AMMAN: Pihak berkuasa Jordan telah menahan 16 individu yang didakwa sebagai anggota Ikhwanul Muslimin yang terlibat dalam satu komplot merancang serangan menggunakan roket dan dron terhadap sasaran dalam negara.
Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Jabatan Perisikan Am melalui media kerajaan, mereka didakwa menerima latihan dan dana dari Lebanon.
Serbuan pihak keselamatan turut menemui kilang pembuatan roket dan dron yang beroperasi secara rahsia di pinggir ibu negara. Sumber keselamatan mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya sebuah roket telah sedia untuk dilancarkan ketika operasi itu digagalkan.
“Komplot ini bertujuan menggugat keselamatan negara, mencetuskan kekacauan dan menyebabkan kemusnahan material di dalam negara,” kata kenyataan Jabatan Perisikan Am.
Difahamkan, kegiatan kumpulan ini telah dipantau sejak 2021. Semua suspek kini telah dirujuk ke Mahkamah Keselamatan Negara untuk perbicaraan. Kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin di Jordan jika kumpulan itu terbukti terlibat secara langsung, seperti yang dibenarkan di bawah Perlembagaan negara.
Pihak keselamatan turut memaklumkan bahawa rancangan tersebut dipercayai sebahagian daripada usaha rahsia Iran dan sekutunya untuk merekrut ejen dan melancarkan sabotaj bagi melemahkan kestabilan Jordan, sekutu penting Amerika Syarikat di rantau ini. Jordan kini menempatkan lebih 3,500 anggota tentera Amerika Syarikat di beberapa pangkalan tentera.
Sejak meletusnya konflik Gaza-Israel pada Oktober 2023, Jordan menjadi sasaran peningkatan serangan oleh kumpulan proksi Iran yang berpangkalan di Syria dan Iraq. Pihak berkuasa sebelum ini juga telah menggagalkan cubaan menyeludup senjata melalui sempadan, yang dipercayai dilakukan oleh militan Palestin dan militia pro-Iran dari Lubnan serta Syria.
“Ini adalah taktik baru. Penggunaan roket dan dron yang menunjukkan perubahan sepenuhnya dalam cara kumpulan ini mendekati Jordan dan mensasarkan keselamatan negara,” kata penganalisis keselamatan terkenal, Encik Amer Al Sabaileh, kepada Reuters.
Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Reuters menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam komplot tersebut. Mereka menegaskan bahawa gerakan itu sentiasa memilih pendekatan politik secara aman dan cawangan mereka di Jordan telah beroperasi secara sah selama beberapa dekad. “Kami menolak sebarang bentuk keganasan dan kekerasan. Tuduhan ini tidak berasas dan kami yakin keadilan akan tertegak,” ujar kenyataan itu.
Parti politik sayap Ikhwanul Muslimin di Jordan, Barisan Tindakan Islam, kini merupakan kumpulan politik terbesar dalam parlimen selepas pilihan raya umum September lalu, meskipun majoriti kerusi masih dikuasai penyokong kerajaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Lebanon Encik Nawaf Salam, telah menyatakan kesediaan pemerintah Beirut untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Jordan. Ini susulan pendedahan rakaman video yang menunjukkan beberapa suspek mengaku menerima latihan ketenteraan di Lebanon.
Jurucakap kerajaan Jordan, Encik Mohammad al-Momani, memberitahu media bahawa sejumlah besar roket dengan jarak jangkauan antara tiga hingga lima kilometer telah ditemui, berserta pelbagai bahan letupan dan peralatan dron.
“Roket-roket itu disembunyikan dalam lokasi rahsia dan bersedia untuk digunakan terhadap sasaran di dalam negara. Ini bukan perkara kecil,” kata Encik Momani.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mendedahkan pengakuan penuh para suspek kepada umum dalam masa terdekat.
“Rakyat Jordan berhak tahu sejauh mana ancaman ini dirancang. Kami tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang cuba menggugat kestabilan negara,” tegas Encik Momani dalam sidang media pada 15 April. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg