Parti Barisan Tindakan Islam dalam Parlimen Jordan – sayap politik kepada Ikhwanul Muslimin.

Ini merupakan kali ketiga dia ditahan dalam tempoh dua tahun, selepas sebelum ini dituduh terlibat dalam jenayah siber dan demonstrasi antiperang Gaza.

Parti tersebut bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam plot serangan dan menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak adil dan bermotif politik”.

Dalam kenyataan rasmi, parti itu menegaskan mereka “komited kepada pendekatan damai dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan bersenjata”.

Namun, siaran televisyen negara kemudian menyiarkan rakaman pengakuan lapan orang suspek, enam daripadanya mengaku sebagai ahli Ikhwanul Muslimin – sekali gus menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kebenaran penafian parti itu.

Apa yang menambah kerumitan ialah unsur pengaruh luar.

Dua suspek, Abdullah Hisham dan Muath Al-Ghanem, dilaporkan telah melawat Lebanon untuk menerima latihan daripada seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, segera menghubungi Jordan dan menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dalam siasatan tersebut.

“Lebanon tidak akan menjadi pangkalan kepada mana-mana tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara sahabat,” katanya dalam kenyataan media, selepas agensi berita Lebanon melaporkan bahawa beberapa individu yang terlibat menerima latihan di negaranya.

Lebih mengeruhkan keadaan, terdapat laporan bahawa Iran, melalui proksi seperti Hezbollah dan militia Iraq yang disokongnya, sedang berusaha menyeludup senjata ke Tebing Barat melalui Jordan.

Malah, Iran dilaporkan pernah mengugut Jordan secara terbuka pada 2024, selepas Amman membantu menangkis serangan dron semasa konflik Israel-Iran.

Pada Januari 2024 pula, serangan dron oleh militan pro-Iran dari Iraq telah membunuh tiga tentera Amerika Syarikat di pangkalan tentera di timur laut Jordan – kejadian yang mengukuhkan lagi persepsi Jordan berada dalam kedudukan geopolitik yang semakin rapuh.

Pelbagai pihak tampil memberikan sokongan kepada Jordan selepas pendedahan plot serangan itu.

Pihak Berkuasa Palestin mengecam perancangan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha yang bukan sahaja menggugat Jordan, bahkan juga menjejas perjuangan Palestin.

“Keganasan yang cuba ditanam di Jordan adalah usaha melemahkan kestabilan sebuah negara yang menjadi benteng kepada perjuangan Palestin,” ujar kenyataan rasmi pejabat Presiden Palestin.

Ahli Parlimen Lebanon, Encik Fouad Makhzoum, turut menyuarakan kebimbangan isu itu boleh menjejas hubungan diplomatik Lebanon dengan negara Arab lain.

Beliau menggesa pemerintah Lebanon agar menjelaskan kedudukan sebenar mengenai latihan yang diberikan kepada suspek.

Israel pula dilaporkan telah beberapa kali menggagalkan usaha menyeludup senjata dari Jordan ke dalam wilayahnya, termasuk pada Februari apabila 10 orang – termasuk rakyat Israel – ditahan kerana mengendalikan laluan penyeludupan.

Plot terbaru menunjukkan adanya perancangan sistematik dan berskala besar yang merangkumi senjata berat, latihan ketenteraan, dan perekrutan ideologi – gabungan yang sangat berbahaya dalam konteks politik serantau yang semakin panas.

Kestabilan Jordan yang selama ini menjadi benteng kepada keseimbangan Timur Tengah kini semakin goyah.

Dalam keadaan dunia Arab dilanda gelombang ketidaktentuan – dari Gaza ke Lebanon, dari Syria ke Iraq – mana-mana cubaan mengheret Jordan ke dalam kancah konflik hanya akan menambah luka kepada rantau yang sudah sedia parah.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, semasa menghubungi rakan sejawatnya dari Lebanon:

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang mencuba mengganggu keamanan negara ini. Kedaulatan Jordan bukan untuk dirunding.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg