MINA: Lebih 1.6 juta anggota jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah melontar jamrah pada 6 Jun, menandakan antara ritual terakhir ibadah haji dan permulaan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Seawal sebelum subuh, jemaah bergerak dari khemah penginapan mereka di Mina ke Lembah Mina, yang terletak di pinggir kota suci Makkah, untuk melontar tujuh batu kecil ke arah tiga tiang konkrit jamrah yang melambangkan tempat Nabi Ibrahim as dikatakan menolak hasutan syaitan.
“Pengalaman kami di Mina sangat mudah dan teratur. Kami masuk dan dalam masa lima minit selesai melontar jamrah,” kata Encik Wael Ahmed Abdel Kader, anggota jemaah dari Mesir.
Bagi Cik Howakita, dari Guinea pula, detik itu membawa rasa penuh makna.
“Saya sangat terharu. Bila saya melontar batu, saya rasa seolah-olah bebas daripada beban, seakan-akan saya menolak syaitan dari hati saya,” katanya.
Melontar jamrah bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, ia juga simbol penolakan terhadap sifat mazmumah seperti kesombongan, kedegilan dan nafsu amarah.
Ia menjadi ikrar untuk memperbaharui diri sebagai insan yang lebih taat dan bersih jiwa selepas menunaikan haji.
Jemaah haji memulakan perjalanan ke Mina dari Muzdalifah sejurus selepas tengah malam.
Mereka membawa batu-batu kecil yang dikutip selepas solat maghrib dan isyak secara jamak dan qasar serta bermalam di Muzdalifah sebagaimana yang disunatkan.
Sehari sebelumnya, jemaah haji berhimpun di Padang Arafah, berdoa dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran di kawasan berbatu setinggi 70 meter yang terletak berhampiran Makkah, tempat Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhir Baginda.
Pergerakan ke Mina dan pelaksanaan melontar jamrah diselaraskan secara rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi dengan bantuan teknologi moden.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), sistem pengawasan pintar, kad digital berasaskan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan pemantauan dron digunakan bagi mengelakkan kesesakan.
“Semua jemaah bergerak dalam kumpulan mengikut jadual ketat yang ditentukan lebih awal.
“Keselamatan, keselesaan dan kelancaran adalah keutamaan kami,” kata seorang pegawai haji dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Bagi memudahkan perjalanan, jemaah dibawa menggunakan bas khas dan sistem metro Al-Mashaaer Al-Mugaddassah yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Sistem metro sembilan stesen itu mampu membawa 72,000 anggota jemaah sejam dan telah mengurangkan kesesakan.
Setibanya di Jambatan Jamarat, struktur bertingkat khas yang direka untuk menampung jutaan anggota jemaah, jemaah akan melontar tujuh batu ke arah Jamrah al-Aqabah.
Ritual itu akan diulang selama dua hari berikutnya untuk melengkapkan ibadah wajib haji.
Batu-batu yang dilontar akan jatuh ke bahagian bawah jambatan sedalam 15 meter dan dikumpul menggunakan sistem penghantar automatik.
Ia kemudian dibersihkan, ditapis dan disimpan untuk digunakan semula dalam pengurusan haji yang mampan.
“Kami telah edarkan beg berisi batu di lebih 300 lokasi di Muzdalifah dan Mina untuk memudahkan jemaah,” jelas Encik Ahmed Al-Subhi, wakil syarikat pengurusan tapak suci, Kidana Development Co.
Pihak berkuasa turut menempatkan lebih 120 ambulans, hospital lapangan dan klinik bergerak di lokasi utama termasuk Arafah dan Muzdalifah, dikendalikan oleh ribuan petugas kesihatan.
Menurut perangkaan rasmi, 1,673,230 anggota jemaah menunaikan haji pada 2025 ini, termasuk lebih 1.5 juta dari luar negara.
Bagaimanapun, angka itu lebih rendah berbanding 2024 (1.8 juta), sebahagiannya akibat tindakan tegas terhadap jemaah tanpa permit, yang menyumbang kepada tragedi dengan lebih 1,300 kematian akibat cuaca panas melampau.
Sambutan Aidiladha secara rasmi bermula seiring dengan ibadah melontar, dan disambut dengan semangat pengorbanan, kasih sayang, serta penyatuan umat Islam seluruh dunia.
“Haji tahun ini (2025) menjadi contoh gabungan antara iman, teknologi dengan pengurusan pintar yang memastikan ibadah suci ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan penuh makna,” ujar seorang jurucakap Kementerian Haji Arab Saudi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg